Lafaz Taklik Selepas Akad Nikah Bagi Setiap Negeri Di Malaysia

Lafaz Taklik Selepas Akad Nikah Bagi Setiap Negeri Di Malaysia

Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain. Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini akan dicatatkan sekali dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.

Seringkali kontrak (lafaz taklik) ini tidak langsung difahami kerana pada masa tersebut perasaan gembira kerana baru berkahwin. Dan selepas akad nikah sebenarnya jiwa masih kosong dan dengan terketar-ketar serta darah gemuruh lantas membaca tanpa memikirkan apa yang dibaca. Tidak ramai suami kembali membaca dan memahami takliq selepas kahwin dan surat nikah disimpan dalam fail tanpa dirujuk semula

Lafaz talak taklik yang disyaratkan selepas perkahwinan suami isteri berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Beberapa contoh seperti berikut:

 

Terengganu

“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”

 

Kelantan

“Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal ia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama 4 bulan atau lebih atau (nama isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi.”

 

Kedah

Lafaz talak taklik yang baru di Kedah berbunyi:

“Adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik, jika :

(1) Saya tidak berma’syarah yang ma’ruf dengan isteri saya (nama Isteri) sama ada saya meninggalkan di dengan segaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih atau;

(2) saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah atau:

(3) saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau lain-lain darar syarie terhadapnya, dan apabila dia mengadu kepada khadi atau hakim syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau hakim syarie dan ia memberi kepada khadi atau hakim syarie bagi pihak saya sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia (nama Isteri) dengan satu talak khuluq.”

 

Perak

“1) Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak.

2) Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana kadi syariah dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu.

3) Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.”

 

Selangor

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”

 

Johor

“Manakala saya tinggalkan isteri saya…..(nama isteri)…..selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya, kemudian ia mengadu atau wakilnya mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduannya di sisi kadi atau mahkamah syariah dan ia atau wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya $1.00 maka ketika itu tertalaklah ia dengan satu ‘talak khulu’, atau saya ghaib daripada isteri saya yang tersebut selama satu tahun atau lebih, jika ia atau wakilnya mengadu kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya manakala bersabit aduannya, nescaya tertalaklah ia satu talak, demikian lafaz taklik saya.”

 

Namun ada negeri tidak mempraktiskan takliq, seperti negeri Perlis di mana pandangan muftinya menjelaskan tidak perlu kepada takliq disebabkan selepas perkahwinan sepatutnya didoakan dengan kebahagian dan bukannya perceraian.

Kebanyakan negeri memasukkan syarat jika suami meninggalkan isteri selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri selama tempoh itu, pada hal isteri masih taat kepada suami.

Beberapa negeri lain meletakkan syarat meninggalkan isteri dalam tempoh berkenaan dan suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri pada hal isteri masih taat kepada suami. Dua syarat ini dibezakan dengan perkataan ‘dan’ dan ‘atau’. Kedah dan Pulau Pinang mensyaratkan tempoh yang lama iaitu enam bulan.

Syarat talak taklik Terengganu berbeza dengan negeri lain di mana disyaratkan jika suami dan isteri tidak bersekedudukan selama empat bulan berterus-terusan, sama ada suami meninggalkan isteri atau isteri meninggalkan suami, sama ada dengan sukarela atau terpaksa.

Perak pula meletakkan syarat jika berlaku perbalahan antara suami dan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada hakim untuk mensabitkan talak taklik itu.

Kebanyakan negeri meletakkan syarat jika suami menyakiti atau mendatangkan sebarang mudarat kepada tubuh badan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada Hakim untuk mensabitkan talak taklik itu. Melaka mensyaratkan jika suami tidak mempedulikan isteri lamanya empat bulan, isteri boleh memohon cerai taklik.

Sabah meletakkan syarat tambahan jika suami menyakitkan tubuh badan atau kehormatan atau harta benda isteri, maka aduan untuk mensabitkan talak taklik boleh dibuat oleh isteri. Johor memasukkan syarat tambahan jika suami ghaib selama setahun atau lebih, isteri boleh mengadu untuk mensabitkan talak taklik berkenaan. Syarat ini tidak terdapat dalam syarat taklik di negeri lain.

Melihat dari segi jenis talak jika Mahkamah mensabitkan talak taklik juga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Kelantan, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor misalnya, jika syarat taklik disabitkan oleh hakim, maka isteri perlu membayar RM1 dan selepas perceraian boleh disabitkan dengan cerai khul’ (tebus talak).

Tetapi di negeri lain, jika syarat taklik disabitkan oleh Hakim, isteri tertalak dengan satu talak rajie.

 

Sumber asal: Sahabat Mahkamah Syariah

Isteri bercerai boleh tuntut pusaka dan harta sepencarian?

Isteri bercerai boleh tuntut pusaka dan harta sepencarian?

