Nikah Sindiket, Nikah di ‘Thailand’ dan Kesan Terhadap Nasab dan Pewarisan

Nikah Sindiket, Nikah di ‘Thailand’ dan Kesan Terhadap Nasab dan Pewarisan

Negara digegarkan baru-baru ini dengan isu seorang lelaki bernikah poligami dengan budak perempuan bawah umur yang baru berumur 11 tahun. Pelbagai isu kemanusiaan, hukum agama dan undang-undang yang ditimbulkan. Ramai yang mengecam, tetapi ada juga yang mempertahankan. Kerana isu ini menjadi perhatian masyarakat, perbicaraan cepat sahaja dijalankan. Lelaki itu akhirnya didenda RM1,800 oleh Mahkamah atas pertuduhan berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Nikah ‘tanpa izin’, ‘Nikah Sindiket’ atau ‘Nikah di Thailand’ yang digambarkan dalam contoh poligami di atas adalah pernikahan yang tidak mengikut saluran yang diiktiraf oleh perundangan Malaysia. Negara kita ada undang-undang dan tatacara pernikahan yang perlu diikuti. Ia bukan sahaja untuk memastikan pernikahan itu sah, malah untuk melindungi hak suami, isteri dan anak sekiranya ada pertikaian di hari kemudian. Perkahwinan yang tidak didaftarkan tidak tertakluk kepada  akta atau enakmen berkenaan perkahwinan, maka sebarang tuntutan seperti isteri menuntut hak nafkah daripada suami tidak dapat dilaksanakan.

Dari segi syarak, sah atau tidak nikah sindiket bergantung kepada kes. Jika cukup rukun-rukun nikah, maka ia sah dari syarak. Tetapi awas kerana dari segi undang-undang, ia bermasalah. Contohnya perkahwinan itu dilakukan oleh jurunikah yang tidak bertauliah atau telah tamat tempoh tauliah, tidak didafttarkan di Pejabat Pendaftar Perkahwinan, kahwin lari, sindiket nikah palsu di hadapan jurunikah bertauliah dan sebagainya.

Kenapa Berlakunya Nikah Sindiket?

Sebut saja nikah di Thailand, kebiasaannya kita akan terus terfikir tentang nikah poligami. Lebih2 lagi jika anda seorang lelaki (hehe gurau2). Berpoligami secara halal di Thailand lebih ‘mudah’ dan ‘murah’, khasnya bagi lelaki yang takut nak berterus terang dengan isteri pertama. Tetapi sudah tentu akan ada masalah dari segi undang-undang di kemudian harinya.

Berpoligami di Malaysia lebih sukar dan mencabar. Si suami perlu mendapatkan keizinan isteri pertama dahulu. Ini dituntut dalam Seksyen 23 (3) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah2 Persekutuan) 1984.

Sebab-sebab lain adanya Nikah Sindiket:

– Wujudnya syarikat sindiket pernikahan. Law of Supply and Demand. Bila ada tawaran, ada lah pelanggannya. Ada sindiket yang menawarkan servis dengan bayaran RM3,000. Ia mendapat sambutan baik daripada lelaki yang hendak berpoligami.

Perhubungan tidak baik antara anak dan bapa. Bapa enggan mewalikan anak perempuannya.

Pasangan tidak se-kufu’. Keluarga enggan menerima dan merestui bakal menantu.

Pasangan terlanjur. Hendak menutup kesalahan dan maruah yang tercalar. Ada juga yang hendak menyembunyikan status duda, janda, suami orang, isteri yang masih bersuami atau dalam tempoh iddah.

Ditangkap khalwat. Ada kes pasangan khalwat ditipu oleh agen yang menguruskan pernikahan tersebut. Mereka diberikan surat nikah palsu, yang didakwa dikeluarkan secara sah oleh JAWI.

Faktor undang-undang yang dikatakan rumit dan panjang, terutamanya bagi perkahwinan bawah umur, perkahwinan luar daerah, poligami dan perkahwinan dengan warga asing. Perkahwinan dengan warga asing bermasalah apabila wali pasangan berada di negara asal, dan atas alasan jarak mereka memilih untuk dinikahkan oleh jurunikah bertauliah yang berperanan sebagai Wali Raja. Dalam satu kes antara seorang perempuan Kemboja dan lelaki Malaysia, Hakim memutuskan akad nikah tersebut sebagai fasid.

