Adik beradik arwah putus hubungan selepas dapat faraid

Adik beradik arwah putus hubungan selepas dapat faraid

Melampau lah dia orang ni!

Duit arwah ada tapi dia orang simpan dan tak nak bayarkan hutang arwah.

Entah apa yang mereka fikirkan.

Nama je adik beradik tetapi sayang sekali adik beradik mata duitan.

Kejam mereka ni!

Memang mereka sungguh kejam tak kasihan pada arwah yang sangat berbaik sangka pada mereka.

Maaf atas bahasa yang kasar pagi-pagi ni.

Saya dapat panggilan dari puan Amy semalam.

Ingat lagi pada kisah puan Amy?

Suami beliau meninggal dunia tahun lepas dan meninggalkan ibu, isteri, 1 anak perempuan dan adik beradik.

Dari segi pembahagian faraid,
ibu dapat 1/6 = 4/24
isteri 1/8 = 3/24
1 anak perempuan 1/2 = 12/24
baki 5/24 jatuh pada adik beradik.

Isteri tu dapat bahagian faraid paling kecil. Harta itu untuk kegunaan diri dia sendiri. Dia tidak perlu gunakan harta itu untuk menyara anak.

Siapakah yang sepatutnya menyara anak dia?

Tanggungjawab itu jatuh kepada wali anak tersebut yakni pakcik-pakcik dia. Sebab adik beradik arwah pun dapat hak faraid.

Cuma yang sedihnya arwah tidak membuat sebarang perancangan harta.

Isteri surirumah sepenuh masa. Dia diminta berhenti berkerja oleh suami.

Anak masih kecil lagi baru 2 tahun.

Penama suami letak nama mak. Tak tukar-tukar.

Masa suami sakit isteri tanya tak buat perancangan ke? Jawab suami ‘Takkanlah adik-beradik saya nak ambil harta saya’. Ya lah dia yang penat bekerja untuk anak dan isteri dia.

Ya dia berbaik sangka!

Meninggal je suami, adalah adik beradik yang kononnya nak menolong. Di ambil nya dokumen penting. Mereka keluarkan duit-duit dari kwsp, tabung haji, unit trust dan insuran yang ada penama ibu arwah. Anggaran adalah lebih dari RM 1.5 juta. Disimpannya duit tu. Tidak di beri sesen pun pada balu dan anak.

Loan rumah masih ada baki RM 1 juta atas nama arwah. Ini hutang yang arwah tinggalkan. Hutang ini WAJIB di bayar menggunakan harta pusaka (kwsp, tabung haji, insuran, unit trust) yang arwah tinggalkan. Kalau ada baki barulah dibahagikan.

Isteri arwah terpaksa menuntut harta sepencarian di Mahkamah Syariah. Semua waris-waris kena hadir semasa pembicaraan. Ini semua membebankan waris. Nak pergi mahkamah kena ambil peguam ya. Tambah lagi kos. Kalau tak ada duit macamana?

Kali pertama pembicaraan ramai adik beradik suami yang tak hadir. Sampai hakim kasi warning. Dan hakim sudah meminta mereka menyelesaikan hutang arwah.

Kali kedua semua waris-waris hadir. Adik beradik arwah mahu semua harta di jual termasuk rumah yang di diami keluarga arwah. Lepas keluar mahkamah ada pula adik beradik arwah yang cakap pada balu arwah ‘Lepas ini kita tiada ikatan’. Wow begitu mudah sekali mereka mahu melepaskan tanggugjawab mereka.

Kali ketiga keputusan mahkamah, semua adik beradik suami tak hadir. Alhamdulillah hakim memberi harta sepencarian sebuah rumah (dari 2 rumah), sebuah kereta (dari 2 buah kereta) dan sebuah motor. Yang lain tu adalah bahagian isteri di beri 30% dan ada yang ikut faraid.

Dan yang paling menakutkan saya bila puan Amy memberitahu bahawa hakim berkata dia sudah berpuluh-puluh tahun dalam bidang ini dan dia nampak sendiri betapa celaka nya hidup mereka yang ambil faraid tetapi tidak melakukan tanggungjawab mereka.

