Buat Jenis Hibah Mutlak Atau Bersyarat? – Part 1

Buat Jenis Hibah Mutlak Atau Bersyarat? – Part 1

Hibah adalah pemberian harta kepada penerima hibah semasa hidupnya, tanpa balasan, dan dilakukan atas dasar kasih sayang. Harta yang dihibah mestilah dimiliki sempurna oleh pemberi hibah sepenuhnya; tidak terikat dengan pinjaman bank, cagaran atau bentuk sekatan lain. Ini adalah definisi biasa hibah yang kita fahami.   

Jika diikutkan definisi hibah ini, rumah yang masih dalam pinjaman TIDAK BOLEH dihibahkan. Namun begitu, majoriti rumah yang dimiliki di Malaysia adalah rumah bercagar yang terikat dengan pinjaman. Dan majoriti harta beku yang kini telah mencecah RM70,000,000,000 (bilion) adalah harta tak alih iaitu rumah atau tanah. Lebih dukacita, sebahagian besar harta beku adalah harta warisan umat Islam yang tidak diuruskan pusakanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan.Waris rugi, ekonomi umat Islam secara keseluruhannya pun rugi.

harta umat islam beku

Antara punca banyaknya harta beku itu ialah kerana harta tersebut tidak dirancang cara pembahagiannya semasa hidup. Seterusnya berlaku perebutan harta, waris tidak tahu Faraid dan bertangguh menguruskan pusaka. Kaedah yang berkesan untuk membahagikan harta KEPADA WARIS ialah menggunakan kaedah hibah.

 

Hibah Mutlak

Banyak syarikat yang menggunakan Hibah Mutlak, berbanding Hibah Bersyarat (langsung tidak bermakna hibah mutlak lebih baik ya). Lain syarikat, lain kaedah yang digunakan untuk melaksanakan hibah ini. Disebabkan ia berkait dengan undang-undang, setiap kaedah yang digunakan akan membawa implikasi yang berbeza-beza kepada harta yang dihibah dan penerimanya.

Harta yang boleh dihibah mutlak hanyalah HARTA YANG TIDAK BERCAGAR, iaitu yang telah dilangsaikan bayaran ansuran pinjaman atau dibeli secara tunai. Geran rumah tersebut jelas tertera nama pemilik dan tiada sekatan atau kaveat yang tertulis dalam geran. 

Kaedah paling asas hibah mutlak ialah menggunakan Borang 14A tanpa adanya dokumen hibah. Selain itu, ada syarikat yang menyediakan dokumen hibah mutlak terlebih dahulu dan disusuli dengan Borang 14A. Ada juga yang menggunakan jalan Mahkamah Sivil iaitu menyediakan deklarasi hibah bersama-sama dengan Surat Kuasa Wakil.

Kesan Hibah Mutlak

Kesan utama hibah mutlak ialah pemilikan harta berpindah milik daripada pemilik harta kepada penerima serta merta (ada perbezaan bagi deklarasi hibah Surat Kuasa Wakil). Ini menepati elemen sempurna milik (tiada hutang) dan harta yang dihibah telah dipindahmilik bukan sahaja secara syarie (hibah), malah dari segi undang-undang (borang 14A). Maka ada yang menyokong penuh hibah mutlak secara Borang 14A kerana hak penerima sudah secure apabila harta itu telah dipindahmilik ke atas namanya. Hibah ini sangat sukar untuk dipertikaikan lagi.

Namun adakah nasib PEMBERI hibah itu secure setelah harta diagihkan?

Setelah proses sempurna, adakah sebarang jaminan bahawa penerima hibah itu contohnya si anak masih kekal perangai baiknya, sikapnya dan ketaatan kepada pemberinya, si ibubapa?

Apabila rumah sudah menjadi miliknya, si anak berkuasa penuh ke atas harta tersebut. Tiada halangan untuknya menjual rumah itu untuk mendapatkan habuan wang segera. Malah ada kes ibubapa dihalau setela rumah dipindahmilik.

Niat baik ibubapa untuk menghadiahkan harta kepada anak berubah menjadi tragedi apabila silap menggunakan instrumen. Kita sebenarnya boleh mengawal risiko ini dengan menggunakan Hibah Bersyarat.

 

Hibah Mutlak Menggunakan Borang 14A

Contoh Hibah Mutlak ialah membuat pindahmilik rumah menggunakan Borang 14A Kanun Tanah Negara, iaitu proses yang sama seperti menjual beli rumah.

pindahmilik rumah

 

Tetapi ini adalah hibah, maka niat ia ditukar nama ialah atas dasar kasih sayang pemilik harta kepada penerima. Dalam borang 14A ini, untuk ruangan balasan boleh diletakkan balasan ‘kasih sayang’. Ini adalah sebab balasan yang diterima dari segi undang-undang.