Implikasi Nikah Sindiket Terhadap Perkahwinan

Akta Undang-undang Keluarga Islam (AUKI) 1984 untuk Wilayah Persekutuan di rujuk. Menurut Seksyen 25 AUKI 1984, setiap pemastautin dikehendaki mendaftarkan perkahwinan, tetapi menurut Seksyen 34 pendaftaran perkahwinan semata-mata tidak menentukan sah atau tidak perkahwinan tersebut.

Bermaksud, sesuatu perkahwinan itu boleh jadi sah dari syarak kerana memenuhi rukun nikah, tetapi tidak sah dari sudut perundangan kerana tidak didaftarkan.

Bagaimanapun, perkahwinan in masih boleh didaftarkan dengan cara mendapatkan perintah daripada mahkamah.

Perkahwinan yang tidak sah secara undang-undang dan tidak didaftarkan akan menghadapi permasalahan apabila adanya pertikaian dan tuntutan di mahkamah berhubung hak suami isteri. Kerana hak yang digariskan dalam AUKI hanya untuk perkahwinan yang telah didaftarkan. Hak berkaitan antaranya berkenaan nafkah isteri (Seksyen 59), harta sepencarian (Seksyen 58), tuntutan Mut’ah (Seksyen 2).

Implikasi Nikah Sindiket Terhadap Anak

Anak hasil nikah sindiket yang diakui memenuhi syarat pernikahan oleh Mahkamah Syariah, nasabnya akan dibinkan kepada ayahnya. Jika tidak, anak itu dikategorikan sebagai anak tak sah taraf. Anak itu akan dibinkan Abdullah.

Jika nikah itu tidak didaftarkan, anak akan terkesan. Bapa yang sepatutnya bertanggungjawab memberikan nafkah keperluan kepada anak boleh bersikap lepas tangan. Peruntukan Seksyen 72 yang menghukum bapa yang berkemampuan yang enggan memberikan nafkah tidak berkesan untuk situasi ini kerana pernikahan itu tidak berdaftar dan tidak tertakluk kepada AUKI.

Implikasi Terhadap Pewarisan Harta

Syarat yang melayakkan waris menerima pusaka ialah perhubungan kekeluargaan dengan si mati, iaitu melalui perhubungan darah atau nasab, ataupun perkahwinan yang sah.

Anak yang lahir daripada nikah sindiket yang tidak sah dan tidak didaftarkan tidak layak untuk mewarisi harta pusaka bapanya. Anak itu hanya berhubung nasab dan menerima pusaka ibunya sahaja.

Perhubungan suami isteri hasil nikah sindiket yang tidak sah juga menjadikan mereka saling tidak mewarisi.

 

 

Sumber Rujukan: Buku “Nikah Sindiket di Malaysia” Terbitan USIM

Panduan Menghadiri Bicara di Pejabat Pusaka Kecil

Panduan Menghadiri Bicara di Pejabat Pusaka Kecil

Pembicaraan harta pusaka simati akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti yang tercatit dalam Borang D (Notis Petisyen dan Pendengaran – Seksyen 8) dan Borang S (Notis Pendengaran Permohonan Berikutnya -Seksyen17 )

 

Pemohon/pempetisyen adalah bertanggungjawab ke atas perkara-perkara yang berikut :-

 

  1. Tuan/puan adalah dikehendaki membawa bersama dokumen-dokumen asal berikut :-

 

  • Sijil Kematian simati/waris-waris yang telah mati
  • Kad Pengenalan dan Surat Beranak semua waris
  • Sijil Kerakyatan / Surat Kelahiran, Sijil Perkahwinan simati (jika ada)
  • Hakmilik tanah / Surat Perjanjian Jual Beli.Sijil Pendaftaran kenderaan, sijil saham, buku akaun simpanan yang telah dikemaskinikan.
  • Lain-lain dokumen asal yang berkaitan dengan harta simati.

 

  1. Tuan/puan dikehendaki memaklumkan kepada semua waris simati yang berhak menuntut harta pusaka tersebut supaya hadir pada tarikh pembicaraan.

 

  1. Sila pastikan semua yang hadir berpakaian kemas dan sopan. (Bagi waris di bawah umur 18 tahun tidak diwajibkan hadir, hanya salinan kad pengenalan dan surat beranak sahaja diperlukan).

