Hibah adalah pemberian harta kepada penerima hibah semasa hidupnya, tanpa balasan, dan dilakukan atas dasar kasih sayang. Harta yang dihibah mestilah dimiliki sempurna oleh pemberi hibah sepenuhnya; tidak terikat dengan pinjaman bank, cagaran atau bentuk sekatan lain. Ini adalah definisi biasa hibah yang kita fahami.   

Jika diikutkan definisi hibah ini, rumah yang masih dalam pinjaman TIDAK BOLEH dihibahkan. Namun begitu, majoriti rumah yang dimiliki di Malaysia adalah rumah bercagar yang terikat dengan pinjaman. Dan majoriti harta beku yang kini telah mencecah RM70,000,000,000 (bilion) adalah harta tak alih iaitu rumah atau tanah. Lebih dukacita, sebahagian besar harta beku adalah harta warisan umat Islam yang tidak diuruskan pusakanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan.Waris rugi, ekonomi umat Islam secara keseluruhannya pun rugi.

harta umat islam beku

Antara punca banyaknya harta beku itu ialah kerana harta tersebut tidak dirancang cara pembahagiannya semasa hidup. Seterusnya berlaku perebutan harta, waris tidak tahu Faraid dan bertangguh menguruskan pusaka. Kaedah yang berkesan untuk membahagikan harta KEPADA WARIS ialah menggunakan kaedah hibah.

 

Hibah Mutlak

Banyak syarikat yang menggunakan Hibah Mutlak, berbanding Hibah Bersyarat (langsung tidak bermakna hibah mutlak lebih baik ya). Lain syarikat, lain kaedah yang digunakan untuk melaksanakan hibah ini. Disebabkan ia berkait dengan undang-undang, setiap kaedah yang digunakan akan membawa implikasi yang berbeza-beza kepada harta yang dihibah dan penerimanya.

Harta yang boleh dihibah mutlak hanyalah HARTA YANG TIDAK BERCAGAR, iaitu yang telah dilangsaikan bayaran ansuran pinjaman atau dibeli secara tunai. Geran rumah tersebut jelas tertera nama pemilik dan tiada sekatan atau kaveat yang tertulis dalam geran. 

Kaedah paling asas hibah mutlak ialah menggunakan Borang 14A tanpa adanya dokumen hibah. Selain itu, ada syarikat yang menyediakan dokumen hibah mutlak terlebih dahulu dan disusuli dengan Borang 14A. Ada juga yang menggunakan jalan Mahkamah Sivil iaitu menyediakan deklarasi hibah bersama-sama dengan Surat Kuasa Wakil.

Kesan Hibah Mutlak

Kesan utama hibah mutlak ialah pemilikan harta berpindah milik daripada pemilik harta kepada penerima serta merta (ada perbezaan bagi deklarasi hibah Surat Kuasa Wakil). Ini menepati elemen sempurna milik (tiada hutang) dan harta yang dihibah telah dipindahmilik bukan sahaja secara syarie (hibah), malah dari segi undang-undang (borang 14A). Maka ada yang menyokong penuh hibah mutlak secara Borang 14A kerana hak penerima sudah secure apabila harta itu telah dipindahmilik ke atas namanya. Hibah ini sangat sukar untuk dipertikaikan lagi.

Namun adakah nasib PEMBERI hibah itu secure setelah harta diagihkan?

Setelah proses sempurna, adakah sebarang jaminan bahawa penerima hibah itu contohnya si anak masih kekal perangai baiknya, sikapnya dan ketaatan kepada pemberinya, si ibubapa?

Apabila rumah sudah menjadi miliknya, si anak berkuasa penuh ke atas harta tersebut. Tiada halangan untuknya menjual rumah itu untuk mendapatkan habuan wang segera. Malah ada kes ibubapa dihalau setela rumah dipindahmilik.