 

balasan kasih sayang

Duti Setem Pindahmilik

Asasnya, sebarang bentuk pindahmilik akan dikenakan duti setem. Namun begitu, pihak kerajaan telah memberikan pengecualian dan diskaun duti setem untuk pindahmilik kasih sayang. Tetapi, bukan sebarang hubungan kasih sayang ya. Jika anda dah terfikir nak menggunakan alasan kasih sayang untuk lari dari membayar duti, ada berita buruk. Hanya pindahmilik berikut yang boleh mendapat diskaun duti setem:

Diskaun 50%:

  • Ibu/bapa kepada anak
  • Anak kepada ibu/bapa

Diskaun 100% atau pengecualian duti setem:

  • Suami kepada isteri
  • Isteri kepada suami

Selain daripada hubungan di atas, duti setem penuh dikenakan. Maka jika pindahmilik dilakukan antara adik beradik, maka tiada diskaun diberikan ke atas duti setem. Begitu juga jika hibah ditujukan kepada bekas isteri – duti setem penuh dikenakan kerana hubungan suami isteri sudah terbubar.

 

Hibah Mutlak Menggunakan Surat Kuasa Wakil

Ada syarikat yang membuat deklarasi hibah bagi menetapkan arahan hibah dan digandingkan bersama dengan Surat Kuasa Wakil. Ini berbeza dengan kaedah hibah mutlak Borang 14A di atas. Kaedah ini menggunakan jalan Mahkamah Sivil, dan tidak melibatkan Mahkamah Syariah. Apabila pemberi itu telah menandatangani Surat Kuasa Wakil, atau Power of Attorney, bermakna dia sudah menyerahkan hak kuasa kepada syarikat itu untuk bertindak menjalankan urusan ke atas harta yang telah dihibah.

Sepertimana hibah mutlak, pemilik asal telah kehilangan kuasa ke atas harta tersebut. Tiada transaksi boleh dilakukan ke atas harta itu oleh pemberi mahupun penerima hibah kerana harta itu kini telah tertakluk di bawah kuasa syarikat. Sebarang tindakan memerlukan persetujuan syarikat, kerana kuasa mengurus sudahpun diturunkan sepenuhnya kepada syarikat.

Sudah tentu, antara isu besar yang perlu dititikberat ialah pindahmilik ini akan melibatkan duti setem penuh. Ini adalah antara kos tinggi yang perlu ditanggung.

Deklarasi hibah mengandungi arahan yang perlu dilaksanakan oleh syarikat. Ambil perhatian tentang kos perlaksanaan yang akan dicaj oleh syarikat apabila pemberi hibah meninggal kelak. Ia semestinya tidak sedikit. 

 

Hibah Bersyarat

Perbincangan tentang hibah bersyarat lebih panjang. Ada khilaf dalam kalangan pendapat ulama, namun Wasiyyah Shoppe telah berjaya merungkai permasalahan ini dan akhirnya menghasilkan solusi dokumen hibah bersyarat yang telah diiktiraf oleh para hakim Mahkamah Syariah di Malaysia.

Untuk mengelakkan jadi berjela-jela, lebih sesuai rasanya dihuraikan di Part 2. Nantikan…

 

Statistik Bankrap di Malaysia. Punca Utama Dari Personal Loan

Statistik Bankrap di Malaysia. Punca Utama Dari Personal Loan

Melalui data yang diperolehi daripada Jabatan Insolvensi Malaysia dari tahun 2014 sehingga 2018, terdapat 95,105 kes kebankrapan yang ditadbir. Kebanyakan kes berlaku di Selangor, dan sebahagian besar di Kuala Lumpur dan Johor Bharu. Dari segi umur, 35% adalah dalam kalangan umur 35-44 tahun dan sekitar 25% masing-masing yang berumur 25-34 tahun dan 45-54 tahun. Sekitar 13% daripada golongan warga emas, mereka yang pada tahap umur sebegini sepatutnya sudah mempunyai tabungan yang banyak untuk bersara. Tetapi berada dalam kalangan mereka yang muflis. Sadis, kan?

Hampir 70% adalah lelaki, berbanding perempuan. Sebanyak 55% yang bankrap adalah Melayu, 27% Cina manakala 12% India. Jika tanpa berfikir panjang, kita akan terus menghentam Melayu kerana membentuk majoriti mereka yang muflis – timbullah dakwaan yang Melayu boros dan tidak pandai merancang kewangan, tidak seperti orang Cina.