 

  1. Waris yang tidak dapat hadir pada tarikh pembicaraan, bolehlan mengemukakan BORANG PERSETUJUAN (BORANG DDA) yang boleh diperolehi di mana-mana Unit Pembahagian Pusaka seluruh Semenanjung Malaysia atau di muat turun dari laman web (www.jkptg.gov.my ). Borang Persetujuan hendaklah ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Majistret atau Pentadbir Tanah Daerah dan diisi dengan lengkap bagaimana harta hendak dibahagikan diruang yang disediakan. Borang Persetujuan yang tidak lengkap akan ditolak.

 

  1. Sekiranya simati meninggalkan ibu bapa, mereka adalah waris yang berhak dan dikehendaki hadir pembicaraan atau mengemukakan Borang Persetujuan.

 

  1. Jika tuan/puan seorang sahaja waris simati (tunggal) yang akan menghadiri pembicaraan itu, maka tuan/puan dikehendaki membawa dua (2) orang saksi bebas (yang tidak ada pertalian persaudaraan dengan waris yang berhak / simati)

 

  1. Sebelum menghadiri pembicaraan, waris-waris dinasihatkan supaya mengadakan perbincangan bagi menentukan cara pembahagian.

 

  1. Sekiranya tuan/puan gagal hadir pembicaraan setelah 3 kali panggilan dibuat, permohonan tuan/puan akan dibatalkan.

 

  1. Bayaran perintah sebanyak RM ___________ hendaklah dijelaskan semasa perbicaraan (berdasarkan nilaian terkini harta simati seperti senarai harta di Borang Permohonan Borang A-Seksyen 8 yang difailkan)

 

** Sebarang maklumat / keterangan lanjut sila hubungi Unit Pembahagian Pusaka yang berkenaan.

 

Sumber: https://www.jkptg.gov.my/ms/content/panduan-menghadiri-perbicaraan-pembahagian-harta-pusaka-kecil

APA SEBENARNYA PUNCA HARTA PUSAKA BERMASALAH DI MALAYSIA?

APA SEBENARNYA PUNCA HARTA PUSAKA BERMASALAH DI MALAYSIA?

Dilaporkan terdapat RM 66 BILION nilai harta pusaka tertunggak di Malaysia. Walaupun nilai itu tidak dapat disokong dengan statistik tepat dari mana2 jabatan, hakikatnya memang dari masa ke semasa anggaran peningkatan nilai tidak boleh disangkal.

Saya terlibat dengan industri ini sejak 1998. Merata Malaysia ( kecuali Sabah & Sarawak ), Brunei, Indonesia, Singapura & Australia telah saya jelajahi semenjak 20 tahun lepas untuk berdakwah tentang harta pusaka orang Islam.

 

Faktor Harta Pusaka Bermasalah

Pemerhatian saya membawa kepada beberapa kesimpulan tentang faktor harta pusaka bermasalah iaitu :

1. Ketidakfahaman waris tentang hukum faraid.

Ini cabaran yang paling besar. Perbalahan antara waris berlaku kerana waris tidak faham tentang hukum faraid. Yang tidak berhak menuntut macam nak rak. Yang berhak pula sibuk bercerita tentang bahagian masing2 saja & lupa / tidak mahu ambil tahu tentang nasib anak yatim & balu yamg ditinggalkan simati. Pada mereka faraid ialah matematik pembahagian harta pusaka semata2 yg tidak diiringi oleh tanggungjawab. Faraid ialah hak waris ibarat terjumpa duit tercicir di tepi jalan yang dianggap “rezeki terpijak”! Perbalahan berpanjangan menyebabkan proses pusaka lambat selesai.

 

2. Ketidakfahaman waris tentang proses pentadbiran harta pusaka orang Islam di Malaysia.

Walaupun waris2 faham tentang hak masing2 dalam hukum faraid tetapi mereka tidak faham / tidak mahu ambil tahu tentang apa proses perundangan yang perlu dilalui sebelum mereka menerima hak mereka itu.

Mereka tidak tahu di mana mahu bermula. Sama ada di Pejabat Pusaka Kecil ke atau Mahkamah Tinggi Sivil ke atau Mahkamah Syariah ke ? Apa bidang kuasa mahkamah2 ini dalam urusan harta pusaka ? Apa dokumentasi yang perlu disediakan ? Waris2 “blur” tentang ini. Itu yg menyebabkan kes pusaka tertunggak kerana waris berkecenderungan untuk “mengambil masa” bertahun2 lamanya untuk “memahami” proses ini atau mengambil inisiatif.

