Hibah Amanah Tabung Haji

Hibah Amanah Tabung Haji

Kalau dulu, ramai orang menyimpan di Tabung Haji sebab nak pergi Haji dengan harga subsidi. Kos pergi Haji cuma dalam RM10,000, tetapi ramai yang menyimpan jauh lebih banyak dari jumlah itu. Simpanan di TH dilihat lebih menguntungkan berbanding simpanan di bank biasa. TH memberikan pulangan bonus dividen 5 – 8% setiap tahun. Dari segi kecairan dan kemudahan untuk keluarkan simpanan, Tabung Haji boleh di’link’ dengan bank seperti Maybank. Dengan banyaknya wang yang disimpan, maka timbul keperluan dan concern untuk perancangan harta dan pusaka. Antara cara yang dipraktikkan ialah dengan meletakkan penama dan membuat Hibah Simpanan Tabung Haji.

Penyimpan boleh meletakkan penama untuk akaun TH tetapi perlu diketahui, fungsi penama TH sama sepertimana penama di akaun KWSP. Penama bukanlah penerima mutlak, tugasnya adalah sebagai pemegang amanah yang akan membahagikan wang di TH itu mengikut pembahagian Faraid. Sebagai alternatif baru-baru ini TH telah memperkenalkan Hibah Amanah yang membolehkan penyimpan menamakan penerima Hibah wang simpanan TH. Berbeza dengan penama, Penerima Hibah adalah penerima mutlak. Dia adalah penerima wang mengikut bahagian Hibah yang telah diletakkan oleh Pemberi Hibah.

Untuk makluman, Wasiyyah Shoppe pun ada produk Hibah Tabung Haji. Adakah ia redundant? TIDAK, kerana produk Hibah Wasiyyah Shoppe ada kelainan berbanding HIbah dari TH dari segi kontrak Hibah yang dimeterai, iaitu jenis hibah yang digunapakai. Ada kesannya yang signifikan kepada Pemberi Hibah. Sila baca lanjut untuk tahu..

Untuk permulaan artikel ini, saya akan membincangkan dahulu tentang Hibah dari Tabung Haji sendiri. Kebanyakan bahan diambil direct dari sumber TH.

 

Hibah Amanah Tabung Haji

1. Harta Hibah dipegang oleh Pemegang Amanah dan diserahmilikkan kepada Penerima selepas kematian Pemberi.

2. Sekiranya PENERIMA MENINGGAL DAHULU sebelum Pemberi, Hibah Amanah tersebut akan menjadi HARTA PUSAKA PENERIMA Hibah.

3. Boleh Hibah sebahagian dan sebahagian lagi letak penama untuk dibahagi mengikut Faraid. Atau dihibah kesemuanya. Pembahagian mengikut peratusan wang simpanan dalam akaun.

4. Menggunakan Surat Kuasa Wakil yang melantik TH sebagai wakil untuk bertindak bagi pihak Pemberi Hibah.

5. TH sebagai Pemegang Amanah Gantian yang akan mentadbir Harta Hibah Amanah selepas kematian Pemberi.

6. Syarat-syarat dan kelayakan Penerima Hibah Amanah:

  • Individu warganegara Malaysia ataupun bukan warganegara Malaysia;
  • Tiada had bilangan Penerima Hibah Amanah;
  • Beragama Islam atau bukan beragama Islam;
  • Waras (sekiranya tidak waras, Pemberi Hibah Amanah hendaklah melantik Penjaga Sah); dan
  • Tiada had umur (sekiranya Penerima Hibah Amanah berumur di bawah 18 tahun, Pemberi Hibah Amanah hendaklah melantik Penjaga Sah).

7. Yuran-yuran yang terlibat ialah Yuran Pendaftaran dan Yuran Tuntutan Pengeluaran apabila Penerima membuat tuntutan. Yuran lain dikenakan jika hendak membuat pindaan atau membatalkan hibah.

Boleh rujuk syarat2 yang lain di Laman TH atau Utusan.