Kita tidak mendoakan kecelakaan bagi mereka sebab impak nya akan jatuh kepada keluarga mereka jua.

Tetapi hari ini saya nak minta anda semua yang membaca agar mendoakan proses pengurusan harta puan Amy ini berjalan dengan mudah, hutang-hutang arwah di bayar dan Allah beri pertunjuk dan hidayah kepada adik-beradik arwah. Semoga silaturrahim mereka berkekalan. aamin.

Proses pengurusan harta arwah sekarang di Mahkamah Sivil. Nak dapatkan surat kuasa pun perlukan persetujuan semua waris-waris arwah. Surat kuasa ini perlu untuk keluarkan duit dari bank, nak tukar geran kereta dll. Ada adik-beradik arwah yang masih tak nak memberikan kerjasama…

 

Sumber: Umi Khisom

Anak ambil alih harta ayah RM4 juta, ayah disisih

Anak ambil alih harta ayah RM4 juta, ayah disisih

Tanggang Moden?

 

Kita sering didendang dengan cerita Tanggang, seorang anak penderhaka yang telah melupakan dan meninggalkan ibunya setelah menempa kejayaan. Jasa ibu yang membesarkannya bukan sahaja tidak dihargai, malah Tanggang berasa malu apabila dikaitkan dengan ibunya yang miskin. Lebih teruk dari itu, Tanggang menghalau ibunya dengan biadap. Kisah Melayu dongeng ini mempunyai persamaan dengan kisah benar yang semakin viral ini. Seorang bekas jutawan yang telah disisih oleh tujuh orang anaknya setelah memindah milik harta bernilai jutaan ringgit kepada mereka. Sebahagian akhbar melabel mereka sebagai ‘Tanggang Moden’.

Itulah nasib Daut@ Md Kassim yang sudah berumur 83 tahun dan kini tinggal dengan isteri kedua dan anak-anak tirinya. Harta mewahnya yang telah dikumpul sejak tahun 70-an lagi telah diserahkan kepada anak-anaknya yang kini berusia antara 41 hingga 58 tahun. Antara aset miliknya yang telah berpindah milik kepada anak-anak kandungnya terdiri daripada tiga buah stesen minyak, 10 ekar ladang ternakan ayam, ladang tanaman sawit, rumah di Cheras yang dibeli pada harga RM600,000, deposit overdraf RM800,000 dan wang syarikat RM100,000.

Menurutnya, serahan hak milik ladang ternakan ayamnya telah dibuat secara kotor. Beliau mendakwa anaknya telah memperdayanya untuk menukar nama pemilik harta itu ketika beliau sedang dalam keadaan sakit dan tidak mampu berfikir secara waras.

Pada usia yang sangat lanjut itu, kesihatan Daut juga agak merosot. Daut telah diserang angin ahmar pada tahun 2013. Dalam keadaan kehilangan harta yang banyak dan disisih oleh anak kandung sendiri, beliau terpaksa menyara kehidupan dan mengeluarkan kos rawatan kesihatan dengan sisa baki yang ada.

Dalam keadaan itu sekalipun, anak perempuannya masih tiada rasa simpati dan sanggup mengherdiknya ketika beliau ingin meminta minyak diisi dengan percuma di stesen minyak yang pernah menjadi miliknya. Daut dibiar menunggu sehingga dua jam lamanya.

———-

Kisah ini apabila didengari sebelah pihak sahaja memang akan membawa kita untuk mencemuh sikap tujuh orang anaknya yang digambar ingin membolot kekayaan ayahnya semata-mata. Seakan-akan mereka sudah tidak sabar menunggu ayahnya yang sudah tua itu pergi meninggalkan dunia.

Untuk bersikap adil, kita perlu mendengar penjelasan kedua-dua belah pihak dahulu sebelum memutuskan siapa yang bersalah dalam hal ini. Kita tidak tahu sejarah silam keluarga Daut – bagaimana cara beliau membesarkan anak-anaknya, dan pada masa yang sama membangunkan aset kekayaannya. Pelbagai isu boleh berlaku – mungkin anak-anak diabaikan dalam proses mengumpul harta. Mungkin ada kesilapan lain di situ hingga mewujudkan perasaan dendam dan tidak puas hati yang membekas dalam hati tujuh orang anaknya.