 

3. Kematian waris yang berlapis.

Apabila waris2 lambat bertindak, berlaku pula keadaan ada waris yang meninggal dunia. Jika waris asal (anak2) simati ada 5 orang saja, jika salah seorang waris meninggal dunia dlm keadaan pusaka simati yg asal belum selesai, waris2 kepada waris itu juga terlibat sama. Jika waris2 kepada siwaris itu ada 5 orang, maka waris2 yg terlibat untuk penyelesaian pusaka simati yg asal ialah:

5 org – 1 org yg sudah mati + 5 org waris kepada waris yg mati = 9 orang!

Kalau dulu hanya 5 org waris terlibat, kini ada 9 orang terlibat. Keadaan makin rumit!

 

4. Kos pentadbiran harta pusaka yang “tidak murah”.

Jika tidak kena caranya & waris tidak tahu , kos menguruskan harta pusaka ini akan berpotensi menjadi mahal & membebankan waris. Bila perkhidmatan profesional pihak ketiga digunakan, ada kos buka fail ( beberapa ribu RM ) yg akan dikenakan pihak berkenaan sebelum mereka memulakan sebarang kerja.

Walaupun kos ini boleh ditolak dari harta pusaka simati tetapi ia tetap terpaksa didahulukan oleh waris. Isunya siapa waris nak keluar duit sendiri dahulu?

Selain itu juga wujud kos profesional sehingga beberapa peratus dari nilai harta pusaka disamping kos2 lain dikenakan. Waris sebenarnya tak boleh komplen tentang caj ini kerana Akta Probet & Pentadbiran 1959 membenarkan sehingga 5 % dicaj dari harta pusaka sebagai fi profesional.

Bagi waris yang faham mereka sebenarnya boleh meminimakan caj dengan cara menguruskan sendiri pusaka ini jika harta pusaka < rm 2 juta & dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil. Tetapi jika kes pusaka > rm 2 juta memang tiada pilihan kecuali menggunakan perkhidmatan syarikat amanah / peguam.

Waris yang tidak faham ? Mereka akan berkecenderungan untuk menangguhkan urusan pusaka ini kerana isu kos.

 

5. Waris tiada masa.

Bila ibubapa meninggal dunia kerana umur tua, anak2 kebiasaannya berumur 25 – 50 tahun. Mereka ini berada di kemuncak kerjaya & sibuk dengan pelbagai urusan. Mereka tiada masa untuk turun naik pejabat tanah untuk urusan dokumentasi pusaka. Ini juga salah satu dari faktor pusaka lambat diuruskan.

 

6. Sikap tidak ambil berat waris.

Waris yg lebih “kaya” dari ibubapa seringkali mengambil sikap tidak ambil berat urusan pusaka tanah sekangkang kera di kampung. Pada mereka tiada apa yg nak direbutkan tanah pusaka yang tidak bernilai itu. Bila2 free nanti boleh buat katanya.

Pada saya inilah sebab2 utama pusaka banyak tertunggak di Malaysia. Jika anda tidak mahu masalah ini menghantui waris anda kelak, hubungilah perunding2 profesional Wasiyyah Shoppe Bhd di seluruh Malaysia. Mereka boleh membantu in shaa Allah.

Semenjak 2007, kami telah membantu waris melalui proses perundangan tuntutan harta pusaka secara PERCUMA. Kenapa? Tak percaya?

 

-En Ariffin, Wasiyyah Shoppe

Panduan Menghadiri Bicara di Pejabat Pusaka Kecil

Bolehkah Menuntut Harta Sepencarian Setelah Lima Tahun?

Saya telah bercerai lima tahun lalu. Oleh sebab saya tidak diwakili oleh peguam maka saya tidak membuat sebarang tuntutan terhadap harta sepencarian. Saya hanya mendapat tahu tentang tuntutan harta sepencarian ini setelah diberitahu oleh seorang teman. Saya dan bekas suami telah sama-sama membeli sebuah rumah sebelum bercerai, dan rumah itu dibeli atas namanya. Saya dan bekas suami berkongsi membayar deposit dan ansuran bulanan untuk rumah tersebut. Bolehkah saya menuntut rumah itu untuk harta sepencarian walaupun rumah tersebut atas nama bekas suami? Bagaimana caranya untuk menuntut hak saya ini? Masih bolehkah saya membuat tuntutan walaupun perceraian sudah lama berlaku?