Tapi itu sebenarnya penghentaman yang tidak adil, samberono sangat. Sebetulnya kita kena bandingkan peratusan itu dengan bilangan populasi mengikut bangsa. Bumiputera (bukan Melayu sahaja, tetapi majoriti) merangkumi 69% populasi penduduk Malaysia, 23% Cina dan India 7%. Bila dibandingkan kedua statistik ini, barulah kita nampak… boros ni tak mengira bangsa. Serupa sahaja Melayu, Cina mahupun India.

 

Macam Mana Boleh Bankrap?

Tanda tanya yang menjadi persoalan utama ialah, sebab bankrap. Hampir 28% berpunca daripada pinjaman peribadi manakala 25% akibat dari sewa beli kenderaan. Pinjaman peribadi ni meluas kegunaannya, ada kala ia digunakan untuk tujuan ‘biar papa asal bergaya’, seperti mengadakan perkahwinan grand atau membuat renovasi rumah. Adakalanya ia diguna ke arah positif iaitu membina profil aset seperti membeli rumah lelong.

Oh, berkaitan membeli aset rumah. Sebanyak 14% muflis kerana pinjaman perumahan. Ini mungkin dalam kes rumah yang tidak dapat dibayar ansurannya dilelong pada bidaan rendah, dan hasilnya tidak dapat menampung baki pinjaman perumahan kepada bank pemiutang. Maka rumah terlepas dari genggaman, pemiliknya pula bankrap.

Bagi yang bankrap kerana tak mampu membayar ansuran kereta, memang jelas. Mampu kancil, tapi beli Mustang.

Hampir 10% muflis kerana hutang kad kredit. Interest kad kredit sangat tinggi, sekitar 18% p.a. Bila hutang dah banyak, berganda naiknya sebab interest. Mula lah gali lubang kambus lubang. Penjamin sosial atau guarantor, golongan teraniaya merangkumi 5% yang muflis. Menariknya, ada juga yang bankrap kerana biasiswa/pinjaman pelajaran, cuma tak banyak lah, iaitu 0.06%. Mereka ni menyesal tak agaknya belajar dulu?

 

Isytihar Bankrap/Muflis?

Seseorang itu hanya boleh diisytiharkan bankrap melalui Perintah Mahkamah. Pemiutang boleh memohon Penghutang dibankrapkan jika hutangnya melebihi RM50,000. Kadar minimum kebankrapan ini sebenarnya telah dinaikkan, di mana sebelum ini nilai tersebut hanyalah RM30,000.

Selain itu, kita juga boleh memohon untuk membankrapkan diri sendiri. Kenapa sendiri nak cari pasal? Sebabnya untuk melindungi diri dari tuntutan pemiutang yang berlebihan.

langsai hutang

 

Tetapi, bankrap ini adalah jalan terakhir, sebab banyak kekangan yang dihadapi oleh individu muflis.

Menurut Seksyen 8 Akta Insolvensi 1967, orang yang telah diisytihar bankrap akan hilang kelayakan menguruskan hartanya. Dia tidak dibenarkan untuk memindahmilik hartanya kepada pihak ketiga selepas dikenakan Perintah Kebankrapan. Semua transaksi atau urusan berkaitan asetnya terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). Semua akaun simpanan akan ditutup melainkan dengan kebenaran KPI dan dia hanya boleh menggunakan kad kreditnya dengan amaun tidak melebihi RM1,000. Bankrap juga tidak dibenarkan membuat pembayaran terus kepada pemiutang.

Dari segi perlindungan terhadap pemiutang, pemiutang tidak bercagar tidak ada kuasa untuk menguruskan harta anda dan mereka memerlukan kebenaran mahkamah jika hendak meneruskan tindakan undang-undang. Selain memfailkan saman, mereka juga perlu memfailkan bukti hutang mereka.

Walau bagaimanapun, pemiutang yang bercagar boleh menyita dan menghasilkan harta anda di bawah Seksyen 8(2) Akta Kebankrapan 1967 yang mana harta itu akan dihasilkan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh Perintah Penerimaan. Hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membayar hutang yang lain sekiranya hasil jualan tersebut mempunyai lebihan.

 

Sekatan Lain Untuk Bankrap

Seorang bankrap tidak dibenarkan meninggalkan negara kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada KPI ataupun Mahkamah.

