Waris Asobah Tidak Dapat Apa-apa Bahagian Pusaka Akibat Dihabiskan Oleh Waris Lain

Waris Asobah Tidak Dapat Apa-apa Bahagian Pusaka Akibat Dihabiskan Oleh Waris Lain

Waris asobah adalah golongan waris yang berhak menghabiskan baki pecahan Faraid setelah dibahagi-bahagikan pecahan kepada waris-waris fardhu. Waris asobah juga menghalang waris yang lebih jauh daripada mendapat hak Faraid. 

Kedudukan waris asobah samada memperoleh bahagian yang besar atau kecil bergantung kepada struktur keluarga dan pecahan hak yang diberikan kepada para waris Faraid yang masih hidup. Waris asobah tidak diperuntukkan bahagian pecahan tertentu, tetapi mengambil baki yang tersisa.

Ada masanya waris asobah akan ‘untung’ kerana mendapat baki yang besar, tetapi ada kalanya kecil. Malah ada kalanya waris asobah tidak mewarisi walau sesen pun, kerana bahagian Faraid telah dihabiskan oleh waris-waris fardhu yang lebih dekat dengan arwah.

Saya ada real case study, daripada potential client saya yang baru sahaja saya consult.

Beliau ada 3 orang anak perempuan, ayah sudah tiada, dan 5 orang adik beradik. Disebabkan beliau tiada ayah dan anak lelaki sebagai asobah, maka beliau termasuk dalam golongan kritikal untuk hibah. Di bawah ini jadual pembahagian bagi setiap waris beliau.

waris asobah

Beliau tiada ayah atau anak lelaki untuk menghalang adik beradiknya daripada mewarisi harta pusakanya. Adik beradik lelakinya menjadi waris asobah bersama adik beradik perempuan, yang akan berkongsi sesama mereka baki pusaka yang tinggal.

Namun begitu, adik beradiknya tidak bernasib baik kerana walaupun ada hak Faraid, mereka tidak mewarisi sebarang harta pusaka kerana kesemua bahagian telah dihabiskan oleh waris-waris yang lain, iaitu dikongsi antara ibu, suami dan anak-anak perempuannya sahaja.

Perhatikan di column paling kanan bagi Sdr (L) dan Sdr (P) SIB. Bahagian mereka adalah 0/39.

 

Dalam situasi ini, adakah masih kritikal untuk buat hibah?

Tidak kritikal, KALAU boleh dijamin tiada siapa di antara waris-waris di atas selain adik beradiknya yang meninggal dahulu sebelum beliau.

Sabar dulu, itu sebenarnya hanyalah retorik.

Mustahil untuk sesiapa pun kecuali Allah tahu bila kematian akan menjelma. Oleh itu, kurang bijak untuk membuat keputusan bergantung kepada senario itu sahaja. Sila selidiki setiap waris dalam jadual, apakah yang akan berubah jika salah seorang pergi dahulu?

Ambil contoh ibunya yang sudah berumur lanjut. Sekiranya ibunya meninggal dahulu, maka bahagian pecahan setiap waris akan berubah.

waris asobah

Jika ibunya tiada, adik beradik akan dapat pusaka Faraid.

Walaupun jumlah bahagian adik beradik nampak kecil iaitu 9/108, tetapi apabila dinilaikan pecahan hak tersebut berbanding keseluruhan nilai pusaka yang bernilai RM1 juta (sebagai contoh), pecahan itu menjangkau RM83,000.

Nilai tersebut biasanya dikaitkan dengan tebus pusaka. Contohnya berapa nilai pampasan yang patut dibayar kepada waris yang berhak, sebagai timbal balas dia melepaskan haknya ke atas rumah pusaka tersebut.

Namun begitu, tebus pusaka ini hanya boleh dilaksanakan jika waris tersebut bersetuju.

Kalaulah mereka menolak tebus pusaka, maka nama mereka walau sekecil mana pun bahagiannya, akan tercatat dalam geran rumah. Maka sebarang transaksi ke atas rumah akan memerlukan persetujuan mereka. Dan sekiranya mereka meninggal, maka bahagian mereka akan diwariskan pula kepada waris-waris Faraid mereka.

