Nikah Sindiket, Nikah di ‘Thailand’ dan Kesan Terhadap Nasab dan Pewarisan

Nikah Sindiket, Nikah di ‘Thailand’ dan Kesan Terhadap Nasab dan Pewarisan

Negara digegarkan baru-baru ini dengan isu seorang lelaki bernikah poligami dengan budak perempuan bawah umur yang baru berumur 11 tahun. Pelbagai isu kemanusiaan, hukum agama dan undang-undang yang ditimbulkan. Ramai yang mengecam, tetapi ada juga yang mempertahankan. Kerana isu ini menjadi perhatian masyarakat, perbicaraan cepat sahaja dijalankan. Lelaki itu akhirnya didenda RM1,800 oleh Mahkamah atas pertuduhan berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Nikah ‘tanpa izin’, ‘Nikah Sindiket’ atau ‘Nikah di Thailand’ yang digambarkan dalam contoh poligami di atas adalah pernikahan yang tidak mengikut saluran yang diiktiraf oleh perundangan Malaysia. Negara kita ada undang-undang dan tatacara pernikahan yang perlu diikuti. Ia bukan sahaja untuk memastikan pernikahan itu sah, malah untuk melindungi hak suami, isteri dan anak sekiranya ada pertikaian di hari kemudian. Perkahwinan yang tidak didaftarkan tidak tertakluk kepada¬† akta atau enakmen berkenaan perkahwinan, maka sebarang tuntutan seperti isteri menuntut hak nafkah daripada suami tidak dapat dilaksanakan.

Dari segi syarak, sah atau tidak nikah sindiket bergantung kepada kes. Jika cukup rukun-rukun nikah, maka ia sah dari syarak. Tetapi awas kerana dari segi undang-undang, ia bermasalah. Contohnya perkahwinan itu dilakukan oleh jurunikah yang tidak bertauliah atau telah tamat tempoh tauliah, tidak didafttarkan di Pejabat Pendaftar Perkahwinan, kahwin lari, sindiket nikah palsu di hadapan jurunikah bertauliah dan sebagainya.

Kenapa Berlakunya Nikah Sindiket?

Sebut saja nikah di Thailand, kebiasaannya kita akan terus terfikir tentang nikah poligami. Lebih2 lagi jika anda seorang lelaki (hehe gurau2). Berpoligami secara halal di Thailand lebih ‘mudah’ dan ‘murah’, khasnya bagi lelaki yang takut nak berterus terang dengan isteri pertama. Tetapi sudah tentu akan ada masalah dari segi undang-undang di kemudian harinya.

Berpoligami di Malaysia lebih sukar dan mencabar. Si suami perlu mendapatkan keizinan isteri pertama dahulu. Ini dituntut dalam Seksyen 23 (3) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah2 Persekutuan) 1984.

Sebab-sebab lain adanya Nikah Sindiket:

– Wujudnya syarikat sindiket pernikahan. Law of Supply and Demand. Bila ada tawaran, ada lah pelanggannya. Ada sindiket yang menawarkan servis dengan bayaran RM3,000. Ia mendapat sambutan baik daripada lelaki yang hendak berpoligami.

Perhubungan tidak baik antara anak dan bapa. Bapa enggan mewalikan anak perempuannya.

Pasangan tidak se-kufu’. Keluarga enggan menerima dan merestui bakal menantu.

Pasangan terlanjur. Hendak menutup kesalahan dan maruah yang tercalar. Ada juga yang hendak menyembunyikan status duda, janda, suami orang, isteri yang masih bersuami atau dalam tempoh iddah.

Ditangkap khalwat. Ada kes pasangan khalwat ditipu oleh agen yang menguruskan pernikahan tersebut. Mereka diberikan surat nikah palsu, yang didakwa dikeluarkan secara sah oleh JAWI.

Faktor undang-undang yang dikatakan rumit dan panjang, terutamanya bagi perkahwinan bawah umur, perkahwinan luar daerah, poligami dan perkahwinan dengan warga asing. Perkahwinan dengan warga asing bermasalah apabila wali pasangan berada di negara asal, dan atas alasan jarak mereka memilih untuk dinikahkan oleh jurunikah bertauliah yang berperanan sebagai Wali Raja. Dalam satu kes antara seorang perempuan Kemboja dan lelaki Malaysia, Hakim memutuskan akad nikah tersebut sebagai fasid.

Implikasi Nikah Sindiket Terhadap Perkahwinan

Akta Undang-undang Keluarga Islam (AUKI) 1984 untuk Wilayah Persekutuan di rujuk. Menurut Seksyen 25 AUKI 1984, setiap pemastautin dikehendaki mendaftarkan perkahwinan, tetapi menurut Seksyen 34 pendaftaran perkahwinan semata-mata tidak menentukan sah atau tidak perkahwinan tersebut.

Bermaksud, sesuatu perkahwinan itu boleh jadi sah dari syarak kerana memenuhi rukun nikah, tetapi tidak sah dari sudut perundangan kerana tidak didaftarkan.

Bagaimanapun, perkahwinan in masih boleh didaftarkan dengan cara mendapatkan perintah daripada mahkamah.

Perkahwinan yang tidak sah secara undang-undang dan tidak didaftarkan akan menghadapi permasalahan apabila adanya pertikaian dan tuntutan di mahkamah berhubung hak suami isteri. Kerana hak yang digariskan dalam AUKI hanya untuk perkahwinan yang telah didaftarkan. Hak berkaitan antaranya berkenaan nafkah isteri (Seksyen 59), harta sepencarian (Seksyen 58), tuntutan Mut’ah (Seksyen 2).

Implikasi Nikah Sindiket Terhadap Anak

Anak hasil nikah sindiket yang diakui memenuhi syarat pernikahan oleh Mahkamah Syariah, nasabnya akan dibinkan kepada ayahnya. Jika tidak, anak itu dikategorikan sebagai anak tak sah taraf. Anak itu akan dibinkan Abdullah.

Jika nikah itu tidak didaftarkan, anak akan terkesan. Bapa yang sepatutnya bertanggungjawab memberikan nafkah keperluan kepada anak boleh bersikap lepas tangan. Peruntukan Seksyen 72 yang menghukum bapa yang berkemampuan yang enggan memberikan nafkah tidak berkesan untuk situasi ini kerana pernikahan itu tidak berdaftar dan tidak tertakluk kepada AUKI.

Implikasi Terhadap Pewarisan Harta

Syarat yang melayakkan waris menerima pusaka ialah perhubungan kekeluargaan dengan si mati, iaitu melalui perhubungan darah atau nasab, ataupun perkahwinan yang sah.

Anak yang lahir daripada nikah sindiket yang tidak sah dan tidak didaftarkan tidak layak untuk mewarisi harta pusaka bapanya. Anak itu hanya berhubung nasab dan menerima pusaka ibunya sahaja.

Perhubungan suami isteri hasil nikah sindiket yang tidak sah juga menjadikan mereka saling tidak mewarisi.

 

 

Sumber Rujukan: Buku “Nikah Sindiket di Malaysia” Terbitan USIM