Bankrap juga hilang kelayakan daripada:
(a) Memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen;
(b) Memegang jawatan sebagai penjawat awam (tertakluk kepada tindakan tatatertib Jabatan/KPI);
(c) Memegang sebarang jawatan dalam mana-mana badan berkanun, koperasi berdaftar atau organisasi;
(d) Mengamalkan profesion tertentu;
(e) Menjalankan perniagaan secara persendirian atau perkongisan atau menubuhkan syarikat;
(f) Bekerja dalam perniagaan saudara;
(g) Mengekalkan apa-apa tindakan tanpa sanksi KPI selain daripada tindakan untuk ganti rugi dalam kecederaan kepada orang lain;
(h) Meninggalkan Malaysia sebelum/tanpa kebenaran KPI atau Mahkamah;
(i)Pencen dan ganjaran lain yang diterima oleh bankrap hendaklah terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk dibahagikan kepada pemiutang. Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Insolvensi mempunyai budi bicara untuk menentukan berapa jumlah pencen dan ganjaran yang boleh diberikan kepada bankrap.   
(j) Menguatkuasakan haknya di bawah undang-undang tertentu

 

Membuang Status Bankrap

Ada tiga cara untuk menamatkan status kebankrapannya iaitu:


(a) Membuat permohonan pembatalan ke mahkamah dengan alasan hutang telah dijelaskan sepenuhnya / tidak sepatutnya diisytiharkan bankrap;


(b) Membuat permohonan pelepasan ke mahkamah pada bila-bila masa tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh mahkamah. MdI perlu mengemukakan laporan kes yang menyatakan kelakuan dan kerjasama bankrap kepada Jabatan;


(c) Membuat permohonan pelepasan kepada KPI untuk pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi di bawah Seksyen 33A Akta Kebankrapan 1967. Permohonan hanya boleh dibuat sekiranya pentadbiran kes kebankrapan telah dijalankan selama lima tahun selain memenuhi kriteria dan syarat-syarat yang lain.

 

 

 
 
Mahal ke kos buat Hibah?

Mahal ke kos buat Hibah?

Saya banyak terima persoalan tentang kos penyediaan Hibah terutamanya kos hibah rumah. Soalan ini memang relevan, sebab tiada servis dan perkhidmatan yang disediakan secara percuma. Namun begitu, untuk terus meletakkan harga sebenarnya tidak win-win kepada saya mahupun kepada anda. Beri peluang kepada diri sendiri untuk faham kenapa harga servis berbeza-beza.

Sebagai contoh… adakah anda yakin dengan penyediaan dokumen hibah dengan kos hanya RM15? Atau yang disediakan oleh peguam yang kepakarannya tidak khusus dalam bidang hibah dan pusaka?

Walhal hibah ini adalah sejenis dokumen teknikal yang belum ada aktanya di Malaysia, perlukan kepakaran peguam yang faham tentang complexity berkenaan hibah, dan memastikan dokumen itu tiada masalah untuk disahkan di mahkamah syariah.

Pasti ada rasa curiga, bukan?

Kos dan nilai servis saling berhubung kait. NILAI dokumen Hibah yang disediakan perlu difahami betul-betul oleh prospek.

Kenapa nak hibah, bukan wasiat atau Faraid sahaja?

Kenapa buat Hibah dengan Wasiyyah Shoppe?

Kenapa sini ‘mahal’, syarikat sana buat murah?

Adakah penyedia dokumen pernah melalui prosedur dokumen hibah yang disediakannya disahkan di Mahkamah Syariah?

Kalau anda datang dari background sales and marketing, pastinya anda biasa dengan konsep menjual dengan menekankan ‘nilai’ servis yang bakal diterima, berbanding ‘harga’ yang dibayar. Ini bukan nak kata harga itu tidak penting. Transaksi jualbeli tidak akan berlaku jika pembeli tidak hendak mengeluarkan kos yang dipinta. Begitu juga penjual tidak akan menjalankan servis sekiranya bajet yang diminta terlalu rendah.

value what you get

 

Nilai Dokumen Hibah

Setiap orang ada nilai diri yang dikejar. Graduan yang baru bekerja membeli Honda City kerana mahukan nilai ‘status’, walaupun terpaksa membayar separuh dari gajinya untuk ansuran bulanan dan maintanance. Nilai status yang dikejar juga yang membuatkan mereka yang lebih berkemampuan membeli Rolls Royce, walaupun cukai dan insurans tahunannya sangat tinggi, melangkaui utiliti kereta mewah itu yang tidak dijadikan kereta harian.

