Kempen #BuyMuslimFirst (#BMF), #BuyMuslimBumiputeraFirst (#BMBF), dan #BeliProdukMuslim sangat viral dan hangat diperkatakan di media sosial. Sana sini orang menyebut tentang produk Muslim; ada yang brand nya tak pernah didengari, tapi dibawa ke hadapan kerana diusahakan oleh usahawan Muslim. Ataupun produk Muslim mainstream, tetapi dikedepankan berbanding produk non Muslim. Ada juga produk bertulisan jawi, tetapi di’kantoi’kan yang ianya bukanlah produk Muslim. 

Sebenarnya definisi ‘produk Muslim’ itu tidak dijelaskan dengan lengkap. Banyak andaian yang dibuat kerana masing-masing ada definisi mengikut kefahaman sendiri. Kebanyakannya membuat klasifikasi bersandarkan kepada nama pengusaha atau pengilang di label produk. Jika namanya bunyi seperti Melayu, maka ia adalah pengusaha Muslim. Okay, katakanlah syarikat itu memang milik usahawan Muslim. Bagaimana kesnya jika dalam supply chain penghasilan ‘produk Muslim’ itu, bahan mentahnya diambil daripada non Muslim? Adakah ia masih dikira sebagai produk Muslim?

Bagaimana pula situasinya jika pengilangnya non Muslim, disahkan Halal, dan sumber bahan mentah diambil dari Muslim? Adakah patut ia ditolak, meskipun ia turut membantu Muslim dengan mendapatkan bekalan bahan mentah?

Dari satu segi, kempen #BMF ini menggambarkan ruh kesatuan umat Islam di Malaysia yang ingin saling bantu membantu menguatkan ekonomi umat. Angka 1 juta follower cepat sahaja dicapai dalam satu group Facebook yang memperjuangkan #BMF. Malah ia dihangatkan dengan diskusi dan engagement dalam setiap posting di group tersebut yang sangat rancak. Namun, isu bangsa dan agama adalah isu yang sensitif. Ada sahaja bad apples atau pihak yang ingin mengeksploitasi peluang yang ada. Dakwaan membuta tuli dan tidak berasas seperti yang dilemparkan terhadap pasaraya Econsave yang dimiliki oleh non Muslim boleh menjejaskan kempen ini. Malah ada juga yang mengaitkan kempen ini dengan political mileage, apatah lagi apabila kempen ini pada asalnya bermula dengan kempen boikot produk non Muslim. Unsur ini harus dibuang jauh-jauh.

Satu masa dahulu, kumpulan Arqam telah berjaya membentuk kekuatan ekonomi yang besar. Sayang kerana pimpinan dan ajarannya telah difatwa sesat. 

Kempen #BMF diharap dapat menguatkan ekonomi umat Islam di Malaysia dengan mempromosikan kebergantungan dan sokongan sesama sendiri, serta mendapat sokongan dari non Muslim juga. Namun ia boleh juga membina jurang antara kaum dan bangsa jika ia tidak dikawal. Atau boleh juga ia menjadi hangat hangat tahi ayam. Hanya rancak seketika.

Yang lebih penting, pilihlah produk yang Halal dan Thoyyiban kerana itulah saranan agama kita.