Kes perceraian suami isteri sudah menjadi semakin kronik sekarang ini. Pelbagai cabaran baru yang dulunya tiada seperti aplikasi media sosial yang disalahguna membuka ruang perkenalan dengan kawan berlawanan jenis. Dari bertanya khabar meleret kepada berjumpa dan seterusnya menjalin hubungan terlarang.

Apabila berlaku perceraian, tanggungjawab suami memberi nafkah tidak semestinya terputus serta merta. Begitu juga hak isteri mewarisi harta suami dan sebaliknya. Dalam tempoh dan syarat yang ditentukan, hak waris mewarisi itu masih tidak terhenti.

Dalam isu perceraian ini, perkara yang sering menjadi tanda tanya ialah mengenai hak harta sepencarian. Rumah tangga yang telah dibina lama dan berkecai selepas itu. Dalam dalam tempoh indah perkahwinan, pastinya ada banyak harta yang dibeli bersama. Salah faham masyarakat ialah isteri secara automatik akan dapat 50% harta tersebut. Ini antara yang akan dibincangkan dalam artikel ini.

 

Jenis perceraian suami isteri

Ada dua bentuk perceraian:

1. Cerai Raj’ie – Suami lafaz talak satu atau dua. Suami masih boleh rujuk isteri dalam tempoh iddah tanpa perlu akad dan mas kahwin yang baru.

2. Cerai Ba’in – Talak yang tidak boleh dirujuk semula. Perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru jika hendak berkahwin semula selepas tamat iddah. Cerai ba’in terbahagi kepada dua, iaitu:

i) Ba’in baynunah sughra (kecil) – Talak yang dilafazkan sebelum berlakunya persetubuhan, sama ada talak satu atau dua

ii) Ba’in baynunah kubra (besar) – Cerai talak tiga. Suami tidak boleh kembali rujuk kepada bekas isteri tersebut kecuali setelah isteri tersebut berkahwin dengan lelaki lain.

 

Hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah Selepas Perceraian

Hak-hak berikut boleh dituntut, bergantung kepada jenis perceraian dan tempoh iddah yang tertentu.

1. Nafkah Iddah

  •  Nafkah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang wajib dibayar kepada bekas isteri yang masih dalam tempoh Iddah Raj’ie.

2. Mut’ah

  • Bayaran ke atas suami yang telah menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah mengikut Hukum Syarak. Kadar bayaran mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya ada pertikaian, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut’ah tersebut.

3. Harta Sepencarian

  • Harta yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri semasa dalam tempoh perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah.
  • Harta yang tergolong dalam kategori harta sepencarian antaranya termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Harta sepencarian ini hendaklah dituntut di Mahkamah Tinggi Syariah.

4. Hak Jagaan Anak (Hadhanah)

  • Penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Mengikut Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu yang paling berhak menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).
  • Jika ada pertikaian hak jagaan untuk anak yang melebihi had umur di atas, Mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.Tuntutan hak jagaan anak (Hadhanah) ini hendaklah dikemukakan di Mahkamah Tinggi Syariah.

5. Nafkah Anak

  • Nafkah anak wajib dibayar oleh seseorang yang dipertanggungjawabkan, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain.
  • Nafkah ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.

6. Tunggakan Nafkaf

  • Nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya. Tunggakan nafkah wajib dibayar. Ia boleh dituntut di Mahkamah Syariah
  • Tunggakan nafkah anak juga boleh dituntut apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.

7. Hak Tempat Tinggal

  • Wanita yang telah diceraikan berhak tinggal di rumah yang sama seperti sebelumnya selama mana dalam tempoh iddah.

 

Sekiranya isteri diceraikan dengan talak bain seperti cerai secara khuluk, atau cerai taklik, atau talak tiga, maka isteri hanya layak mendapat tempat tinggal sahaja dalam tempoh iddah.

Namun jika diceraikan dalam keadaan hamil, maka isteri layak mendapat semua kemudahan sepertimana perempuan yang diceraikan dengan talak rajie.

 