Nilai sebuah dokumen Hibah ialah nilai kasih sayang. Kita buah Hibah kerana hendak mengeratkan hubungan kasih sayang dalam keluarga dan memastikan kebajikan mereka terpelihara apabila kita tiada. Termasuk dalam rukun Hibah ialah penerima perlu maklum dan menerima (qabul) harta yang dihibah. Maka kasih sayang itu dieratkan semasa kita masih ada lagi.

Adakalanya mertua berubah hati terhadap menantu apabila anaknya sudah meninggal dunia. Mereka tetap menuntut hak ke atas harta pusaka anak atas sebab sumbangan mereka membela dan mendidik anaknya sehingga dewasa. Maka si isteri jangan pula salahkan ibu ayah mertua kerana tindakan mereka itu tiada salahnya. Mereka ada hak yang tertulis dalam Surah an-Nisa’:11. Menafikan hak mereka atau menyatakan mereka tamak adalah berlawanan dengan arahan Allah yang menyatakan secara spesifik bahagian hak ibu ayah arwah. 

Di sinilah pentingnya perancangan harta pusaka dibuat semasa masih hidup lagi. Apabila rumah itu sudah dihibahkan kepada isteri semasa hidup, pemberian itu tidak lagi tertakluk kepada pembahagian Faraid. Ibu ayah tidak lagi berhak menuntut, kerana harta itu telah diberikan kepada isteri semasa hidup melalui Hibah.

Namun saya bukanlah nak menyuruh anda melebihkan isteri dan melupakan ibu ayah. Saya menyarankan untuk anda rancang harta dan pusaka agar ada harta yang ditinggalkan kepada waris lain termasuklah ibu ayah, samada niat itu dizahirkan melalui dokumen Hibah atau diserahkan mengikut pembahagian Faraid.

Maka, dengan membuat Hibah, kita telah menzahirkan nilai kasih sayang terhadap keluarga. Kerana sayang, kita concern tentang nasib mereka. Tidak menyerahkan nasib mereka kepada takdir, atau budi bicara waris lain untuk melepaskan hak ke atas rumah selepas ketiadaan kita.

 

Berapa Kos Dokumen Hibah?

Sebab anda baca artikel ni sebab nak tahu kos Hibah kan?

Setiap syarikat ada harga penyediaan dokumen Hibah yang tersendiri. Sebabnya setiap syarikat ada kosnya yang tersendiri, metod dan expertise tersendiri sehingga terhasilnya dokumen tersebut. 

Ada syarikat yang jual servis Hibah serendah RM15. Dah ada template, cuma perlu isi ruangan pemberi, penerima, harta yang nak dihibah, saksi dan buat pembayaran. Agakan saya, tiada proses semakan dokumen mahupun pengesahan hakmilik harta yang dibuat. Kerana itu akan melibatkan kos tenaga kerja profesional seperti peguam.

Murah, dan sesuai untuk mereka yang berfikiran “Asalkan ada..lagi baik dari tiada..”. Murah sekarang, tapi mungkin ada kesukaran buat waris pada masa hadapan jika dokumen Hibah itu dicabar kesahihannya. Boleh terbatal hibah, dan harta itu kembali mengikut Faraid.

Kos penyediaan Hibah oleh Wasiyyah Shoppe bermula dari RM1,600.

 

Mahal ke?

Tidak mahal, jika dibandingkan dengan nilai harta yang dihibahkan. Jika harta itu hendak ditebus nilai dengan hak Faraid waris lain, sudah pasti kosnya jauh lebih tinggi.

Dan tebus pusaka itu hanya boleh dilaksanakan jika waris lain bersetuju. Jika mereka bertegas mahukan rumah itu, maka termaktublah nama mereka dalam geran rumah nanti.

Objektif syarikat ialah untuk memastikan dokumen Hibah yang disediakan laku dan tiada masalah untuk disahkan di Mahkamah Syariah sekiranya dicabar. Di samping itu, dokumen yang disediakan sentiasa dipastikan menepati garis panduan hukum Syariah dan tidak bercanggah dengan undang-undang sivil dan syariah negara kita.

Untuk mencapai tahap itu, kertas kerja penyelidikan berkaitan Hibah Harta Bercagar telah terhasil melalui geran yang diberikan kepada universiti tempatan. Kertas kerja ini menilai secara komprehensif dan menyeluruh mengenai isu berkaitan hibah bersyarat dan hibah harta yang masih dalam pinjaman. Jika anda sudah survey, hampir kesemua syarikat pusaka hanya menyediakan hibah untuk harta yang sudah habis dibayar sahaja. Wasiyyah Shoppe terkecuali.

hibah rumah bercagar

Wasiyyah Shoppe juga melantik panel Syariah berkaliber bagi memastikan perkhidmatan sentiasa selari dengan perubahan undang-undang negara. Panel syariah ini bukan main tangkap muat.. mereka semua ini  mempunyai ilmu dan pengalaman relevan dengan industri ini. Seorang daripadanya adalah bekas Hakim Mahkamah Rayuan.   

panel syariah wasiyyah shoppe

 

Teruskan dengan Hibah?