Sukma Kenchana. Semenyih, Selangor.

————————————-

Jawapan

Seorang isteri yang diceraikan masih mempunyai hak ke atas nafkah dan harta yang dikumpul semasa perkahwinan. Hak ini adalah hak ke atas idah, mutaah dan harta sepencarian.

Dari segi undang-undang syariah berkenaan harta sepencarian, kita perlu merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak. Ini termaktub dalam seksyen 122 Enakmen.

Menurut seksyen ini juga, Mahkamah berhak untuk membahagikan mana-mana harta tersebut. Dalam kes puan, rumah kelamin adalah termasuk dalam kategori harta sepencarian yang boleh dituntut.

 

Faktor yang diambil kira Mahkamah

Apabila membahagikan harta tersebut, Mahkamah akan melihat kepada beberapa faktor yang ternyata dalam seksyen 122(2), iaitu:

(a) Takat sumbangan yang telah dibuat oleh puan dan bekas suami dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu;

(b) Sebarang hutang yang diambil atau dibuat sama ada oleh puan atau bekas suami bagi manfaat bersama;

(c) Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, dan berikutan dengan pertimbangan-pertimbangan di atas, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

 

Rujukan Kes Mahkamah Terdahulu

Kita juga boleh merujuk kepada keputusan Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan dalam kes Anita Abdullah lwn Zainuddin Ariffin (1982) 4 JH 73 yang telah menggariskan panduan pembahagian ke atas harta sepencarian dijalankan. Antara lainnya penghakiman tersebut menyatakan bahawa:

1. Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu, maka harta tersebut akan diberi kepadanya.

2. Jika tidak ada keterangan yang cukup mengenai takat usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah dan harta akan dibahagikan sama banyak. Jika semuanya enggan bersumpah ia dibahagikan sama banyak juga.

Tetapi jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu diberi kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas wasiat si mati sekiranya waris menuntut.

Oleh itu jelas di sini bahawa puan perlu memberi bukti yang kukuh kepada Mahkamah bahawa puan telah memberi sumbangan ke atas harta tersebut. Puan boleh mengemukakan bukti mengenai sumbangan kewangan yang telah puan beri ke atas pembelian rumah kelamin tersebut. Ini termasuklah resit bayaran bulanan, perjanjian pinjaman bank, akuan bank atau saksi-saksi yang tahu mengenai perkara ini.

Apa yang penting di sini adalah puan perlu mengemukakan bukti kepada Mahkamah supaya Mahkamah boleh memberi hak puan.

 

Tempoh Masa Untuk Membuat Tuntutan

Mengenai tempoh masa untuk membuat tuntutan, mengikut hukum syarak, pada dasarnya tiada had waktu yang tertentu untuk seseorang membuat tuntutan kerana hak tetap hak dan ia tidak boleh dilupuskan oleh tempoh masa, tetapi seeloknya-eloknya tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh masa yang munasabah.

 

Masukkan Kaveat Ke Atas Rumah

Untuk menjaga kepentingan puan, puan boleh memasukkan kaveat ke atas rumah tersebut. Kaveat adalah satu bentuk perlindungan yang diberi oleh sesiapa yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu hartanah. Kepentingan puan di sini ialah tuntutan harta sepencarian terhadap rumah tersebut. Ini untuk mengelakkan bekas suami menjual atau menukar milik rumah tersebut sebelum keputusan berkenaan harta sepencarian dicapai.

Untuk memasukkan kaveat, puan perlu mengisi Borang 19B. Borang ini boleh didapati di mana-mana pejabat tanah tetapi penyerahan borang yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan di pejabat tanah di mana rumah tersebut terletak. Ini kerana setiap pejabat tanah mempunyai bidangkuasa terhadap kawasan yang telah ditetapkan.

Contohnya, jika rumah itu terletak di Semenyih, puan perlu merujuk kepada Pejabat Daerah Hulu Langat. Borang tersebut harus dilampirkan bersama Akuan Bersumpah untuk didaftarkan di pejabat tanah.