Jenis dan Tempoh `Iddah

Jika anda teliti, hak-hak di atas tertakluk kepada iddah yang juga bergantung kepada jenis cerai. Tempoh iddah dan pengiraanya pula bergantung kepada keadaan wanita tersebut, iaitu:
i.             `Iddah dengan kiraan suci (quru’);
ii.            `Iddah dengan kiraan bulan; dan
iii.           `Iddah dengan kelahiran atau keguguran kandungan.
 Warning: Jadual panjang… boleh skip ke KESIMPULAN di bawah kalau nak 🙂
BIL
JENIS `IDDAH
ADA HAID / TIADA HAID/
SEDANG MENGANDUNG
TEMPOH `IDDAH
KETERANGAN
i.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Ada haid
Tiga kali suci
a.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan suci, `iddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga.
b.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan haid, `iddahnya tamat apabila datang haid yang keempat.
c.    Jika ditalaq semasa dalam keadaan nifas, hendaklah menunggu sehingga tiga kali suci selepas nifas. `Iddah tamat  apabila datang haid yang keempat.
ii.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Tiada haid (sama ada kerana penyakit, telah dibuang rahim, telah putus haid, belum pernah haid atau lain-lain)
Tiga bulan
iii.
Bercerai talak raj`ie/ba’in
Sedang mengandung
Sehingga bersalin atau kandungan gugur
Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang  menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.
iv.
Bercerai talak raj`ie/ba’in dan belum pernah disetubuhi
Ada haid atau tiada haid
Tiada `iddah
v.
Bercerai talak raj`ie/ba’in dan menghidap istihadhah
a.  Haid tidak menentu tetapi masih dapat mengetahui kebiasaan perjalanan darah haidnya.
b.  Haid tidak menentu dan tidak  mengetahui kebiasaan perjalanan haidnya atau tidak dapat membezakan antara darah haid dan istihadhah.
Tiga kali suci
Tiga bulan
vi.
Berlaku kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak raj`ie dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid
Empat bulan sepuluh hari
Kiraan `iddah baru bermula pada tarikh atau hari kematian suami walaupun sebelum itu `iddah isteri sama ada dengan tiga kali suci atau tiga bulan telah hampir tamat.
vii.
Berlaku kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak ba’in dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid
Tiga kali suci atau tiga bulan
Kekal `iddah talak ba’in sama ada dengan kiraan tiga kali suci atau tiga bulan dan `iddah tidak bertukar kepada `iddah kematian suami.
viii.
Kematian suami sama ada                                                    telah disetubuhi atau belum disetubuhi dan tidak mengandung
Ada haid atau tiada haid
Empat bulan sepuluh hari
Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib ber`iddah, tetapi juga wajib berkabung.
ix.
Kematian suami
Sedang mengandung
Sehingga melahirkan anak atau kandungan gugur
Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang  menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar.
x.
Suami hilang
Ada haid, tiada haid atau sedang mengandung
Isteri wajib menunggu selama empat tahun. Selepas tempoh tersebut, isteri  wajib pula ber`iddah dengan `iddah kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.
Bagi kes suami hilang, isteri boleh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahan kematian suami atau membuat tuntutan fasakh.

KESIMPULAN: Adakah Isteri Dapat Pusaka Setelah Bercerai?

Antara sebab yang membolehkan harta diwarisi ialah hubungan suami isteri. Maka apabila berlakunya perceraian, maka terputuslah hak isteri mewarisi harta suami dan sebaliknya. Namun begitu, dalam kes-kes tertentu, hak pewarisan tersebut tidak terhenti serta merta setelah suami melafazkan talak. Sepertimana hak-hak isteri yang boleh dituntut selama mana dalam iddah yang ada dinyatakan di atas, pewarisan juga ada faktor yang serupa.

Apabila suami meninggal dunia, bekas isteri berhak untuk menuntut pusaka dalam keadaan berikut:

1) Dicerai dengan Talak Raj’ie

  • Talak rajie ialah talak satu atau dua. Suami masih boleh rujuk tanpa akad nikah yang baru
  • Jika isteri dicerai dengan Talak Bain  (sama ada bercerai talak tiga, bercerai sebelum bersetubuh, khulu’ (tebus talak) atau fasakh), maka isteri tidak boleh mewarisi harta pusaka bekas suami walau pun isteri itu masih dalam iddah.

2) Kematian suami berlaku semasa isteri dalam tempoh iddah.

  • Tempoh iddah dikira berdasarkan tempoh pengiraan dalam Jadual di atas.

 

Bercerai Setelah Kahwin Lama – Tak Layak?

Untuk suami isteri yang telah berkahwin dalam tempoh yang lama dan bercerai – sekiranya suami meninggal dan isteri tidak mendapat hak pusaka kerana tidak menepati syarat di atas, masih ada ruang iaitu menuntut hak harta sepencarian.

Tetapi ramai yang menyangka:

  • Isteri dapat harta sepencarian secara automatik
  • Isteri berhak 50% daripada nilai harta pusaka yang ditinggalkan oleh bekas suami

 

Realitinya..

  • Harta sepencarian PERLU DITUNTUT di Mahkamah. Isteri perlu kemukakan bukti sumbangan, sama ada ianya sumbangan secara langsung atau tidak langsung
  • Berdasarkan sumbangan isteri ini, Mahkamah akan tentukan hak harta sepencarian yang berhak dituntut isteri. Nilai 50% adalah maksimum. Jika isteri suri rumah, nilainya mungkin banyak kurangnya dari nilai tersebut.

 

Rujukan: JAKIM, Kehakiman Pahang, caknapusaka, ceritapeguamsyarie