 

Kelebihan Hibah Tabung Haji yang Disediakan Oleh Wasiyyah Shoppe

Perbezaan utama ialah dalam terma (2) di atas:

Sekiranya PENERIMA MENINGGAL DAHULU sebelum Pemberi, Hibah Amanah tersebut akan menjadi HARTA PUSAKA PENERIMA Hibah

Wasiyyah Shoppe menggunakan HIBAH BERSYARAT RUQBA. Bezanya, sekiranya penerima meninggal dahulu dari pemberi, harta yang dihibahkan akan BERPATAH BALIK KEPADA PEMBERI.

Untuk lebih faham, ini perbezaannya jika anda menggunakan Hibah dari TH (tiada syarat Ruqba dalam kontrak Hibah):

i) Ibu hibahkan wang simpanan TH kepada anak. Anak eksiden dan meninggal dunia. Disebabkan wang itu sudah dihibahkan kepada anak, wang itu akan menjadi pusaka anak. Menurut hukum Faraid, ibu hanya berhak 1/6 daripada jumlah wang itu. Jika nilai Hibah RM100,000, maka ibu berhak untuk dapat RM16,666 sahaja!

ii) Ibu hibahkan kepada anak angkat. Anak angkat bukan waris Faraid. Sekiranya anak angkat meninggal dahulu, maka ibu takkan dapat LANGSUNG wang yang dihibahkan. Siapa yang dapat? Waris faraid anak angkat, iaitu ibu ayah kandung, datuk nenek kandung atau adik beradik kandungnya! Orang yang tiada kaitan dengan si ibu!

Perbezaan ini nampak kecil, tapi implikasinya besar.

Memang ada perbezaan dari sudut kos, tetapi mudah untuk justify bila dinilai dari sudut kesannya.

Jika berminat, boleh Whatsapp saya Ansari, 019-749 8210 atau di goo.gl/EM7eo8

Hibah Boleh Dicabar – Fahami Mengapa dan Sebab Perlu Juga Buat Hibah

Hibah Boleh Dicabar – Fahami Mengapa dan Sebab Perlu Juga Buat Hibah

Jujurnya, saya agak dilema untuk menulis tentang topik Hibah dicabar ini. Bukan kerana ingin menyembunyikan fakta, tetapi kerana bimbang pembaca tidak benar2 faham dan terus pergi ke kesimpulan sendiri bahawa sia-sia saja membuat perancangan hibah, harta dan pusaka. Bila itu berlaku, kerugian saya hanya lah tak dapat close kes. Tapi waris lah yang terlebih banyak menanggung risiko rumah terpaksa dijual, waris faraid menuntut hak dan sebagainya.

Saya ambil keputusan untuk tulis juga sebagai tanda saya, sebagai perunding Wasiyyah Shoppe TELUS DAN JUJUR dalam menyampaikan fakta. Biar lah client membuat Hibah setelah mengetahui benefit dan kelemahan yang ada. Yang tak dapat terima itu bukan rezeki. Ramai lagi yang faham dan proceed dengan Hibah. Keberkatan rezeki lebih utama.

Adakah Hibah boleh dicabar?

Jawapannya, YA Hibah boleh dicabar. Berikut penjelasannya..

Perlaksanaan dokumen Hibah terikat dengan Hukum Syariat dan Undang-undang Syariah tempatan. Jika Klausa Hibah bercanggah dengan hukum Islam atau tidak menepati rukun Hibah, maka Hibah itu akan tertolak. Adakalanya bila ia terjadi, dokumen itu dikira sebagai Wasiat, dan tertakluk kepada limitasi yang ada pada dokumen Wasiat.

Dokumen Hibah juga wajib selari dengan undang-undang syariah. Hibah boleh dicabar kerana masih belum ada akta khusus dalam undang2 Syariah di Malaysia yang membicarakan tentang Hibah. Tapi jangan pula keliru dengan mengatakan Hibah itu bercanggah dengan hukum Islam!

