Apabila meninggal, harta kepunyaan arwah akan dibekukan daripada pengeluaran. Prosedur pencairan pusaka harus diuruskan oleh pentadbir atau wasi yang dilantik di mana surat kuasa perlu diperoleh daripada pejabat pesaka kecil atau mahkamah, bergantung kepada nilai dan bentuk harta yang ditinggalkan. Proses ini akan mengambil masa dan komitmen. Bagaimanapun untuk tuntutan harta yang telah didaftarkan penama seperti KWSP, ASB, Tabung Haji, atau polisi Takaful, anda tidak perlu melalui proses ini. Penama yang dilantik boleh terus menuntut harta tanpa menunggu surat kuasa dikeluarkan.

 

Tapi jangan sebarangan letakkan penama. Proses akan menjadi lebih panjang jika anda letakkan penama anak bawah umur – umur kurang 18 tahun . Anak bawah umur dikira tidak fit untuk mengurus harta. Amanah Raya akan bekukan pengeluaran harta tersebut sehinggalah anak cukup umur. Maka implikasinya kepada penjaga juga – tanpa bantuan kewangan dari pusaka, anda perlu tanggung perbelanjaan mengurus anak dan keluarga dengan menggunakan gaji sendiri.

 

Ada satu kisah pengalaman seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah kematian suami kira-kira 10 tahun lepas. Suaminya seorang guru di sebuah sekolah di Pontian, Johor meninggal dunia kerana sakit ketika usia anak masih kecil. Beliau meninggal tanpa sempat membuat sebarang perancangan harta pusaka.

 

Mujur Puan Imah seorang yang berkerjaya dan biasa dengan urusan-urusan pejabat. Beliau telah menguruskan segala urusan harta pusaka arwah suaminya dari permohonan surat kuasa mentadbir, pembayaran hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang kredit kad dan hutang rumah sehingga lah pertukaran milik rumah dan kereta arwah atas nama waris diselesaikannya. Proses yang panjang dan memakan masa lebih setahun juga untuk selesai.

 

Namun rupa-rupanya belum selesai lagi. Pihak mahkamah telah mengarahkan harta pusaka yang berhak diterima oleh anak perempuannya, merangkumi wang simpanan, KWSP, ASB, Takaful dan sebagainya diserahkan kepada Amanah Raya. Mahkamah tidak memberikan hak penjagaan harta anak tunggalnya yang ketika itu baru berusia 6 tahun, ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu kandung yang sihat akal dan tubuh badan, serta berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya. Tetapi kenapa mahkamah memutuskan dia tidak berhak menjaga harta pusaka yang sepatutnya diterima oleh anaknya?

 

Disebabkan keputusan mahkamah tersebut, selama 10 tahun ini Puan Imah membesarkan anaknya dengan duit gajinya. Mujurlah dia bekerja dan duit gajinya cukup untuk menampung keperluan asas sara hidup mereka dua beranak. Walaubagaimanapun ada masa-masa tertentu pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan dan perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan wang anaknya yang di bawah jagaan Amanah Raya.

 

Jadi Puan Imah perlu pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor Bahru untuk dikeluarkan sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan dijaga di syarikat tersebut untuk menampung kos perbelanjaan anaknya. Dalam 2 minggu biasanya permohonan diluluskan dan Puan Imah perlu kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil perbelanjaan yang telah diluluskan tersebut yang mana jarak rumah dan syarikat tersebut terletak lebih kurang 80km. Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri untuk ke Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga hendak menaiki pengangkutan awam ke Johor Bahru. Begitulah rutinnya saban tahun selama 10 tahun ini dan rutin ini terpaksa diteruskan sehingga anak itu cukup umur 18 tahun beberapa tahun lagi.

Isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak-anak bawah umur secara automatik

Kenapa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak bawah umur secara terus?

 

Merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam,

“Bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada datuk lelaki di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah mertua isteri). Jika datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi yang dilantik oleh bapa kanak-kanak tadi.”

 

Jika bapa tidak meninggalkan wasiat pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal, maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan diserah kepada Amanah Raya untuk di jaga sehingga anak mencapai umur dewasa.

 

Jangan letak anak bawah umur sebagai penama atau penerima hibah

 

Begitu juga halnya bagi wang hasil polisi takaful, KWSP, ASB dan sebagainya yang mengamalkan konsep penamaan. Ramai orang meletakkan penama anak yang masih di bawah umur dengan anggapan sekiranya berlaku kematian pada si ayah (pemegang polisi/pencarum/pemilik harta), wang dari sumber tersebut akan dapat kepada anak untuk mereka survive nanti. Namun berdasarkan undang-undang jika penama atau penerima hibah masih di bawah umur kompeten berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan diserah kepada Amanah Raya bukannya diserah terus kepada anak yang masih bawah umur ataupun kepada isteri atau ibu anak tersebut. Boleh rujuk jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

 

Suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiat

 

Kepada suami, lantiklah isteri sebagai penjaga harta bagi anak-anak anda agar isteri dan anak-anak anda tidak terbeban jika ditakdirkan anda pergi dahulu ketika usia anak-anak masih kecil. Bila suami melantik isteri sebagai penjaga harta anak-anak di dalam wasiatnya, selepas kematian suami, bahagian pusaka yang diterima oleh anak-anak akan diserah kepada isteri untuk diguna secara berhemah sebagai pemegang amanah atau penjaga harta bagi manfaat anak-anak tersebut sehingga cukup umur. Dengan itu, anak-anak anda membesar dengan hasil titik peluh yang telah anda usahakan selama hayat anda.

 

Bukannya tidak percaya pada datuk tetapi jika datuk juga ditakdirkan pergi dahulu. Pakcik-makcik kepada anak-anak anda pula, walaupun menerima pusaka anda, tetapi tiada peruntukan undang-undang yang jelas mengatakan mereka wajib menanggung nafkah anak-anak anda sehingga mencapai umur dewasa. Bukannya Amanah Raya tidak bagus dalam menjaga harta anak-anak anda tetapi prosedur dan jarak tempat tinggal yang menjadi kekangan. Dan akhirnya isteri anda yang merupakan ibu kepada anak-anak anda juga yang akan berhempas pulas bekerja siang dan malam menampung nafkah membesarkan anak-anak anda sendirian.

 

Suami, fahamlah dan buatlah perancangan terbaik untuk isteri dan anak-anak anda.

 

Sumber:Pakar Pusaka Islam

Share This

Share this post with your friends!