Rumit?

Maka hibahkan lah sahaja untuk memudahkan.

Setuju Nak Ikut Faraid, Tapi Kenapa Harta Pusaka Masih Beku?

Setuju Nak Ikut Faraid, Tapi Kenapa Harta Pusaka Masih Beku?

Antara sebab harta beku mencecah RM70 bilion hari ini ialah kerana waris tidak tahu apa yang perlu dilakukan setelah arwah meninggal. Jika sebelum kematian mereka duduk di rumah bersama arwah, maka setelah ketiadaannya kehidupan diteruskan seperti biasa. Mereka masih duduk di rumah tersebut seperti biasa.

Untuk rumah yang sudah tiada hutang, tiada yang akan mengganggu untuk meminta bayaran ansuran. Namun, rumah itu sudah bukan lagi milik arwah. Memang di geran masih belum berubah, tetapi secara syariatnya ia kini adalah milik bersama waris-waris yang lain. 

Bermakna.. Anda memakan hak orang lain secara batil, selagi tidak meminta izin.

Selagi pusaka arwah tidak diurus, selagi itu sebarang penukaran hak milik rumah tidak dapat dilakukan. Begitu juga harta pusaka arwah lain peninggalan arwah. Semua harta yang berdaftar akan beku dan tidak boleh diagihkan kepada para waris, selagi belum selesai melalui proses pentadbiran pusaka.

 

Nak Laksana Faraid Perlu Mentadbir Proses Tuntutan Pusaka

Hukum faraid menerangkan siapa waris dan bahagian faraid yang mereka warisi.
Dalam erti kata lain siapa berhak dan berapa hak mereka keatas harta pusaka simati.

Harta pusaka arwah perlu ditadbir melalui proses undang undang dan uruskan sebelum diagih kepada waris yang berhak jika ada baki untuk diagihkan.

Faraid TIDAK BOLEH dilaksanakan dengan sendirinya tanpa melalui proses pentadbiran. Secara umum proses ini perlu melalui 3 peringkat.

 

1. Perolehan KUASA
2. PenTADBIRan
3. PemBAHAGIan

Pembahagian faraid adalah di peringkat yang ke-3. Tanpa peringkat 1 dan 2, peringkat 3 tidak dapat dilasanakan atau digelar Harta Beku.

Secara majoritinya harta di Malaysia mempunyai pendaftar harta dimana jika berlaku kematian kepada pemilik harta yang berdaftar, pendaftar harta perlu mengikuti proses pengurusan pusaka yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, pendaftar kereta adalah Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ), jika berlaku kematian, nama dalam geran kereta perlu di tukar kepada waris yang berhak. Oleh itu waris perlu mendapatkan surat kuasa sebagai pentadbir harta barulah boleh berurusan dengan JPJ utk proses tukar milik.

Perlembagaan telah dengan jelas mengasingkan pengeluaran Surat Kuasa Mentadbir (Letters of Administration) dan Probet (Probate) dan perintah pembahagian pusaka (vesting order) kepada Mahkamah Sivil, Surat Kuasa Tadbir dan perintah pembahagian di pejabat pusaka kecil. Manakala penentuan hukum syarak yang berbangkit di dalamnya kepada mahkamah syariah.

 

Harta yang Tidak Perlu Perolehan Kuasa

Bukan semua harta pusaka perlu perolehan kuasa.

Contoh yang tidak perlu perolehan kuasa adalah harta yang tidak berdaftar atau berpenama:

1. Duit yang disimpan di rumah, dalam laci, bawah bantal

2. Barang kemas yang disimpan dirumah.

3. Handbag yang berharga dll

4. Barang berharga yang dimiliki seperti jam tangan, lukisan, dll

5. Wang KWSP yang berpenama

6. Wang di Tabung haji yang berpenama

7. Manafaat takaful yang berpenama (wasi atau hibah)

8. Pampasan Insurans yang berpenama

9. Wang di koperasi yang berpenama

10. Wang pelaburan unit amanah yang berpenama

 

Meskipun harta di atas tidak memerlukan perolehan kuasa, ia masih tertakluk kepada pembahagian secara Faraid.