Saya tak kata Hibah Wasiyyah Shoppe ini yang paling murah. Tapi saya yakin bahawa ianya ialah yang paling efektif dan berkesan. Wasiyyah Shoppe adalah pengeluar Hibah terbanyak di Malaysia. Nak tahu dokumen Hibah itu sempurna atau tidak adalah apabila ianya telah dinilai, dibicara dan akhirnya disahkan oleh hakim Mahkamah Syariah.

Dengan rekod lebih 300 kes Hibah berjaya disahkan, Wasiyyah Shoppe adalah syarikat syarikat yang paling terkehadapan dalam Hibah. Bagi yang buat Hibah dengan peguam atau syarikat lain, cuba tanya mereka jika mereka pernah sahkan Hibah?

Jika nak proceed, boleh Whatsapp saya Ansari 019-749 8210 atau klik SINI.

 

Mahal ke kos buat Hibah?

Hibah, Wasiat dan Pewarisan Kepada Anak Angkat

Anak angkat seringkali dijaga dan dipelihara seperti menatang minyak yang penuh. Ibubapa angkat menjaga mereka sepertimana seorang anak kandung dipelihara; Makan minum semuanya dijaga rapi, keperluan hidup dipenuhi sebaiknya, lebih-lebih lagi jika anak itu diambil untuk dipelihara sejak bayi lagi. Apabila bayi itu merengek di tengah malam, ibu bapa penjaga tak dapat nak tidur untuk meredakannya sehingga kembali nyenyak. Lama kelamaan akan terbit naluri keibuan dan sukar untuk dipisahkan umpama hubungan kandung.

Antara maqasid syariah dalam Islam ialah memelihara nasab keturunan dan jalur darah kekeluargaan. Walaupun penjagaan anak ini merupakan usaha terpuji, isu dan batasan hubungan antara keduanya perlu dipatuhi dan diamati agar tidak melangkaui ajaran Islam. Antara isu yang sering dibangkitkan dalam masyarakat ialah isu pewarisan anak angkat, menjadi wali nikah dan meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ kepada ayah angkat.

Anak Angkat di Zaman Nabi

Rasulullah juga pernah mengambil anak angkat, iaitu Zaid ibn Harithah, yang juga sahabat Nabi yang sama-sama berjuang untuk Islam. Zaid adalah seorang bekas hamba milik isteri baginda, Khadijah binti Khuwailid. Rasulullah sangat rapat dengan Zaid sehingga penduduk Mekah mem’bin’kan Zaid dengan Muhammad. Namun Allah menegur penggunaan ‘bin’ tersebut dengan turunnya ayat Al-Ahzab:5

“Panggilah mereka (anak angkat itu) dengan ber”bin”kan kepada bapa mereka sendiri; Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara kamu yang seugama dan sebagai “maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Al-Ahzab:5

Selain itu, Rasulullah juga telah mengahwini bekas isteri Zaid, iaitu Zainab binti Jahsy. Peristiwa ini menangkis adat Jahiliyyah yang menganggap anak angkat sebagai anak sendiri; dengan berlakunya peristiwa ini, maka jelas tiada halangan untuk Rasulullah atau sesiapa pun mengahwini bekas isteri anak angkat. Ini kerana hukumnya tidak sama dengan mengahwini bekas isteri anak kandung.

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu (Zainab) itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan nyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah lebih patut engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri anak angkat mereka, apabila anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.

AL-Ahzab:37

Hukum Pewarisan Anak Angkat

Antara batasan dalam hubungan ialah yang bersangkutan dengan pewarisan harta pusaka. Seseorang itu boleh mewarisi dan mewariskan hartanya kepada orang lain apabila berlakunya perkahwinan, pertalian darah dan perhambaan. Pendaftaran yang sah di Jabatan Pendaftaran Negara bukanlah tiket untuk membolehkan pewarisan berlaku. Sekiranya ibu bapa angkat meninggal, anak angkat tidak boleh menuntut walau sesen pun pusaka mereka, walaupun telah lama tinggal bersama dan berkhidmat menjaga mereka ketika sakit.

Begitu juga sebaliknya.