Hibah ini fully syariah compliant. Bagi Wasiyyah Shoppe sebagai penyedia dokumen Hibah terbanyak di Malaysia, dokumen yang dikeluarkan diselia oleh panel berkaliber dari sudut syariah dan undang2. Hibah boleh dicabar kerana masih belum ada tataselia dari segi undang2 di Malaysia.

 

Apa yang berlaku bila Hibah dicabar?

Jika dokumen Hibah dipersetujui oleh para waris, maka pembahagian harta pusaka akan mengikut hasrat pemberi Hibah sepertimana yang tercatat dalam dokumen. Tiada masalah di situ.

Tetapi jika Hibah dicabar, dokumen Hibah akan dibawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan. Hakim akan meneliti sama ada rukun-rukun Hibah telah dipenuhi melalui bukti dokumen yang dibuat. Maka di sini jelas… jika dokumen yang dibuat tidak sempurna, maka Hibah itu akan DITOLAK.

Peranan penyedia dokumen Hibah adalah teramat penting di sini. Wasiyyah Shoppe telah melalui lebih 300 kes hibah dicabar dan pengesahan Hibah berjaya diluluskan di Mahkamah. Jaringan dan kawal selia dari panel berpengalaman memastikan dokumen Hibah yg disediakan sentiasa mematuhi syariat dan selari dengan undang2.

Kerana pada akhirnya, kita nak pastikan dokumen Hibah tiada masalah untuk dilaksanakan. Penerima Hibah dapat menerima harta sepertimana yang dihasratkan oleh pemberi. Maka jika hendak membuat Hibah, pastikan anda engage dengan syarikat atau individu yang tahu dan berpengalaman. Kerana industri pewarisan ini adalah satu bidang niche yang tak semua orang pakar dan faham tentangnya.

 

So, Berbaloi Tak Buat Hibah?

Kalau saya yang jawab, pastinya BERBALOI.

Jika anda tak buat sebarang perancangan, harta pusaka yang ditinggalkan akan dibahagikan secara Faraid.

Jika anda buat Hibah, jika tiada waris yang mencabar, maka Hibah akan dilakasanakan tanpa isu.

Jika Hibah dicabar, bawa dokumen itu ke Mahkamah Syariah untuk disahkan. Berdasarkan pengalaman pengesahan dokumen Hibah yang disediakan oleh Wasiyyah Shoppe, kebarangkalian untuk disahkan sangat tinggi. Isu yang mungkin timbul ialah kos untuk peguam. Tapi yang pentingnya harta yang dihibahkan itu berjaya dimiliki penerima.

 

Bagaimana pula Jika Wasiat Dicabar?

Saya timbulkan isu Wasiat supaya lebih mudah untuk fahami situasi. Fungsi Wasiat sepertimana yang diterangkan di SINI dikhususkan untuk diberikan kepada BUKAN WARIS dan tidak melebihi 1/3 nilai harta.

Jika Wasiat diberikan kepada WARIS, maka jika ada waris lain yang tidak setuju, Wasiat itu terus TERBATAL.

Bezanya dengan Hibah di atas… Jika Hibah diberi kepada waris atau sesiapa sahaja dan ia dicabar oleh waris, dokumen itu akan diteliti untuk DISAHKAN. Tidak terbatal melainkan jika rukun Hibah tidak sempurna.

 

Untuk maklumat lanjut, boleh Whatsapp saya Ansari di 019-749 8210 atau klik DI SINI

Insurans Konvensional Boleh Hibah?

Insurans Konvensional Boleh Hibah?

Perbezaan antara insurans dan Takaful sebenarnya amat ketara, walaupun ada yang memanggil insurans sebagai Takaful dan Takaful sebagai insurans. Tidaklah salah besar jika panggilan itu hanya sekadar panggilan. Tapi jika anda orang Islam, dan anda ambil insurans instead of Takaful, implikasinya sangat besar – i) berkait dosa dan pahala terlibat dalam instrumen tidak patuh syariat; dan ii) adakah anda boleh ambil pampasan polisi yang diambil apabila berlaku kematian, TPD atau sakit kritikal.

