Definisi Anak Tidak Sah Taraf

 

Dalam istilah Arab, disebut sebagai Walad al-zina, iaitu anak zina atau anak luar nikah. Ia merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil daripada perbuatan zina dan BUKAN daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah)

 

Mengikut Peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) Seksyen 2:

Anak yang “dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah”

.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali ke-64 bertarikh 27 Julai 2004:

.

1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan

2. Anak dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh)

3. Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada waktu tamkin (setubuH) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui Iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya) atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

 

 

Implikasi anak tidak sah taraf dalam Islam

.

Penamaan dan Nasab

  1. Tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina. Hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau nama “Asma’ ul-Husna” lain yang berpangkalkan Abdul.

 

Pergaulan dan Hubungan

  1. Bebas menjalin hubungan sepertimana kanak-kanak Islam yang sah tarafnya.
  2. Hukum pergaulannya dengan ‘bapa zina’ adalah sama seperti dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram)
  3. ‘Bapa tiri’ dan keluarga ‘bapa tiri’ tidak termasuk dalam ahli keluarganya
  4. Anak-anak di sebelah ibunya dan ahli keluarga sebelah ibunya adalah ahli keluarganya yang sah.

 

Nafkah dan penjagaan

  1. Nafkah dan saraan hidup di bawah tanggungjawab ibunya, bukan ‘bapa zina’.
  2. Rujuk peruntukan dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) Seksyen 80(1)
  3. Penjagaan kanak-kanak tidak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibuĀ  – Seksyen 85

 

Harta pusaka

  1. Saling mewarisi. Anak tak sah taraf mewarisi harta ibunya dan sebaliknya ibunya mewarisi harta anak tersebut.
  2. Anak tak sah taraf tidak mewarisi harta ‘bapa zina’ dan sebaliknya juga.

 

Perwalian

  1. Wali perkahwinan ialah wali hakim (iaitu Yang diPertuan Agong/ Sultan/ Raja atau individu yang diberi tauliah)

 

Kematian

  1. Kematian anak tak sah taraf yang belum baligh adalah mengikut agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka anak akan diurus secara pengurusan jenazah Islam.

 

Anak itu tidak bersalah

Anak tidak sah taraf seringkali mendapat cemuhan masyarakat kerana tidak mempunyai keturunan yang baik. Anak itu tidak salah, malah bukanlah pilihannya untuk dilahirkan dalam keadaan begitu. Saya pasti jika diberi pilihan, pasti semua orang mahu dilahirkan dalam keluarga yang hidup senang, kaya, dan baik budi pekerti.

Melihat kepada implikasi hukum Islam yang berkaitan, hubungan kekeluargaan anak tidak sah taraf dihubungkan kepada ibunya sahaja. Ini bermaksud ‘bapa zina’ dianggap seperti orang asing yang tiada kaitan dengan anak tersebut. Maka ia bukan sahaja memberi kesan kepada pergaulan dan aurat, malah juga kepada mewarisi harta pusaka.

Dari segi pewarisan, anak tersebut tidak berhak menuntut hak faraid daripada harta ‘bapa zina’. Kita tidak menafikan semua orang boleh berubah menjadi baik. Mungkin ‘kesilapan’ tersebut dilakukan semasa dia masih mentah dan tidak matang. Maka walaupun tiada perhubungan kekeluargaan yang sah antara keduanya, mungkin ada wujudnya sifat kebapaan untuk mewariskan sebahagian hartanya kepada anak tersebut. Maka dalam situasi ini, dokumen HIBAH yang paling sesuai untuk disediakan oleh bapa tersebut, kerana hartanya boleh diwariskan kepada sesiapa sahaja.

 

Rujukan: Sahabat Mahkamah Syariah