Akuan Bersumpah haruslah dilakukan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan sebab mengapa kaveat harus didaftarkan perlu puan nyatakan.

Puan boleh menyatakan tunggakan proses permohonan harta sepencarian di Mahkamah sebagai alasan untuk permohonan memasukkan kaveat. Terdapat perbezaan pembayaran bagi permohonan kemasukan kaveat. Puan harus merujuk kepada pejabat tanah yang berkenaan.

Sebagai contoh, sekiranya hartanah tersebut terletak di Selangor, bayaran RM80 akan dikenakan. Jika hartanah itu terletak di Kuala Lumpur, bayaran sebanyak RM300 pula dikenakan.

 

Tempoh Masa Kaveat Luput

Bagaimanapun, tempoh masa sesuatu kaveat hanya sehingga enam tahun dari tarikh ia didaftarkan. Ini termaktub dalam seksyen 328 Kanun Tanah Negara. Setelah luput tempohnya maka puan boleh memohon semula kemasukan kaveat dengan membuat satu permohonan baru.

Puan boleh memasukkan kaveat setiap enam tahun kerana tiada had dikenakan kecuali jika bekas suami mengambil tindakan Mahkamah untuk mengeluarkan kaveat tersebut.

 

Sumber: Utusan

Cara Menuntut Pusaka di Pesaka Kecil

Cara Menuntut Pusaka di Pesaka Kecil

UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL

Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil mempunyai 36 unit di seluruh negara. Setiap unit bertanggungjawab menerima permohonan,membicarakan serta mengeluarkan perintah pembahagian terhadap dua atau tiga daerah jagaan.

Bagi daerah di mana tiada unit pusaka kecil , urusan penerimaan permohonan ( Borang A dan Borang P) boleh dibuat melalui Pejabat Tanah di daerah-daerah berkenaan.

 

APAKAH HARTA PUSAKA KECIL

Harta pusaka kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh simati dan mempunyai ciri – ciri berikut:-

i) Simati tidak meninggalkan wasiat ( bagi simati bukan Islam)

ii) Harta itu terdiri daripada :

Harta Tak Alih (Tanah/Rumah) sahaja, atau ;
Harta Tak Alih (Tanah/Rumah ) bersama-sama dengan harta alih seperti wang tunai, saham, kenderaan, carumah KWSP/Insuran ( tanpa penama ), ASN/ASB dan sebagainya

iii) Jumlah nilaian keseluruhan harta itu hendaklah tidak melebihi RM2 juta ( mulai 1 September 2009) pada tarikh permohonan dibuat.

 

CARA MEMBUAT PERMOHONAN PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL (SEKSYEN 8) – AKTA HARTA PUSAKA KECIL (PEMBAHAGIAN) 1955

Setiap permohonan untuk pembahagian pusaka kecil hendaklah dibuat dalam Borang A.

Setiap permohonan mestilah disertakan dengan:-

i) Bukti Kematian.
ii) Sijil kematian/permit menguburkan; atau
iii) Surat Akuan Sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan, contohnya bagi kematian semasa pendudukan Jepun dan sebelumnya; atau

iv) Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam keadaan seperti kematian tanpa kubur, hilang semasa pendudukan Jepun, tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan perintah ini hanya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya kejadian.

Dokumen Harta Tak Alih – Salinan hakmilik yang diakui sah oleh Pejabat Tanah atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati atau surat perjanjian jualbeli bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan, salinan resit cukai pintu bagi kediaman/bangunan Hak Milik Strata yang belum dikeluarkan dan resit cukai tanah (jika ada).

Salinan dokumen harta – harta alih seperti salinan sijil saham, salinan buku akaun simpanan, salinan hak milik kenderaan, salinan penyata KWSP dan sebagainya yang terkini.

 

SIAPAKAH YANG BERHAK MEMOHON

Di antara mereka yang berhak memohon adalah seperti berikut:-

i) Waris – waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa, Majlis Agama Islam ( Baitulmal ) dan sebagainya;
ii) Pemiutang dan pengkaveat;
iii) Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah;
iv) Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati;
v) Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah;
vi) Amanah Raya Berhad.

 

DI MANAKAH PERMOHONAN DIKEMUKAKAN

Di Unit Pembahagian Pusaka/Pejabat Tanah di mana harta tak alih simati terletak.