Fokus artikel ini ialah kepada persoalan ii), iaitu Halal kah waris atau pemegang polisi mengambil pampasan daripada insurans. Kerana insurans itu sendiri tidak menepati syariat, maka adakah benefit seperti Medical Card atau pampasan boleh diambil? Dan kerana pampasan polisi seringkali diguna sebagai instrumen perancangan harta untuk pusaka, adakah pampasan itu boleh dihibah atau dibahagi mengikut faraid?

 

Pandangan Fatwa Mengenai Insurans

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Ke-94 yang bersidang pada 20-22 April 2011 telah membincangkan perkara ini lebih mendalam.

Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

No.1
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.

No.2
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.

No.3
Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.

No.4
Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah diberikan pada baitulmal dsb.

Ringkasannya:

i) Hanya bayaran pokok yang dibayar untuk premium insurans yang boleh diambil dan dibahagi ikut faraid.

ii) Baki pampasan polisi tidak boleh diwarisi dan hendaklah dilupuskan ke Baitulmal atau didermakan.

iii) Jika waris fakir miskin, harus mengambil pampasan sekadar keperluan sahaja.

 

Adakah Wasiyyah Shoppe Buat Hibah Untuk Polisi Insurans?

Walaupun Fatwa membenarkan waris mengambil wang pokok daripada premium yang dibayar untuk insurans, nilainya kecil berbanding pampasan yang diharapkan. Wasiyyah Shoppe juga menekankan produk syariah compliant. Maka membuat hibah untuk insurans adalah bertentangan dengan misi syarikat.

Ringkasnya, Wasiyyah Shoppe TIDAK membuat hibah untuk polisi insurans.

Bagi yang sudah terlanjur mengambil insurans, dinasihatkan agar cepat2 bertukar kepada Takaful. Biarlah rugi sedikit di dunia dengan kerugian premium2 yang telah dibayar bertahun2 sebelum ini, asalkan ianya Halal dan insyaAllah beroleh keberkatan. Malah jika dibandingkan pampasan Takaful yang Halal diambil kesemuanya oleh waris, maka sebenarnya anda lebih untung untuk bertukar segera.

Dengan pampasan Takaful yang Halal itu, anda boleh mengikatnya dengan Surat Ikatan Amanah untuk memberi arahan membayar segala hutang; ataupun mengikat pampasan itu dengan produk amanah WSB seperti memberi arahan kepada Wasiyyah Shoppe untuk mengagihkan pampasan kepada anak secara bulanan.

Boleh contact saya, Ansari 019-749 8210 untuk maklumat lanjut..

Hibah vs Faraid?

Hibah vs Faraid?

Kekeliruan yang biasa dibangkitkan ialah isu ‘percanggahan’ di antara Hibah dan Faraid. Adakah Hibah lebih baik daripada Faraid? Pembahagian Faraid telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran, maka adakah dengan membuat Hibah seseorang itu telah melanggar hukum syarak? Isu-isu ini timbul akibat kekeliruan tentang fungsi Hibah, Wasiat dan Faraid dan limitasi instrumen masing-masing.

Yang jelas, persamaan antara Hibah dan Faraid ialah kedua-duanya menurut Hukum Syarak. Maka secara asasnya tidak boleh seseorang itu mengatakan Hibah itu bercanggah dengan Islam.

Hibah vs Faraid

Ada lagi pihak yang menggembar-gemburkan isu ini. Ketinggalan zaman pihak ini. Isu ini dah lama selesai. Isu hibah vs faraid ni saya rasa 3 tahun lepas lagi saya dah jawab dalam fb saya & dalam satu seminar di USIM yg saya hadiri.

Ada banyak kesimpulan dari seminar tersebut yg diulas bersama ketika seminar & selepas seminar. Antaranya ialah :

1. Faraid mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Perlaksanaan faraid adalah WAJIB ke atas harta pusaka tanpa kompromi kerana ia adalah perintah Allah.