Bagaimanapun, Islam telah mengajar kita bagaimana seharusnya sikap seorang anak melayan orang tuanya. Ibu ayah diletakkan di tempat yang tinggi sehinggakan kita ditegah untuk bercakap ‘ugh’ kepada mereka, apatah lagi bersikap kasar dan mengherdik. Selagimana mereka tidak menyuruh membuat maksiat, selagi itu kita harus patuh dan bersikap hormat. Bahkan jika maksiat yang disuruh, seorang anak harus menolak dengan baik. Masih disaran untuk adanya rasa hormat kepada ibu ayah.

Maka, dalam konteks isu warga emas ini, walau apapun kisah di sebaliknya, anak-anak Daut sepatutnya tetap hormat kepada ayahnya. Tidak wajar mereka menyisih malah mencemuh ayah mereka.

.

Hibahkan aset

Isu dan permasalahan yang dihadapi Daut dan sebahagian ibu ayah di luar sana ialah sukar menjangkakan sikap anak yang boleh berubah 180 darjah setelah mendapat hak milik harta. Ada anak yang berpura-pura baik kerana ingin membodek rumah dan aset lain diberikan kepada mereka. Setelah dapat apa yang dihajati, mulalah terbuka topeng dan sedikit demi sedikit mereka menyisihkan ibu dan ayahnya dari hidup.

Fikir kita, mustahil anak yang kita kenal berpuluh tahun boleh berubah begitu drastik. Dahulu sejak kecil kita didik dengan ilmu agama dan menghormati orang tua. Namun kerana harta, sikap anak berubah sekelip mata.

Sebenarnya terlalu banyak pengaruh yang ada di sekeliling yang boleh menjadi punca anak berubah. Antaranya pengaruh rakan pejabat, rakan lepak, isteri, keluarga belah isteri, drama, isu semasa dan bermacam lagi. Malah tekanan ekonomi keluarga atau gaya hidup juga boleh menjadikan dia terdesak.

Ibu ayah yang baik ingin menyerahkan harta kepada anak-anak sebagai tanda kasih sayang. Tetapi pada masa yang sama, mereka tidak mahu anak mereka berubah dan hubungan retak apabila nama pemilik harta dipindah milik. Apakah penyelesaian yang terbaik untuk permasalahan ini?

Ya, seperti yang ditulis di atas… solusinya ialah Hibah. Sebabnya Hibah mempunyai ciri-ciri istimewa, iaitu

Hibah harta daripada ibu/ayah kepada anaknya, atau datuk/nenek kepada cucunya BOLEH DIBATALKAN TANPA PERSETUJUAN ANAK/CUCU.

Walaupun sesuatu harta itu telah dihibahkan kepada anak, ibu ayah masih boleh mengambil manfaat daripada harta tersebut semasa mereka masih hidup. Mereka masih boleh tinggal di rumah yang telah dihibah. Walaupun rumah tersebut telah di’hadiah’kan kepada anak melalui dokumen hibah, nama pemillik asal iaitu ibu/ayah masih belum ditukar. Pertukaran nama pemilik kepada nama anak hanya dibuat setelah pemberi hibah meninggal dunia. Sekiranya ibu ayah hendak membatalkan hibah ini, ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja dan tanpa memerlukan persetujuan daripada anak.

Untuk makluman, hibah yang dibuat selain kepada anak, cucu dan ke bawah tidak boleh dibatalkan melainkan mendapat persetujuan penerima hibah. Contohnya hibah suami kepada isteri tidak boleh dibatalkan sekiranya isteri tidak bersetuju.

Disebabkan ciri ‘boleh batal’ ini, maka Hibah adalah penyelesaian terbaik bagi masalah seperti Daut. Mungkin anak-anaknya tidak akan melayani beliau sebegitu sekiranya harta beliau diserahkan kepada anaknya melalui dokumen Hibah.

Dari sudut lain, hibah juga boleh menjadi tertautnya kasih sayang ibu ayah dengan anaknya. Anak-anak sudah tentu akan menjaga perhubungan dengan ibu ayah apabila mereka tahu Hibah harta yang diberikan kepada mereka boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja.