Niat baik ibubapa untuk menghadiahkan harta kepada anak berubah menjadi tragedi apabila silap menggunakan instrumen. Kita sebenarnya boleh mengawal risiko ini dengan menggunakan Hibah Bersyarat.

 

Hibah Mutlak Menggunakan Borang 14A

Contoh Hibah Mutlak ialah membuat pindahmilik rumah menggunakan Borang 14A Kanun Tanah Negara, iaitu proses yang sama seperti menjual beli rumah.

pindahmilik rumah

 

Tetapi ini adalah hibah, maka niat ia ditukar nama ialah atas dasar kasih sayang pemilik harta kepada penerima. Dalam borang 14A ini, untuk ruangan balasan boleh diletakkan balasan ‘kasih sayang’. Ini adalah sebab balasan yang diterima dari segi undang-undang.

 

balasan kasih sayang

Duti Setem Pindahmilik

Asasnya, sebarang bentuk pindahmilik akan dikenakan duti setem. Namun begitu, pihak kerajaan telah memberikan pengecualian dan diskaun duti setem untuk pindahmilik kasih sayang. Tetapi, bukan sebarang hubungan kasih sayang ya. Jika anda dah terfikir nak menggunakan alasan kasih sayang untuk lari dari membayar duti, ada berita buruk. Hanya pindahmilik berikut yang boleh mendapat diskaun duti setem:

Diskaun 50%:

  • Ibu/bapa kepada anak
  • Anak kepada ibu/bapa

Diskaun 100% atau pengecualian duti setem:

  • Suami kepada isteri
  • Isteri kepada suami

Selain daripada hubungan di atas, duti setem penuh dikenakan. Maka jika pindahmilik dilakukan antara adik beradik, maka tiada diskaun diberikan ke atas duti setem. Begitu juga jika hibah ditujukan kepada bekas isteri – duti setem penuh dikenakan kerana hubungan suami isteri sudah terbubar.

 

Hibah Mutlak Menggunakan Surat Kuasa Wakil

Ada syarikat yang membuat deklarasi hibah bagi menetapkan arahan hibah dan digandingkan bersama dengan Surat Kuasa Wakil. Ini berbeza dengan kaedah hibah mutlak Borang 14A di atas. Kaedah ini menggunakan jalan Mahkamah Sivil, dan tidak melibatkan Mahkamah Syariah. Apabila pemberi itu telah menandatangani Surat Kuasa Wakil, atau Power of Attorney, bermakna dia sudah menyerahkan hak kuasa kepada syarikat itu untuk bertindak menjalankan urusan ke atas harta yang telah dihibah.

Sepertimana hibah mutlak, pemilik asal telah kehilangan kuasa ke atas harta tersebut. Tiada transaksi boleh dilakukan ke atas harta itu oleh pemberi mahupun penerima hibah kerana harta itu kini telah tertakluk di bawah kuasa syarikat. Sebarang tindakan memerlukan persetujuan syarikat, kerana kuasa mengurus sudahpun diturunkan sepenuhnya kepada syarikat.

Sudah tentu, antara isu besar yang perlu dititikberat ialah pindahmilik ini akan melibatkan duti setem penuh. Ini adalah antara kos tinggi yang perlu ditanggung.

Deklarasi hibah mengandungi arahan yang perlu dilaksanakan oleh syarikat. Ambil perhatian tentang kos perlaksanaan yang akan dicaj oleh syarikat apabila pemberi hibah meninggal kelak. Ia semestinya tidak sedikit. 

 

Hibah Bersyarat

Perbincangan tentang hibah bersyarat lebih panjang. Ada khilaf dalam kalangan pendapat ulama, namun Wasiyyah Shoppe telah berjaya merungkai permasalahan ini dan akhirnya menghasilkan solusi dokumen hibah bersyarat yang telah diiktiraf oleh para hakim Mahkamah Syariah di Malaysia.

Untuk mengelakkan jadi berjela-jela, lebih sesuai rasanya dihuraikan di Part 2. Nantikan…

 

Share This

Share this post with your friends!