2. Yang wajib difaraidkan ialah HARTA PUSAKA iaitu harta sah milik simati yang TIDAK dihibah kepada mana2 pihak semasa hidupnya.

3. Harta yang SAH TELAH DIHIBAH akan terkeluar dari harta pusaka.

4. Selain hibah, wasiat 1/3 ( bukan wasiat melantik wasi ), harta sepencarian & amanah juga bila dibuat akan menyebabkan harta itu terkeluar dari pusaka dan tidak diagihkan kepada waris.

Mahkamah Syariah Mengesahkan Hibah

5. Hanya MAHKAMAH SYARIAH sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan hibah itu sah atau tidak. Mahkamah akan melihat kepada maslahah kes, hujah2 peguam berdasarkan hukum syarak ( hukum syarak bukan bermakna pandangan Syafie semata2) & hakim2 akan berijtihad dalam membuat keputusan.

MAHKAMAH SIVIL tiada bidang kuasa dalam pengesahan hibah. Jika dokumen “hibah” itu dibawa ke Mahkamah Sivil untuk prosesnya, ia adalah dokumen sivil dan bukan syariah walaupun kita bertegas mengatakan “semangat” dokumen itu adalah selaras dengan hukum syarak. Analogi mudah ialah restoran yang mendapat sijil halal dengan restoran yang “tidak menjual makanan yang tidak dibenarkan Syarak”. Yang mana anda pilih ?

Kos Pusaka dan Caj Perlaksanaan

6. Kesemua perlaksanaan dokumen2 ini ada kosnya masing2 serba sedikit atau serba banyak. Terserah kepada masyarakat untuk menilai & memilih apa yg paling memenuhi keperluan mereka. Setiap organisasi ada struktur cajnya masing2. Ada yang mengenakan caj perkhidmatan dari 1 – 5 % dari nilai harta pusaka ketika kematian pelanggan (bukan nilai harta ketika membuat dokumen ) tidak termasuk kos2 lain ( disbursement ).

Di Wasiyyah Shoppe Bhd , kami telah membantu masyarakat Malaysia menguruskan harta pusaka TANPA MENGENAKAN BAYARAN caj perkhidmatan semenjak 2007 lagi. Kenapa kami buat begitu? Kerana kami tahu caj perkhidmatan beberapa peratus inilah yang amat membebankan waris.

Ya ia boleh ditolak dari harta pusaka bersifat harta alih simati tetapi ia bermakna bahagian waris akan berkurangan secara signifikan atau lebih teruk lagi jika simati tidak meninggalkan harta alih, siapa yg terpaksa membayarnya? Renungkan.

7. Umat Islam hendaklah bertanggungjawab dalam penggunaan hibah untuk mengelakkan isu “lari dari faraid”. Nawaitunya perlu jelas bahawa hibah ( atau apa dokumen sekalipun ) kita buat adalah KERANA ALLAH SWT sahaja.

Kepada pihak yg masih bermain dengan sentimen ini nasihat saya BERHENTILAH . Masyarakat semakin cerdik dan pandai menilai. Tugas kita ialah berdakwah kepada masyarakat & bukan mengelirukan.

Pada saya sama ada faraid, hibah, wasiat, harta sepencarian atau waqaf , semuanya ada persyariatan, hikmah & fungsinya sendiri. Allah susun cantik dah semuanya. Kita pilihlah yang mana sesuai. Wallahuaklam.

RANCANG HARTA & URUS PUSAKA KINI TEPAT & MUDAH.

– Disesuaikan dari tulisan En Ariffin Sabirin

Forum Dialog Wasiat – Bolehkah Wasiat kepada Waris?

Forum Dialog Wasiat – Bolehkah Wasiat kepada Waris?