Sila ambil perhatian, jika tiada penama diletakkan walaupun ada kemudahan penamaan. Harta kekal beku sehingga ia melalui 3 peringkat yang telah dijelaskan di atas.

Perlu jelaskan bahawa harta yang berpenama adalah harta pusaka simati dan penama hanyalah wasi yang bertindak sebagai pentadbir bukan pemilik harta pusaka sepenuhnya sperti yang nyatakan di bawah.

 

Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Penama yang diamanahkan untuk melaksanakan wasiat si mati atau wasi diwajibkan membahagikan harta pusaka si mati kepada waris yang berhak mengikut faraid.
(Muzakarah J/K Fatwa Kali KE 7 bth 5 Julai 1973)


Akhir sekali, selepas dikumpulkan harta pusaka, perlu ditolak kos kebumi, hutang arwah kepada Allah dan manusia, tuntutan harta sepencarian pasangan, wasiat 1/3 (amal jariah/bukan waris) dan jika masih ada baki diagihkan kepada waris faraid mengikut kadar yang telah ditetapkan.

 

Kesimpulan

1. Faraid TIDAK BOLEH dilaksanakan dengan sendirinya tanpa melalui proses pentadbiran.

2. Waris perlu melalui 3 peringkat untuk faraid dilaksanakan

3. Proses pusaka melibatkan undang-undang sivil dan syariah

4. Pemilik harta perlu faham kesan harta beku dan rancang pewarisan supaya tidak membebankan waris

5. Harta beku merugikan waris dan ekonomi ummah

 

Disesuaikan dari tulisan asal:

En Khamarul Azhar, Kausar Wealth Management

Adakah Sah Menggunakan Wali Hakim Untuk Nikah di Thailand?

Adakah Sah Menggunakan Wali Hakim Untuk Nikah di Thailand?

Perkahwinan di Thailand seringkali dikaitkan dengan nikah sindiket atau nikah lari kerana tidak mendapat persetujuan yang berkenaan. Bagi yang hendak berpoligami, memang ini pilihan yang popular. Namun, janganlah terlalu mengikut nafsu sehingga memandang mudah hukum agama yang bersangkut paut dengan munakahat. Implikasinya sangat besar.

Jika pernikahan itu dibuktikan tidak sah, perkahwinan itu wajib dibubarkan. Pasangan itu sebenarnya dengan tidak disedari hidup dalam penzinaan; benih anak yang lahir tidak sah taraf, tidak boleh di’bin’kan dan tidak waris mewarisi kepada ‘ayah’nya. Antara komponen utama yang menjadi isu kesahan pernikahan di Thailand ialah wali yang mengijabkabulkan pasangan.

Secara asasnya, wali terdiri daripada:

  • Wali Nasab (keturunan) iaitu wali mujbir, wali aqrab dan wali ab’ad
  • Wali Hakim

Wali Nasab ialah wali yang mempunyai jalur keturunan dan pertalian darah dengan pasangan perempuan. Untuk mengakadnikahkan pasangan, ada tertib turutan bagi individu yang layak menjadi wali. Contohnya jika bapa tiada, datuk berhak menjadi wali. Dan seterusnya..:

  • Bapa Kandung.
  • Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
  • Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
  • Adik Beradik Lelaki Sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Wali Hakim.

Menurut mazhab Syafie, wali mujbir terdiri daripada bapa kandung dan datuk sebelah bapa ke atas. Wali mujbir mempunyai kuasa untuk mengahwinkan anak atau cucu perempuannya yang masih dara TANPA perlu meminta izinnya.

“Perempuan janda lebih berhak pada dirinya daripada walinya dan perempuan perawan atau dara dikahwinkan oleh bapanya”.

(Riwayat Darul-Qutni)

Wali aqrab dan wali ab’ad merujuk kepada dekat dan jauhnya hubungan bakal pengantin perempuan dengan wali berkenaan, mengikut tertib wali di atas. Wali yang aqrab (dekat) lebih utama untuk menjadi wali nikah berbanding wali ab’ad. Sekiranya wali ab’ad yang menikahkan pengantin sedangkan adanya wali aqrab yang layak, dikhuatiri pernikahan itu boleh menjadi fasad (rosak).

