Anak angkat seringkali dijaga dan dipelihara seperti menatang minyak yang penuh. Ibubapa angkat menjaga mereka sepertimana seorang anak kandung dipelihara; Makan minum semuanya dijaga rapi, keperluan hidup dipenuhi sebaiknya, lebih-lebih lagi jika anak itu diambil untuk dipelihara sejak bayi lagi. Apabila bayi itu merengek di tengah malam, ibu bapa penjaga tak dapat nak tidur untuk meredakannya sehingga kembali nyenyak. Lama kelamaan akan terbit naluri keibuan dan sukar untuk dipisahkan umpama hubungan kandung.

Antara maqasid syariah dalam Islam ialah memelihara nasab keturunan dan jalur darah kekeluargaan. Walaupun penjagaan anak ini merupakan usaha terpuji, isu dan batasan hubungan antara keduanya perlu dipatuhi dan diamati agar tidak melangkaui ajaran Islam. Antara isu yang sering dibangkitkan dalam masyarakat ialah isu pewarisan anak angkat, menjadi wali nikah dan meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ kepada ayah angkat.

Anak Angkat di Zaman Nabi

Rasulullah juga pernah mengambil anak angkat, iaitu Zaid ibn Harithah, yang juga sahabat Nabi yang sama-sama berjuang untuk Islam. Zaid adalah seorang bekas hamba milik isteri baginda, Khadijah binti Khuwailid. Rasulullah sangat rapat dengan Zaid sehingga penduduk Mekah mem’bin’kan Zaid dengan Muhammad. Namun Allah menegur penggunaan ‘bin’ tersebut dengan turunnya ayat Al-Ahzab:5

“Panggilah mereka (anak angkat itu) dengan ber”bin”kan kepada bapa mereka sendiri; Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara kamu yang seugama dan sebagai “maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Al-Ahzab:5

Selain itu, Rasulullah juga telah mengahwini bekas isteri Zaid, iaitu Zainab binti Jahsy. Peristiwa ini menangkis adat Jahiliyyah yang menganggap anak angkat sebagai anak sendiri; dengan berlakunya peristiwa ini, maka jelas tiada halangan untuk Rasulullah atau sesiapa pun mengahwini bekas isteri anak angkat. Ini kerana hukumnya tidak sama dengan mengahwini bekas isteri anak kandung.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu (Zainab) itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan nyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah lebih patut engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri anak angkat mereka, apabila anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.

AL-Ahzab:37

Hukum Pewarisan Anak Angkat

Antara batasan dalam hubungan ialah yang bersangkutan dengan pewarisan harta pusaka. Seseorang itu boleh mewarisi dan mewariskan hartanya kepada orang lain apabila berlakunya perkahwinan, pertalian darah dan perhambaan. Pendaftaran yang sah di Jabatan Pendaftaran Negara bukanlah tiket untuk membolehkan pewarisan berlaku. Sekiranya ibu bapa angkat meninggal, anak angkat tidak boleh menuntut walau sesen pun pusaka mereka, walaupun telah lama tinggal bersama dan berkhidmat menjaga mereka ketika sakit.

Begitu juga sebaliknya.

Sekiranya anak angkat itu meninggal dahulu, ibubapa dan keluarga kandungnya adalah waris yang berhak mendapatkan hak Faraid, meskipun mereka tidak pernah datang menjenguk. Sekiranya kemunculan semula mereka hanya kerana nak menuntut hak, maka tiada yang dapat menghalang. Kerana dari segi hukum Syariah, mereka memang ada hak, walaupun mereka sebelumnya gagal menunaikan tanggungjawab sebagai ibubapa kandung menjaga anak mereka.