Masyarakat kebanyakannya masih ramai yang keliru tentang Wasiat. Wasiat seringkali diterjemahkan dan disangka sama dengan ‘Will’, tapi keduanya sebenarnya jauh berbeza dari fungsinya dalam perancangan harta untuk pusaka. Preview ringkas – Wasiat untuk orang Islam, Will untuk non-muslim. Sebagai perunding, saya mahu pastikan penyampaian saya kepada masyarakat tidak bercanggah. Maka dengan sebab itu saya hadir ke Forum Dialog Wasiat yang dianjur oleh Wasiyyah Shoppe. Dua Panelis berpengalaman terdiri daripada Peguam Syarie dan ex-veteran dari Pejabat Tanah dan Galian.

Sebahagian isi artikel ini adalah penambahan saya daripada apa yang telah disentuh oleh panelis dalam Dialog Wasiat tersebut. Tetapi telah saya pastikan ianya tidak lari dari maksud yang hendak disampaikan oleh ahli panel.

Akta Wasiat 1959

Definisi wasiat yang dirujuk dalam undang-undang diambil daripada Akta Wasiat (Will’s Act) 1959. Akta ini dibawah tatakuasa Mahkamah Sivil dan terpakai hanya untuk NON-MUSLIM. Will yang dibuat akan berkuatkuasa walaupun ada waris yang menentang. Beri perhatian – ini hanyalah untuk bukan Islam. Untuk orang Islam, peruntukan undang-undang Syariah yang berkaitan wasiat tertakluk kepada enakmen negeri kerana lain negeri, lain hukum Syariah yang diamalkan.

Enakmen Wasiat

Setakat ini, baru ada tiga negeri di Malaysia yang ada enakmen berkaitan wasiat, iaitu Selangor (Tahun 1999), Negeri Sembilan (2004) dan Melaka (2005). Bagi penduduk Islam di negeri-negeri berkenaan, penguatkuasaan Wasiat tertakluk kepada enakmen yang ada. Bagi negeri-negeri lain, Mahkamah akan memutuskan penghakiman menurut hukum syarak dan kebijaksanaan hakim.

Mengikut Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, Wasiat ialah iqrar seseorang yang dibuat semasa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati. Islam amat menggalakkan umatnya supaya berwasiat dalam merancang harta.

Daripada tafsiran Wasiat tersebut, ada tiga elemen penting yang menerangkan tentang Wasiat:

  • Iqrar seseorang yang dibuat semasa hidup
  • Ke atas harta fizikal atau manfaat harta
  • Untuk tujuan kebajikan atau tujuan lain yang menuruti syarak
  • Terlaksana selepas pemilik harta mati

Fungsi Wasiat Mengikut Perundangan

Orang Melayu seringkali keliru tentang fungsi Wasiat. Malah ramai juga yang menulis Wasiat kerana menyangka ianya instrumen yang dapat memastikan waris menerima harta pusaka yang ditinggalkan.

Tetapi adakah benar begitu?

Fungsi Wasiat terhad kepada:

  • Maksimum 1/3 nilai keseluruhan harta
  • Ditujukan kepada BUKAN WARIS. Contohnya seperti anak angkat, anak tiri, infaq fisabilillah dan sebagainya.

Atas limitasi di atas, maka jika seseorang mewasiatkan kepada anak angkat, wasiatnya akan berkuatkuasa (jika terbukti wasiatnya sah) walaupun ditentang oleh waris. Syarat kedua juga mestilah dipatuhi – wasiat tersebut mestilah TIDAK MELEBIHI 1/3 NILAI HARTA.

Bagaimana jika Wasiat ditujukan kepada Waris?

Ini seringkali berlaku dalam masyarakat. Banyak syarikat, bank  dan firma peguam yang menyediakan perkhidmatan menulis wasiat. Boleh jadi mereka tidak tahu atau sengaja tidak menyatakan limitasi fungsi wasiat di atas. Maka anda pun ambil perkhidmatan mereka untuk menulis wasiat untuk isteri dan anak-anak.