Dalam kes Ismail bin Abdul Majid lawan Aris Fadilah dan Insun bt Abdul Majid (1990, Jld. V, II, JH) di Mahkamah Syariah, Kuala Kangsar, Perak, Yang Arif Hakim Amran bin Satar telah memutuskan perkahwinan yang diwalikan oleh wali ab’ad sedangkan wali aqrab masih ada maka perkahwinan itu tidak sah.

Pernikahan rakyat Malaysia di Thailand kebanyakannya menggunakan wali hakim, bukan wali nasab. Maka di sini timbul persoalan; adakah sah perkahwinan menggunakan wali hakim sedangkan wali nasab masih hidup?

Syarat Dibolehkan Mengguna Wali Hakim

nikah

Wali nasab diutamakan untuk melangsungkan pernikahan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, pasangan boleh dinikahkan menggunakan wali hakim. Ini berdasarkan hadis berikut:

السُلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لاَ وَلِيَّ لَهُ

Sultan wali bagi orang yang tiada wali.

Berdasarkan hadis di atas, Sultan atau pemerintah yang berautoriti menjadi wali bagi mereka yang tiada wali. Sultan dan pemerintah sibuk dengan pelbagai tugasan yang lain, maka wali hakim dilantik dan diberi tauliah untuk menggalas tugas perwalian bagi mewakili mereka.

Antara sebab menggunakan wali hakim ialah:

  • Tiada wali nasab seperti saudara baru memeluk Islam
  • Anak tidak sah taraf iaitu anak luar nikah
  • Anak angkat yang asalnya dari luar nikah. Jika melalui pernikahan yang sah, maka wali nasab ialah bapa kandungnya dan seterusnya.
  • Wali tidak cukup syarat. Wali aqrab atau ab’ad yang tidak waras, tidak cukup umur dan sebagainya. Ada perselisihan tentang wali yang fasik.
  • Wali enggan. Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak
  • Wali Aqab menunaikan Haji atau Umrah. Dalam kitab Minhaj Talibin dinyatakan jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim.

“Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin”. (Riwayat Muslim)

Nikah sindiket lazimnya menggunakan wali nikah yang tidak mempunyai tauliah daripada Majlis Agama di Thailand, maka dikhuatiri pernikahan tersebut tidak sah mengikut syariat Islam. Sekiranya wali nikah yang sah digunapakai, maka isu pentadbiran seperti mendaftar di konsulat Malaysia di Thailand perlu dilakukan bagi membolehkan pendaftaran nikah dilaksanakan di Malaysia. Ini penting bagi memudahkan urusan seperti pewarisan dan pengiktirafan waris dikenalpasti.

Fatwa Kebangsaan Berkaitan Nikah Thailand

Nikah di Thailand juga dipanggil sebagai nikah lari. Lari kerana pasangan tersebut dinikahkan dengan tidak menggunakan wali nasab yang terdekat.

Mengikut Mazhab Syafi’e, sekiranya wali aqrab ghaib atau berada jauh dan tiada walinya maka yang menjadi wali ialah wali hakim di negerinya, bukan wali ab’ad. Ini berdasarkan wali yang ghaib atau berada jauh itu pada prinsipnya tetap berhak menjadi wali tetapi kerana sukar melaksanakan perwaliannya, maka haknya diganti oleh wali hakim.

Perkahwinan yang dilakukan di dalam kawasan di mana wali mujbir kepada perempuan bermastautin hendaklah dilakukan dengan izin daripadanya. Namun, jika perempuan tersebut keluar daripada kawasan tersebut sejauh dua marhalah maka perkahwinan tersebut sah walaupun tanpa mendapatkan persetujuan wali.

Oleh yang demikian, pernikahan di Thailand dengan menggunakan wali hakim adalah sah sekiranya kedudukan wali aqrab dengan lokasi pernikahan adalah jauh, tidak kurang dari dua marhalah. Syarat lebih lanjut ada dijelaskan dalam Fatwa Kebangsaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie.

Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.

Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:

1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.

2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.

3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin.

4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

Mendaftar Perkahwinan di Malaysia

Seksyen 31 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi sudah kembali ke Malaysia perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

Walaupun perkahwinan yang dilangsungkan memenuhi rukun nikah, kegagalan untuk mendaftar pernikahan di Malaysia boleh membawa kesan yang besar dalam isu pentadbiran. Pendaftaran sijil lahir anak memerlukan surat nikah yang berdaftar. Tanpa sijil lahir, pelbagai kebajikan anak tidak dapat dipenuhi seperti mendaftar persekolahan dan sebagaianya.

Dalam pewarisan, perkahwinan perlu didaftarkan bagi membolehkan waris dikenalpasti. Sekiranya pasangan meninggal dunia tanpa sempat didaftarkan, maka isunya akan menjadi rumit.

Bagi lelaki yang berpoligami dan bernikah secara rahsia di Thailand, pewarisannya akan menjadi bercelaru sekiranya tidak dimaklumkan semasa hidup. Isteri baru yang tidak berdaftar akan melalui pengalaman perit menuntut hak Faraid apabila isteri lama menafikan arwah suaminya ada bernikah yang lain. Tanpa dokumen pernikahan yang didaftarkan di Malaysia, sukar untuk isteri baru itu membuktikannya sebagai isteri yang sah di sisi undang-undang negara dan menuntut hak sebagai pewaris.

Sumber:

i) https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2670-irsyad-al-fatwa-siri-ke-256-nikah-siam-tanpa-wali-mujbir

ii) http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2733-al-kafi-879-nikah-tanpa-berwalikan-bapa

iii) http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2092-al-kafi-498-wali-enggan

iv) http://tayibah.com/eIslam/wali.php

v) http://www.sppim.gov.my/pdf/panduan/fatwa_munakahat-2013.pdf

Teruskan pemberian BULANAN walaupun sudah meninggal (Bukan Hibah Takaful)

Teruskan pemberian BULANAN walaupun sudah meninggal (Bukan Hibah Takaful)

Dalam kes perbicaraan arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis baru-baru ini, seorang saksi iaitu adik tirinya memberitahu yang arwah semasa hidupnya konsisten memberikan elaun bulanan RM15,000 dan RM10,000 hingga RM20,000 setiap kali berkunjung ke rumahnya. Pemberiaan itulah yang digunakan untuk menampung keperluan makan minumnya dan ibunya, perbelanjaan rumah, di samping untuk menjelaskan bil perubatan kerana beliau menjalani rawatan dialisis. Rawatan dialisis ini jika dijalani di hospital swasta memang akan membebankan kewangan, terutamanya ia perlu dilakukan secara kerap beberapa kali setiap minggu.

Yang menarik perhatian saya ialah bantuan ini tetap diteruskan walaupun setelah arwah meninggal dunia. Namun, bantuannya ada yang kekal, ada yang berkurangan dan ada yang terhenti selepas beberapa ketika. Yang terhenti ialah bekalan ikan segar dari Pahang dan pembayaran bil Astro (baru diteruskan bayaran Astro dan bekalan ikan sebulan yang lalu). Elaun bulanan diteruskan namun berkurang sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terhenti pada Julai 2017.

Elaun bulanan itu disalurkan melalui tiga syarikat milik arwah dan pembayaran elaun itu dikendalikan oleh sahabat rapat arwah yang juga pekerja di syarikat tersebut. Mereka lah yang dipercayai oleh arwah untuk menjaga keluarganya.

Setelah elaun terhenti, beliau terpaksa bergantung kepada bantuan maknya dan pinjaman sahabat rapat arwah.

Pemberian Terhenti Bila Pemberi Meninggal

Adik tiri arwah Tan Sri Jamaluddin dan ibunya banyak bergantung kepadanya dari segi kewangan. Dalam keadaan adik tirinya itu perlu menjalani dialisis, bantuan kewangan itu sangat penting sebagai talian hayat untuk perbelanjaan kehidupannya dan ibunya. Bantuan kewangan elaun yang disalurkan oleh arwah pun bukanlah sedikit. Sudah tentu lifestyle dan perjalanan hidup seharian akan terganggu apabila elaun berkurangan dan akhirnya terhenti.