Anda bijak jika anda Hibah :):)

Untuk Hibahkan Harta, Hubungi saya Ansari 019-7498210 atau Live Chat sekarang..
Kenapa Hibah, bukan Wasiat?

Kenapa Hibah, bukan Wasiat?

Merancang harta pusaka bukanlah amalan biasa dilakukan di negara kita. Kesedaran umumnya masih di tahap rendah dan agak menyedihkan. Setiap tahun jumlah harta beku yang dilaporkan sentiasa meningkat. Kesannya bukan hanya kepada keluarga terbabit, malah kepada ekonomi negara juga kerana harta tersebut tidak dapat dimanfaatkan.

Antara perkara yang membantutkan perbincangan mengenai harta pusaka ialah kerana taboo masyarakat, kerana membincangkan harta pusaka seringkali dikaitkan dengan..

i) Kematian

Pusaka adalah perancangan dan persediaan sebelum kita meninggalkan dunia. Walaupun mati itu pasti, tapi majoriti kita masih belum bersedia untuk menghadapi mati. Mungkin dari pandangan sesetengah orang, berbincang tentang pusaka itu umpama kita ‘menjemput’ kematian datang. Itu satu mistik yang seharusnya dielakkan.

ii) Tamak harta

Seseorang waris yang mengajak ibu bapanya berbincang tentang pusaka mungkin disalah anggap tidak sabar dan tamak hendak mendapatkan harta keluarga yang banyak. Paling dikesalkan jika keluarganya menganggapnya lebih mementingkan harta berbanding talian kekeluargaan.

Disebabkan kekangan itu, maka perancangan harta pusaka kurang dibincangkan secara meluas. Apabila topik ini disentuh, ia seringkali gagal menarik perhatian ramai walaupun ramai yang tahu kepentingannya terutama mengenai berbilion harta beku akibat tiadanya perancangan.

 

Objektif Perancangan Pusaka

Dokumen perancangan pusaka utama ialah Hibah dan Wasiat. Oleh kerana kurang mengambil tahu, ramai yang tidak tahu tentang Hibah dan menganggap Wasiat adalah instrumen yang seharusnya digunakan untuk membahagikan pusaka secara efisien.

Itu sebenarnya adalah tanggapan yang silap yang harus diperbetulkan.

Fungsi Wasiat telah disebut dengan jelas di dalam Quran, iaitu untuk memperuntukkan harta pusaka kepada BUKAN WARIS. Bahagian yang boleh diwasiatkan terhad kepada 1/3 jumlah harta sahaja. Selebihnya iaitu 2/3 lagi akan dibahagikan mengikut pecahan yang telah ditentukan menurut Faraid.

Oleh yang sedemikian, sekiranya kita hanya menulis Wasiat, bermakna kita hanya merancang pusaka untuk bukan waris sahaja. Tiada perancangan yang dibuat untuk Waris melainkan yang telah ditentukan Faraid.

Cuba fikir semula… Adakah ini memenuhi objektif perancangan pusaka yang dibuat?

Objektif kita merancang adalah untuk memastikan harta pusaka yang ditinggalkan dapat memenuhi keperluan waris dan orang yang disayangi. Islam itu bersifat adil. Yang tidak adilnya ialah mereka yang hanya menuntut hak Faraid tetapi tidak menjalankan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan waris.

Disebabkan itu Islam membenarkan Hibah dibuat bagi kita merancang pembahagian harta mengikut formula sendiri. Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja dan tiada had. Berbeza dengan Wasiat yang hanya terhad 1/3 kepada bukan waris sahaja.

Tetapi perlu dipastikan bahawa tujuan Hibah dibuat ialah atas dasar kasih sayang, bukan untuk menidakkan Faraid. Tujuannya adalah untuk memastikan waris dapat meneruskan kehidupan dengan baik di samping mengekalkan keharmonian juga dengan bukan waris.

 

Kesimpulannya, sekiranya ingin memastikan hasrat pusaka kita tercapai, pastikan Hibah dan Wasiat digunakan sebaiknya menurut fungsi yang dan limitasi yang telah ditetapkan oleh syariat.