Jika dah terlajak menulis Wasiat itu, maka anda perlu tahu sejauh mana Wasiat itu berguna untuk masa depan waris yang ditinggalkan.

Secara asasnya, Wasiat kepada waris hanya akan berkuatkuasa sekiranya tiada Waris yang menentang. Jika sebaliknya yang berlaku, wasiat tersebut akan terbatal. Ianya berbalik kepada fungsi Wasiat yang diterangkan di atas – iaitu wasiat  sepatutnya ditujukan untuk bukan waris.

Wasiat Terbatal – tak betul?

AMARAN! Bahagian ini agak teknikal dan tidak sesuai untuk mereka yang baru hendak membaca tentang pusaka. Anda boleh skip agar tidak keliru. Saya ambil keputusan untuk sertakan sekali subtopik ini kerana ada perunding daripada syarikat pesaing yang mempertikaikan kenyataan ‘wasiat terbatal’. Setelah membaca ulasannya, saya dapati kenyataannya agak mengelirukan.

Secara praktis, dokumen Wasiat yang diamalkan di Malaysia terbahagi kepada dua, iaitu:

  • Wasiat mewariskan harta pusaka (seperti yang biasa difahami)
  • Wasiat melantik Wasi/pentadbir.

Syarikat pesaing ada yang menggabungkan keduanya dalam satu dokumen Wasiat. Berbeza dengan amalan Wasiyyah Shoppe iaitu mengasingkan dua bentuk wasiat di atas dalam dokumen yang berlainan. Ini bukan dibuat saja-saja. Tujuan pengasingan ini adalah untuk mengelakkan konflik di samping memudahkan pengurusan pusaka semasa perlaksanaan nanti kerana keduanya berada dalam bidang kuasa mahkamah yang berbeza.

Kuasa mengesahkan Wasiat (orang Islam) berada di bawah Mahkamah Syariah, manakala pengesahan perlantikan wasi dan pengeluaran probet berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Panelis ada menyebut tentang satu kes berkaitan yang telah dipanjangkan perbicaraanya. Puncanya antara lain kerana kedua-dua elemen di atas digabungkan dalam satu dokumen Wasiat yang seterusnya menyebabkan konflik dalam penghakiman. Mahkamah Syariah telah membatalkan wasiat yang dibuat (kerana ditujukan untuk waris) tetapi pada masa yang sama Mahkamah Sivil telahpun mengeluarkan probet (Probet dikeluarkan apabila ada wasiat yang sah). Mahkamah Syariah kata wasiah tak sah, tapi probet dah keluar seakan-akan wasiatnya sah. Ada ralat di situ, maka penghakiman terpaksa dipanjangkan untuk membetulkan keadaan.

Berbalik kepada argumen perunding syarikat pesaing.. (ini menurut pemahaman saya terhadap ulasannya, minta betulkan jika tersilap tafsir). Mereka akur wasiat kepada waris terbatal apabila ada waris lain yang tak bersetuju. Dari sudut itu, betullah wasiat terbatal kan? Tetapi mereka taknak kata terbatal sebab wasiat melantik wasi masih berkuatkuasa!

Secara ringkasnya, mereka akur definisi Wasiat yang biasa difahami masyarakat (pengagihan pusaka) itu akan terbatal. Tetapi kenyataan ini disanggah kerana ia berisiko menjejaskan perkhidmatan penulisan Wasiat yang dibuat oleh mereka.

Bukanlah motif saya suka untuk membuka kelemahan syarikat pesaing untuk menjual servis kami. Tapi tuduhan dan manipulasi mereka menjadi pencetus kepada penulisan ini untuk menerangkan keadaan dari sudut pandang kami.

Wasiat Wasiyyah Shoppe

Bagi Wasiyyah Shoppe, kami telus dengan fungsi Wasiat ini. Malah penulisan Wasiat ini (wasiat 1/3 dan perlantikan wasi) anda boleh dapatkan secara Free of Charge (FOC) jika anda melanggan plan pengurusan al-Wasitah kami!