Beliau bergantung kepada ihsan sahabat rapat arwah untuk meneruskan pemberian elaun seperti sebelum kematian arwah. Pergantungan kepada manusia ada kelemahannya. Manusia boleh berubah (Tidak menolak kemungkinan ada faktor luaran lain yang mempengaruhi). Faktor manusiawi yang tidak tentu ini yang membuatkan kita risau tentang kebajikan waris yang tidak terjamin bila kita tiada.

Nampak lompongnya di situ?

Produk Amanah Wasiyyah Shoppe

Di sinilah Wasiyyah Shoppe selaku syarikat amanah yang terikat dengan Akta Syarikat Amanah 1949 dapat memenuhi aspirasi pemilik harta yang risau jika manusia yang dipercayai tidak dapat memenuhi hasratnya. Akta ini mengikat Wasiyyah Shoppe untuk melaksanakan amanah yang telah digariskan oleh pemilik harta. Jika disabitkan ada pelanggaran arahan itu, maka syarikat boleh dikenakan hukuman denda yang sangat berat.

Bentuk arahan yang boleh dibuat agak fleksibel. Dalam kes di atas, arahan pengagihan seperti memberikan elaun bulanan kepada individu tertentu boleh dibuat dan boleh dinyatakan syarat seperti berapa lama tempoh pemberian itu dilaksanakan.

Dalam isu lain, pemilik harta boleh meletakkan hendak memberi elaun bulanan kepada orang yang akan memelihara anaknya, jika dia meninggal dahulu. Contohnya semasa hidup dia dah berpesan kepada adiknya untuk menjaga hal ehwal anaknya. Takkan nak pesan suruh jaga saja tanpa sediakan wang, betul? Bila dah ada sediakan wang pula, bagaimana nak memastikan adiknya akan menunaikan tanggungjawab menjaga anaknya dengan baik? Wasiyyah Shoppe boleh membantu menjaga amanah tersebut.

Ada endless possibilities bentuk arahan amanah yang boleh dibuat oleh pemilik harta. Tapi of course, semuanya ada had. Pemilik boleh nyatakan concern, hasrat dan perancangan cara agihan, dan syarikat akan menentukan samada ia boleh dilaksanakan. Sebab jangan dilupa, bila arahan itu telah tertulis dalam dokumen amanah, maka WAJIB untuk syarikat melaksanakan amanah tersebut sebaiknya. Ada Akta yang melindungi amanah pemilik.

Kenapa Bukan Hibah Takaful?

Banyak misconception yang berlegar di kalangan agen Takaful yang katanya Hibah Takaful akan melangsaikan hutang dan membolehkan waris meneruskan lifestyle seperti biasa. Lifestyle ini dikira berdasarkan kos sara hidup yang sekarang ini dan pampasan Hibah disyor untuk cukup menampung keperluan sara hidup atau lifestyle untuk tempoh 10 tahun.

Apa yang silapnya? Waris tak dapat ke pampasan tu?

Part tu memang tak silap. Waris akan dapat seperti yang tertera dalam polisi.

Tapi waris bukan dapat secara bulanan. Dan berlainan dengan harapan pemilik harta, waris tidak terikat untuk melangsaikan hutangnya dengan menggunakan hibah Takaful.

Syarikat Takaful akan menyerahkan Hibah secara segelempuk atau lump sum. Apa yang merisaukan ialah situasi psikologi penerima Hibah yang menerima wang runtuh seperti itu dikhuatiri mungkin ada kesamaan dengan pemenang loteri atau penerima wang gratuiti atau VSS. Akan ada kehendak untuk melabur sana sini seperti MLM, membazir membeli barangan mewah atau membeli tanpa had. Bayangkan anda peroleh wang sejuta ringgit yang sebelum ini difikirkan mustahili.

