Saya banyak terima pertanyaan tentang cara untuk membuat Hibah KWSP. Ada yang berkata itu sahaja antara harta yang dia ada untuk diwariskan kepada penerima. Maka sukarlah untuk saya jawab persoalan ini kerana jawapannya bakal mengecewakan penanya, iaitu wang KWSP TIDAK BOLEH DIHIBAH. Ada yang terlalu kecewa sehingga terus ‘blue tick’ walaupun niat asalnya hendak bertanya tentang Hibah Rumah juga.

Memang benar wang KWSP itu sebahagiannya adalah caruman yang diambil langsung dari gaji kita. Dan sebahagian lagi ialah caruman dari majikan. Setelah berpenat lelah membanting tulang, kenapa kita tidak boleh Hibahkan wang KWSP yang pada asalnya sebahagian dari gaji yang kita peroleh?

Akta KWSP

Sebab mengapa wang KWSP tidak boleh dihibah adalah kerana ia tidak menepati rukun Hibah yang berkait rapat dengan sekatan pengeluaran wang KWSP mengikut Akta KWSP. Dalam bahasa lain, kita tidak bebas untuk mengeluarkan wang dari KWSP yang hanya boleh dikeluarkan apabila kita telah mencapai umur 55 tahun atau dalam keadaan tertentu mengikut terma syarat yang digariskan oleh pihak KWSP.

Seksyen 55A. Pengeluaran daripada Kumpulan Wang bagi ahli Kumpulan Wang yang telah mencapai umur lima puluh lima tahun

(1) Lembaga boleh membenarkan seseorang ahli Kumpulan Wang yang telah mencapai umur lima puluh lima tahun untuk mengeluarkan semua jumlah wang atau sebahagian daripada amaun yang ada pada kreditnya, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.

Oleh itu, selagi mana wang KWSP masih belum boleh dikeluarkan, maka wang tersebut tidak boleh dihibahkan kepada penerima. Namun setelah wang itu dikeluarkan, tiada halangan lagi untuk Hibah dibuat.

Keliru Fungsi Penama KWSP

Kita seringkali diingatkan untuk meletakkan penama di akaun KWSP untuk memudahkan pengurusan pusaka jika kita meninggal nanti. Namun ramai yang tersalah anggap dengan menyangka penama yang diletakkan itu adalah penerima mutlak wang tersebut. Maka ada si isteri yang enggan meletakkan suami sebagai penama kerana bimbang suaminya akan menggunakan wang yang diperoleh untuk berkahwin lain. Isteri itu pun meletakkan nama anaknya yang di bawah umur tanpa menyedari implikasi daripada tindakannya itu akan menyukarkan pengeluaran kerana anak bawah umur tidak layak mengeluarkan harta.

hibah kwsp
Gambar hiasan: Meletakkan penama KWSP

Ada juga yang meletakkan beberapa orang penama dan peratusan untuk setiap orang. Sekali lagi, ini bukanlah pembahagian mutlak. Apa yang dilakukan hanyalah menetapkan hak setiap orang penama untuk mengeluarkan wang KWSP mengikut peratusan itu dan kemudiannya membahagikan wang tersebut mengikut hak Faraid. Contohnya Ali hanya berhak mengeluarkan 25% sahaja daripada akaun KWSP arwah dan seterusnya menunaikan amanah hak kepada waris-waris Faraid yang berhak.

Jadi, buat apa letakkan penama KWSP?

Sepertimana diterangkan secara ringkas di SINI, penamaan ini akan memudahkan proses tuntutan wang KWSP. Setelah arwah meninggal, penama hanya perlu ke KWSP dengan dokumen tertentu untuk mengeluarkan wang tersebut. Jika tidak ada membuat penamaan semasa hidup, wang KWSP akan dibekukan sepertimana harta pusaka arwah yang lain dan pengeluaran hanya boleh dibuat setelah melalui prosedur pusaka dan memperoleh Perintah Pembahagian dari Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi.

Tiada Cara Lain Untuk Hibah Wang KWSP?

ADA caranya, tetapi ia hanyalah sebahagian kecil daripada wang yang asalnya daripada akaun KWSP.

Wang yang boleh dihibah ialah wang yang dikeluarkan dari Akaun 1 KWSP untuk dilaburkan ke Unit Amanah atau Unit Trust. Semakan di laman web KWSP mendapati bermula 1 Januari 2019 pengeluaran Akaun 1 untuk tujuan pelaburan Unit Trust diperketat bagi membolehkan simpanan ahli cukup untuk menyara kehidupan selepas persaraan. KWSP menetapkan ahli perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada umur 55 tahun, iaitu pada kadar sara hidup RM1,000 sebulan selama 20 tahun selepas bersara. Ini selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia iaitu 75 tahun.

Oleh itu, KWSP menetapkan bahawa jumlah yang boleh dilaburkan mestilah tidak melebihi 30% daripada jumlah simpanan yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1. Syarat lain ialah jumlah minimum pelaburan ialah RM1,000 dan pelaburan hanya boleh dibuat dalam jangka masa 3 bulan sekali. Simpanan Asas ini bertambah mengikut penambahan umur, seperti dalam Jadual di bawah:

Umur
(Tahun)
Simpanan Asas
(RM)
Umur (Tahun) Simpanan Asas
 (RM)
18 2,000 37 68,000
19 4,000 38 74,000
20 6,000 39 80,000
21 8,000 40 86,000
22 10,000 41 93,000
23 13,000 42 101,000
24 15,000 43 108,000
25 18,000 44 116,000
26 21,000 45 125,000
27 24,000 46 134,000
28 27,000 47 144,000
29 31,000 48 154,000
30 35,000 49 164,000
31 39,000 50 175,000
32 43,000 51 187,000
33 47,000 52 199,000
34 52,000 53 212,000
35 57,000 54 226,000
36 62,000 55 240,000

Contoh pengiraan kelayakan pelaburan:

Ahli Umur Simpanan di dalam Akaun 1 (RM) Simpanan Asas Baharu
(RM)
Pengiraan untuk Pelaburan (30%) Kelayakan
A 22 4k 10kAhli tidak layak memohon. Simpanan di Akaun 1 kurang daripada Simpanan Asas baharu.
B 22 11k 10kRM11k – RM10k x 30% = RM300  Ahli tidak layak memohon. Kelayakan minimum adalah RM1,000.00
C 25 24k 18kRM24k – RM18k x 30% = RM1,800  Ahli layak memohon. Amaun kelayakan minimum adalah RM1,000.00 dan maksimum adalah RM1,800.00

Untuk penjelasan lanjut atau tentang Hibah harta, boleh Whatsapp saya Ansari, 019-749 8210 atau klik ke SINI, tak perlu save nombor.