Sekiranya anak angkat itu meninggal dahulu, ibubapa dan keluarga kandungnya adalah waris yang berhak mendapatkan hak Faraid, meskipun mereka tidak pernah datang menjenguk. Sekiranya kemunculan semula mereka hanya kerana nak menuntut hak, maka tiada yang dapat menghalang. Kerana dari segi hukum Syariah, mereka memang ada hak, walaupun mereka sebelumnya gagal menunaikan tanggungjawab sebagai ibubapa kandung menjaga anak mereka.

Oleh sedemikian, keluarga yang mempunyai anak angkat adalah antara golongan kritikal yang perlu membuat perancangan harta untuk pewarisan. Kebajikan anak akan terjejas sekiranya ibubapa angkat meninggal dahulu dan menyebabkannya hilang tempat pergantungan sumber kewangan, fasiliti dan tempat berteduh. Adik beradik angkat yang merupakan anak kandung mereka mungkin enggan untuk menyerahkan sebahagian hak mereka kepada kepada anak angkat itu, kerana statusnya yang kekal sebagai ‘orang luar’.

Sebagaimana kita tidak boleh menduga pakcik berkopiah akan berkeras apabila menuntut harta pusaka, lebih kritikal lagi bagi anak angkat yang sememangnya tidak layak mendapat sebarang bahagian pusaka.

Wasiat Atau Hibah?

Bagi merancang pewarisan, ada dua pilihan iaitu untuk membuat wasiat atau hibah.

i) Wasiat. Anak angkat bukan waris Faraid, maka tiada halangan untuk meletakkannya sebagai penerima dalam surat wasiat. Hadnya tertakluk kepada batasan umum wasiat, iaitu terhad kepada 1/3 harta setelah ditolak peruntukan hutang, kos kebumi dan sebagainya. Untuk harta tak alih, kurang isu untuk membahagikan 1/3 harta. Tetapi jika hasratnya untuk memastikan anak angkat ada tempat berteduh, maka agak sukar untuk mewasiatkan 1/3 daripada nilai rumah, yang tertakluk juga kepada penyusutan harta pusaka apabila digunakan untuk membayar hutang tinggalan arwah.

ii) Hibah. Hibah tiada had; boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dan tiada had berapa banyak yang hendak diberikan. Maka ini adalah solusi yang baik jika hendak memastikan anak angkat akan dapat rumah sebagai tempat berteduh. Hibah terlaksana semasa hidup, maka ia tidak tertakluk kepada penyusutan harta pusaka berikutan penyelesaian hutang. Harta yang dihibah diasingkan daripada pusaka dan Faraid. Ini bermakna waris Faraid tidak berhak menuntut hak ke atas harta yang dihibah. Namun begitu, ada sedikit cabaran dari segi prosedur tuntutan Hibah di Malaysia amnya dan khasnya untuk penerima bukan waris qadim seperti anak angkat. Isu ini telah dikenalpasti oleh Wasiyyah Shoppe dan ada penyelesaiannya dalam produk yang ditawarkan.

Untuk mendaftar Hibah Anak Angkat, boleh Whatsapp terus ke saya, Ansari di 019-749 8210 atau KLIK SINI.

Pendaftaran Pengangkatan Anak

Undang-undang Malaysia tidak mensyaratkan pengambilan anak angkat didaftarkan. Namun begitu, anak yang tidak didaftarkan akan mengalami kesukaran untuk melengkapkan urusan rasmi seperti mendaftar sekolah, permohonan kad pengenalan, passport. Malah penjaga tersebut juga tidak boleh mengambil polisi Takaful bagi melindungi anak itu kerana sijil pengangkatan diperlukan untuk mendaftar polisi.

Proses pendaftaran pengangkatan de facto memerlukan mereka yang berhasrat agar memelihara anak tersebut selama sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai anak angkat di Jabatan Pendaftaran Negara secara sah.

Tempoh 2 tahun itu bermula di saat ibu bapa kandung menyerahkan anak mereka kepada ibu bapa angkat melalui Surat Keizinan Berkanun. Setelah cukup tempoh,mereka boleh memohon untuk mendapatkan sijil pengangkatan yang akan dikeluarkan oleh JPN. Pengiktirafan sijil pengangkatan ini penting untuk melindungi hak ibu bapa dan anak angkat; contohnya apabila ibu bapa kandung berhasrat untuk mengambil semula jagaan anak mereka, walaupun setelah bertahun-tahun lamanya anak tersebut telah diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Dengan adanya sijil ini, pengangkatan itu sudah muktamad dan tindakan mereka salah dari segi undang-undang sivil.