Ramai pemenang loteri yang hit huge jackpot menjadi miskin dalam masa yang singkat. Pastinya bukan itu hasrat pemilik harta. Hasratnya agar Hibah Takaful itu dapat sustain dan digunakan dalam tempoh yang panjang. Sekurang-kurangnya 10 tahun untuk mengekalkan lifestyle yang sama, contohnya.

Sinergi Produk Amanah dan Hibah Takaful

Saya belum sebut tentang sumber harta yang boleh diambil untuk menunaikan hasrat amanah yang telah digariskan oleh pemilik harta.

Connecting the dots, antara sumber harta itu adalah Hibah Takaful. Anda dah tahu kekurangan dari pelaksanaan Hibah Takaful. Syarikat Takaful hanya bertanggungjawab untuk menyerahkan pampasan wang itu kepada penerima. Tetapi arahan lanjut dan hasrat perlaksanaan seperti pengagihan secara berkala, atau pemberian khas apabila berlaku situasi tertentu seperti elaun penjagaan anak atau bayaran perubatan hanya boleh dilengkapkan dengan mengambil produk amanah. Malah penyelesaian hutang menggunakan Hibah Takaful juga boleh dinyatakan.

Dah jelas betapa power nya produk Amanah?

Boleh lah contact saya Ansari di 019-749 8210 atau KLIK SINI.

Rujukan berkaitan kes TS JJ: hmetro

Perkembangan Kes Pusaka Arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis

Perkembangan Kes Pusaka Arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis

Ibu kepada Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Aminah Abdullah, 85, akan meneruskan perbicaraan saman terhadap dua cucunya iaitu Nur Anis, 34, dan Ikwan Hafiz, 32 berhubung dakwaan gagal memasukkan syer tiga buah syarikat lebih RM1.3 bilion dalam senarai aset harta pusaka. 

Aminah telah memfailkan saman itu pada 3 Januari yang lalu yang mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka arwah Jamaluddin gagal memasukkan sebahagian syer tiga buah syarikat iaitu Rantai Wawasan Sdn. Bhd.; Alpine Motion Sdn. Bhd. dan Ivory Insights Wawasan Sdn. Bhd. ke dalam senarai aset dan liabiliti milik Allahyarham.

Aminah mendakwa tindakan itu dibuat bertujuan menafikan hak dan kepentingannya selaku plaintif sebagai benefisiari (pe­nerima) terhadap harta pusaka itu.

Aminah juga mendakwa ke­dua-dua cucunya itu gagal menyatakan anggaran nilai bagi setiap satu syer tiga syarikat itu yang bernilai RM1,384,312,154 dua tahun enam bulan selepas kematian Jamaluddin dan gagal memberi maklumat berhubung harta pusaka sebelum plaintif melantik peguam syarie dan peguamcara untuk bertindak bagi pihak plaintif.

“Pada hari ini kedua-dua defendan ada menawarkan untuk memberi wang faraid (pembahagian harta) kepada anak guam kami namun kami menolak tawaran itu kerana mendapati ia tiada mengena dengan saman sivil mengenai saham syarikat yang dikemukakan di mahkamah ini,” katanya.

Defendan-defendan juga didakwa gagal memasukkan ke dalam senarai aset yang dimiliki Allahyarham iaitu sebuah apartmen di Beacon Street, Boston, Amerika Syarikat dengan anggaran nilai RM10 juta yang dilampirkan bersama surat pentadbiran.

Selain itu beliau mendakwa ada diminta menandatangani dua dokumen iaitu surat penolakan berkaitan permohonan defendan untuk geran surat kuasa dan ikatan perkiraan keluarga. Menurutnya, kedua-dua defendan tahu bahawa plaintif seorang buta huruf.

Sehubungan itu Aminah menuntut kedua-dua defendan memindah milik saham tiga syarikat itu kepada pentadbir bersama harta pusaka.

Beliau juga menuntut pentadbir bersama harta pusaka meminda senarai aset di dalam geran surat kuasa dengan memasukkan saham yang dituntut serta mengakaunkan dividen, bonus, keuntungan dan isu terbitan dalam tiga syarikat kepada beliau.

