Dalam artikel Part 1, telah diterangkan tentang hibah mutlak dan perbezaan cara aplikasi hibah mutlak oleh syarikat-syarikat yang menawarkan perkidmatan. Secara ringkas, hibah mutlak atau disebut juga sebagai hibah munjizah adalah hibah yang dibuat tanpa syarat ataupun balasan.

Apabila telah memenuhi rukun dan syaratnya, hibah mutlak akan memberi kesan berikut:

  1. Harta yang dihibah akan berpindahmilik kepada penerima hibah secara serta merta.
  2. Hak milik penerima hibah kekal dan tiada had tempoh
  3. Pemberi hibah hilang kuasa dan hak milik ke atas fizikal harta yang dihibah dan manfaatnya (contoh: kutipan sewa rumah)

 

Syarat yang Dibolehkan Dalam Hibah Bersyarat

Hibah bersyarat adalah hibah yang disertai dengan syarat atau balasan yang mengikat akad hibah tersebut. Namun begitu, bukan sewenang-wenangnya kita boleh meletakkan apa jua syarat yang dimahukan. Syarat tersebut mestilah tidak fasid, iaitu tidak bercanggah dengan hakikat hibah iaitu pemberian secara sukarela.

Maka syarat yang diletakkan mestilah tidak menjejaskan indikasi bahawa pemberi hibah benar-benar redha untuk memberikan hartanya.

Pensyaratan dalam hibah boleh berlaku dalam bentuk sighah secara idafah, tawqit, dan ta’liq:

  1. Idafah: Disyaratkan tidak dikuatkuasa serta merta, tetapi pada masa akan datang. “Saya hibahkan harta ini pada bulan hadapan.”
  2. Tawqit: Menetapkan tempoh untuk pemilikan harta yang dihibah. “Saya hibahkan harta ini untuk setahun.”
  3. Ta’liq: Meletakkan syarat berlakunya sesuatu perkara, barulah akad hibah akan berkuatkuasa. “Jika Amad datang, saya hibahkan kepada kamu rumah ini.”

Hibah yang dilakukan secara idafah, tawqit, dan ta’liq mempunyai isu dari kesahan hibah dan perlu diteliti sekiranya ia bertentangan dengan hakikat hibah. 

Hibah bersyarat juga boleh dibuat dengan sighah taqyid, di mana perlaksanaan akad hibah itu bergantung kepada syarat. Hibah ini dibahagikan kepada hibah dengan syarat umra, ruqba dan dengan syarat balasan.

 

Syarat Hibah yang dibahaskan

Antara syarat hibah yang dibincangkan dalam perbahasan fiqh seperti berikut:

  • Hibah dengan balasan
  • Syarat melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan
  • Syarat penerima hibah tidak bertasarruf dengan harta yang dihibah
  • Mensyaratkan penerima hibah melangsaikan hutang penghibah
  • Syarat pemberi hibah masih boleh menikmati manfaat harta yang dihibah selagimana dia masih hidup
  • Syarat pindahmilik selepas kematian penghibah. 

 

Syarat Fasid dalam Hibah

Contoh syarat fasid ialah meletakkan syarat seperti harta yang dihibah tidak boleh dijual atau dihibah kepada orang lain, atau mesti dijual kepada orang tertentu.

Syarat fasid yang lain ialah syarat yang tidak selari dengan etika dan undang-undang, contohnya suami menghibahkan kepada isteri yang diceraikan dengan syarat bekas isteri itu tidak boleh berkahwin sepanjang umurnya. 

Hibah yang dibuat dengan syarat fasid adalah sah, namun syarat yang mengikat itu terbatal. Syarat yang rosak tidak membatalkan hibah tersebut.

 

Nilai Balasan Hibah

Hibah dengan syarat balasan zahirnya menyerupai akad pertukaran (mu’awadat). Untuk mengekalkan status pemberian hibah ini sebagai akad tabarru’, maka diperuntukkan agar nilai harta yang dihibah mestilah lebih rendah dari nilai balasan yang disyaratkan. Ini juga bagi mengelakkan ia dianggap sebagai transaksi jualbeli, dan bukannya hibah.

Syarat hibah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan itu perlu diteliti satu persatu. Secara umumnya, tindakan itu mestilah:

  1. Tidak mustahil untuk ditunaikan
  2. Ditentukan dengan jelas
  3. Tidak menyalahi etika dan undang-undang

 

Hibah Ruqba dan Umra

Kebiasaannya syarat diletakkan dalam akad hibah bertujuan memelihara dan menjamin kedudukan penghibah pada masa hadapan setelah hartanya dihibahkan. Ini bagi mengelakkan penerima hibah mengabaikan dan berpaling tadah setelah hakmilik harta berubah tangan.

Syarat taqyid (mengikat) seperti Umra atau Ruqba diletakkan dalam kontrak hibah berdasarkan keperluan dan kehendak penghibah dan dipersetujui oleh penerima melalui ijab qabul.

Penjelasan lanjut berkenaan Umra dan Ruqba akan dibincangkan dalam artikel Part 3 insyaAllah..

Share This

Share this post with your friends!