Sekiranya simati mempunyai harta tak alih ( tanah ) di banyak tempat sama ada di dalam negeri yang sama atau negeri yang berlainan, permohonan pembahagian kesemua harta tak alih itu hendaklah dikemukakan di salah satu daerah sahaja iaitu di mana harta tak alih itu terletak.

 

MENGHADIRI PEMBICARAAN

Semua dokumen asal seperti bukti kematian, hakmilik tanah, kad pengenalan, surat beranak, surat nikah, bukti-bukti harta alih dan lain dokumen yang difikirkan perlu hendaklah dibawa semasa pembicaraan.

Semua pihak yang diminta hadir adalah dikehendaki hadir di hari pembicaraan .

Semua keterangan semasa pembicaraan hendaklah diberi secara bersumpah/berikrar.

Mana-mana waris yang tidak dapat hadir bolehlah mengemukakan Surat Akuan Persetujuan yang ditandatangani di hadapan Pentadbir Tanah, Majistret , Pesuruhjaya Sumpah atau Notaris Awam Sila nyatakan cara pembahagian yang dikehendaki dengan jelas. Surat Akuan Persetujuan boleh didapati di semua Unit Pembahagian Pusaka, Pejabat Tanah atau di muatturun melalui laman web jabatan iaitu www.jkptg.gov.my

 

CARA HARTA PUSAKA KECIL DIBAHAGIKAN

Pembahagian adalah mengikut Hukum Syarak bagi orang Islam.

Bagi bukan Islam, Pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1958 (Akta 300).

Pembahagian secara muafakat boleh dilaksanakan jika semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka simati bersetuju.

Pembahagian bagi pegangan desa di bawah Akta Tanah (Kawasan – kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tidak boleh dibuat lebih dari dua orang. Jika lebih dari dua orang yang berhak dan mereka tidak bersetuju secara muafakat memberi kepada dua orang sahaja daripada mereka, Pentadbir Tanah boleh menjual pegangan itu dan hasil jualannya dibahagikan di kalangan orang yang berhak.

Jika simati meninggalkan tanah di Daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau , Tampin dan Jempol dan ianya adalah ahli sesuatu suku di Negeri Sembilan, pembahagian pusakanya adalah mengikut Bahagian III Akta.
Perintah jualan secara tender dalam keadaan tertentu mengikut peruntukan 15(4)(d) Akta.

 

JANGKAMASA MEMPROSES SESUATU TUNTUTAN

Jangkamasa minima memproses sesuatu tuntutan kes biasa adalah dalam tempoh 5½ bulan bagi Permohonan Baru – Borang A Seksyen 8

Bagi kes yang melibatkan kematian berlapis dan harta berada didalam daerah yang berlainan jagkamasa proses mungkin meelbihi dari tempoh di atas.

 

RAYUAN TERHADAP PERINTAH

Mana – mana pihak yang tidak puashati dengan perintah pembahagian yang telah dibuat hendaklah membuat rayuan melalui Pentadbir Tanah ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu dibuat. (Seksyen 29 Akta & Peraturan 10, Peraturan Harta Pusaka Kecil 1955).

 

PENDAFTARAN PERINTAH PEMBAHAGIAN

Setelah perintah pembahagian dikeluarkan, pihak waris hendaklah mengemukakan hakmilik tanah (Geran) ke Pejabat Tanah berkaitan untuk tujuan pendaftaran perintah pembahagian tersebut.

Bagi maksud pembahagian harta alih, pihak waris hendaklah mengemukakan perintah pembahagian ke agensi /institusi yang bertanggungjawab terhadap harta alih tersebut.

 

PERMOHONAN BERIKUTNYA (SEKSYEN 17 AKTA)

Ianya adalah satu permohonan yang dibuat selepas permohonan awal ( Borang A- Seksyen 8 Akta) telah diselesaikan.