Wakaf Dengan Menggunakan Hibah

Wakaf Dengan Menggunakan Hibah

Wakaf adalah satu instrumen yang digunakan untuk mendapatkan pahala jariah yang berpanjangan sehingga selepas mati. Berbeza dengan sedekah, harta yang diwakafkan perlulah bersifat kekal, di mana pahala orang mewakaf akan mengalir kepadanya selagimana harta yang diwakafkan itu memberi manfaat kepada orang lain. Pahala sedekah pula diperoleh hanya apabila amalan sedekah itu dibuat.

Wakaf juga disebut sebagai sedekah jariah sepertimana sabda Rasulullah SAW:


إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: Jika mati seorang manusia itu akan terputuslah catitan amalannya melainkan pada tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakan baginya kebaikan.

Harta yang dikumpul dengan jerit lelah itu hanya menjadi milik kita apabila kita beroleh manfaat daripada harta itu. Manfaat boleh datang dalam pelbagai bentuk, samada dalam bentuk material duniawi ataupun ukhrawi iaitu ganjaran pahala. Nikmat manfaat harta dalam bentuk material duniawi hanya boleh kita dapatkan selagi mana kita hidup di dunia. Bila ajal datang, kita tidak dikuburkan bersama-sama dengan kereta mewah dan emas perak.

Jika harta kemewahan itu dikuburkan sekali dengan jasad sekalipun, ia perlu dikeluarkan semula. Kerana hak harta itu secara syariahnya sudah berpindah milik kepada waris Faraid yang masih hidup.

Wakaf An Nur

Awal minggu ini kami didatangi oleh wakil daripada Wakaf an-Nur yang ditubuhkan oleh Johor Corporation. Wakaf an-Nur adalah satu entiti wakaf korporat yang melabur banyak dalam pembangunan bandar baharu seperti Bandar Dato’ Onn dan fasiliti seperti klinik, hospital wakaf, hartanah, masjid dan penganjuran program komuniti.

Infomasi tentang penubuhan Wakaf an-Nur ini ada dicatat dalam Buku tulisan arwah Tan Sri Ali Hashim, “Khalifah Ganti Superman”. Review buku tersebut ada saya tuliskan di link tersebut pada tahun lalu.

JCorp telah mewakafkan saham bernilai RM258.01 juta mengikut nilai aset bersih, yang terdiri daripada saham syarikat Kulim, KPJ Healthcare, Johor Land dan TPM Management. Saham tersebut telah diwakaf dan didaftarkan atas nama Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu syarikat di bawah jaminan JCorp yang bertindak selaku mutawali bagi saham dan aset JCorp yang telah diwakafkan.

Wakaf Korporat berbeza dengan wakaf konvensional yang diurus oleh pihak berkuasa agama negeri. Dalam Wakaf Korporat, WANCorp mengurus aset wakaf kerana pengurusan korporat MAIJ tidak berupaya. Namun kepentingan MAIJ masih terpelihara dengan wakilnya dilantik menjadi ahli lembaga pengarah WANCorp. 5% dividen disumbang kepada MAIJ, 25% untuk program fisabilillah dan kebajikan, selebihnya 70% dilaburkan semula untuk manfaat berterusan.

Menurut wakil yang hadir, sebelum ini tawaran untuk turut serta dalam progam wakaf mereka hanya dibuka untuk internal sahaja. Setelah bertahun-tahun beroperasi dan melebarkan sayap, Wakaf an-Nur sudah bersedia untuk membuka penyertaan dari pihak luar. Atas sebab itu, agensi kami menjadi rakan strategik kepada Wakaf an-Nur untuk mempromosikan wakaf kepada umat Islam.

Istimewanya Wakaf an-Nur kerana ia ditubuhkan oleh badan konglemerat JCorp yang berpengalaman luas melabur dan mendapat keuntungan yang tinggi. Maka harta yang diwakafkan berpotensi untuk memberi ROI yang berbaloi dan dapat diluaskan kepada lebih ramai penerima dan kemudahan yang pelbagai.

Hibah Wakaf

Sebagai rakan strategik, penawaran kami ialah menyediakan dokumen Hibah bagi potential customer yang ingin mewakafkan harta selepas beliau meninggal dunia.

Harta tersebut akan disalurkan kepada wakaf an-Nur dan dimanfaatkan kepada masyarakat yang memerlukan. InsyaAllah kami pun mengharapkan pahala iaitu melalui membuka ruang kepada anda untuk beramal jariah dengan menyalurkan harta wakaf ke institusi yang berpotenti tinggi.