Turut dituntut kedua-dua defendan menandatangani kesemua dokumen yang perlu selain kos serta relif lain yang sesuai.

Sumber: Kosmo

Pindaan – Pusaka Kecil Kini Urus Harta Bawah RM5 juta

Pindaan – Pusaka Kecil Kini Urus Harta Bawah RM5 juta

Usai urusan pengkebumian, antara urusan yang perlu diselesaikan secepat mungkin ialah menguruskan prosedur tuntuan pusaka arwah. Arwah sudah beralih ke alam Barzakh, maka harta pusaka itu kini hak kepunyaan waris Faraid. Bagaimanapun, harta Faraid yang tinggal untuk dibahagikan adalah bakinya setelah menolak kos pengkebumian, hutang arwah dengan Allah dan manusia, hibah dan wasiat. Sekiranya ada harta arwah yang telah dihibahkan semasa hidup, dokumen hibah yang berkait dengan harta itu perlu dikemukakan kepada waris untuk membolehkan harta itu diasingkan dari harta pusaka.

Bagi yang tidak berpengalaman menguruskan harta pusaka, prosedur ini boleh menjadi rumit dan memakan masa yang lama. Masa yang lama ini juga termasuklah waris bertangguh2 untuk memulakan prosedur pengurusan, atau tidak mencapai kata persetujuan dan kerjasama dari waris yang lain.

Perkara pertama yang perlu dipastikan oleh Wasi atau pentadbir harta pusaka yang dilantik ialah menentukan terlebih dahulu institusi mana yang perlu dituju untuk memulakan prosedur tuntutan pusaka. Ada tiga institusi terlibat dan secara umumnya jenis dan nilai harta yang diuruskan adalah seperti berikut:

  • Pejabat Pusaka Kecil – Harta bawah nilai RM2 juta dan MESTI ada HARTA TAK ALIH seperti tanah atau rumah
  • Mahkamah Tinggi – Harta Alih/Tak Alih atas nilai RM2 juta
  • Amanah Raya – Harta Alih bernilai RM600,000 ke bawah

Perbezaan kos dan caj bagi setiap institusi di atas tidak sama. Caj di Pusaka Kecil adalah yang terendah. Namun begitu, sekiranya pusaka si mati hanya terdiri daripada harta alih sahaja seperti wang simpanan, saham, ASB dan sebagainya, urusan pusaka akan ditolak ke Amanah Raya atau Mahkamah Tinggi. Urusan di Mahkamah Tinggi jauh lebih mahal dan perlu diwakili oleh peguam untuk kelancaran prosedur, tetapi tempoh prosedur lebih cepat.

Perubahan Nilai Kes di Pusaka Kecil

Baru-baru ini pada 2 Ogos 2019, Mesyuarat ke-75 Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah bersetuju untuk meminda Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dengan meningkatkan bidang kuasa nilaian pejabat pusaka daripada RM2 juta kepada RM5 juta.

Mesyuarat juga telah menghapuskan syarat perlunya ada Harta Tak Alih (seperti yang ditulis di atas) dan permohonan pusaka boleh difailkan di mana-mana pejabat pusaka di dalam negeri di mana harta tak alih itu berada.

Kesan Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil

Kesan signifikan kenaikan nilaian dari RM2 juta kepada RM5 juta ialah ia akan membolehkan urusan prosedur tuntutan pusaka dilaksanakan pada kadar yang lebih murah kerana ia boleh diurus di Pusaka Kecil, bukannya ditolak ke Mahkamah Tinggi yang jauh lebih tinggi kosnya.

Kos ini perlu dikeluarkan dari poket waris, atau didahulukan wangnya. Sekiranya kos tersebut diambil dari harta pusaka si mati sekalipun, ia akan mengurangkan harta pusaka yang ada untuk dibahagikan secara Faraid. Sudah tentu, wang simpanan dari pusaka tersebut perlu dipastikan cukup untuk menampung kos pengurusan ini, dan tidak dilupa untuk membayar hutang arwah yang perlu dilangsaikan. Maka, yang lebih murah itu lebih utama dan menguntungkan kepada para waris.

Sumber: Bernama