Permohonan Berikutnya boleh dibuat dalam keadaan seperti:

i) Ada harta yang tertinggal di dalam permohonan awal;
ii) Apabila perlu melantik seorang pemegang amanah yang baru;
iii) Apabila perlu melantik seorang pentadbir yang baru;
iv) Untuk membatalkan suratkuasa tadbir dan pembahagian dibuat secara terus kepada waris simati;
v) Untuk menarik balik sesuatu Kaveat Pendaftar ;

Setiap permohonan berikutnya hendaklah dengan menggunakan Borang P

 

MENGAPA PERMOHONAN PUSAKA PERLU DIBUAT SEGERA

i) Mengelakkan bilangan waris yang ramai akibat daripada kematian berlapis.
ii) Memudahkan proses pembahagian pusaka.
iii) Membolehkan harta pusaka dimanafaat dengan segera bagi faedah semua waris.
iv) Mengelakkan berlakunya tanah terbiar.
v) Mengelakkan wang simpanan simati dalam mana-mana institusi kewangan, atau koperasi, saham-saham, bon daripada dipindahkan kepada Pentaftar Wang Tak Dituntut.

 

BAYARAN

Bayaran Pendaftaran:

Percuma bagi permohonan baru (Borang A – Seksyen 8-Akta )
Percuma bagi Permohonan Berikutnya ( Borang P – Seksyen 17 Akta ).

Bayaran Selepas pembicaraan :

Bayaran perintah berdasarkan nilaian terkini harta simati ( seperti senarai harta simati di Borang Permohonan- Borang A Seksyen 8 Akta). Jika nilaian keseluruhan harta simati:

i) RM1.00 hingga RM1,000.00 bayaran perintah adalah RM10.00, jika;
ii) RM1,001 hingga RM50,000 bayaran perintah adalah RM30.00, manakala jika;
iii) nilaian adalah RM50,001 dan ke atas bayaran perintah adalah 0.2% dari nilaian harta si mati.

RM30 bagi bayaran perintah permohonan berikutnya ( Seksyen 17 ) yang melibatkan permohonan seperti membatalkan Pemegang Amanah, Kaveat Pendaftar ataupun membatalkan Pentadbir. Jika melibatkan ketinggalan harta, bayaran perintah hendaklah mengikut nilaian harta terkini yang diselesaikan di bawah Seksyen 17 Akta ( Permohonan Berikutnya ) sahaja

Jumlah bayaran bagi mendaftarkan perintah pembahagian dalam hakmilik tanah (geran) adalah mengikut peraturan -peraturan tanah negeri;

Duti Harta Pusaka – (jika ada) akan ditentukan di akhir pembicaraan mengikut nilai harta pada tarikh mati. Jumlah yang dikenakan tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Duti Harta Pusaka 1941.

Salinan perintah pembahagian dibekalkan secara percuma bagi salinan pertama dan bayaran RM 5.00 dikenakan bagi salinan kedua dan seterusnya.

Salinan perintah pembahagian yang diperlukan oleh mana-mana orang selain daripada pentadbir/ waris dikehendaki membayar RM 30.00 bagi salinan pertama dan RM 10.00 bagi salinan kedua dan seterusnya.

Sekiranya ada rayuan ke Mahkamah Tinggi bayaran yang akan dikenakan adalah seperti berikut:

a) RM 50.00 bagi bayaran fee rayuan;
b) RM 1500.00 bagi bayaran deposit rayuan;
c) Bayaran menyediakan salinan dokumen yang dikehendaki bagi salinan pertama adalah RM30. Bagi salinan kedua dan seterusnya adalah RM10;

Bayaran untuk mendapatkan salinan pertama Nota Pembicaraan RM30.00- bagi setiap Folio 100 patah perkataan atau sebahagian daripadanya dan RM 10.00 bagi salinan kedua/seterusnya setiap 100 patah perkataan atau sebahagian daripadanya.

 

CIRI – CIRI ISTIMEWA PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA KECIL

Di antara ciri-ciri istimewa dalam pembahagian pusaka kecil ialah:

Borang permohonan ( Borang A ) boleh didapati di Unit Pembahagian Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah daerah;

Pembicaraan boleh diadakan di Balai Raya/ Balai Penghulu Dewan Orang Ramai yang berhampiran dengan tanah peninggalan simati;

Perkhidmatan peguam tidak diperlukan;

Penyerahan/ penerimaan hak/ bahagian sesama waris boleh dibuat semasa pembicaraan dan tidak dikenakan apa – apa bayaran;

Pembicaraan boleh dibuat di mana-mana daerah yang terdapatnya harta simati;

Pembahagian boleh dibuat secara terus kepada waris simati dan suratkuasa tadbir hanya diberi dalam keadaan tertentu.

Sumber: Website JKPTG