Oleh sedemikian, keluarga yang mempunyai anak angkat adalah antara golongan kritikal yang perlu membuat perancangan harta untuk pewarisan. Kebajikan anak akan terjejas sekiranya ibubapa angkat meninggal dahulu dan menyebabkannya hilang tempat pergantungan sumber kewangan, fasiliti dan tempat berteduh. Adik beradik angkat yang merupakan anak kandung mereka mungkin enggan untuk menyerahkan sebahagian hak mereka kepada kepada anak angkat itu, kerana statusnya yang kekal sebagai ‘orang luar’.

Sebagaimana kita tidak boleh menduga pakcik berkopiah akan berkeras apabila menuntut harta pusaka, lebih kritikal lagi bagi anak angkat yang sememangnya tidak layak mendapat sebarang bahagian pusaka.

Wasiat Atau Hibah?

Bagi merancang pewarisan, ada dua pilihan iaitu untuk membuat wasiat atau hibah.

i) Wasiat. Anak angkat bukan waris Faraid, maka tiada halangan untuk meletakkannya sebagai penerima dalam surat wasiat. Hadnya tertakluk kepada batasan umum wasiat, iaitu terhad kepada 1/3 harta setelah ditolak peruntukan hutang, kos kebumi dan sebagainya. Untuk harta tak alih, kurang isu untuk membahagikan 1/3 harta. Tetapi jika hasratnya untuk memastikan anak angkat ada tempat berteduh, maka agak sukar untuk mewasiatkan 1/3 daripada nilai rumah, yang tertakluk juga kepada penyusutan harta pusaka apabila digunakan untuk membayar hutang tinggalan arwah.

ii) Hibah. Hibah tiada had; boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dan tiada had berapa banyak yang hendak diberikan. Maka ini adalah solusi yang baik jika hendak memastikan anak angkat akan dapat rumah sebagai tempat berteduh. Hibah terlaksana semasa hidup, maka ia tidak tertakluk kepada penyusutan harta pusaka berikutan penyelesaian hutang. Harta yang dihibah diasingkan daripada pusaka dan Faraid. Ini bermakna waris Faraid tidak berhak menuntut hak ke atas harta yang dihibah. Namun begitu, ada sedikit cabaran dari segi prosedur tuntutan Hibah di Malaysia amnya dan khasnya untuk penerima bukan waris qadim seperti anak angkat. Isu ini telah dikenalpasti oleh Wasiyyah Shoppe dan ada penyelesaiannya dalam produk yang ditawarkan.

Untuk mendaftar Hibah Anak Angkat, boleh Whatsapp terus ke saya, Ansari di 019-749 8210 atau KLIK SINI.

Pendaftaran Pengangkatan Anak

Undang-undang Malaysia tidak mensyaratkan pengambilan anak angkat didaftarkan. Namun begitu, anak yang tidak didaftarkan akan mengalami kesukaran untuk melengkapkan urusan rasmi seperti mendaftar sekolah, permohonan kad pengenalan, passport. Malah penjaga tersebut juga tidak boleh mengambil polisi Takaful bagi melindungi anak itu kerana sijil pengangkatan diperlukan untuk mendaftar polisi.

Proses pendaftaran pengangkatan de facto memerlukan mereka yang berhasrat agar memelihara anak tersebut selama sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai anak angkat di Jabatan Pendaftaran Negara secara sah.

Tempoh 2 tahun itu bermula di saat ibu bapa kandung menyerahkan anak mereka kepada ibu bapa angkat melalui Surat Keizinan Berkanun. Setelah cukup tempoh,mereka boleh memohon untuk mendapatkan sijil pengangkatan yang akan dikeluarkan oleh JPN. Pengiktirafan sijil pengangkatan ini penting untuk melindungi hak ibu bapa dan anak angkat; contohnya apabila ibu bapa kandung berhasrat untuk mengambil semula jagaan anak mereka, walaupun setelah bertahun-tahun lamanya anak tersebut telah diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Dengan adanya sijil ini, pengangkatan itu sudah muktamad dan tindakan mereka salah dari segi undang-undang sivil.