Antara sebab harta beku mencecah RM70 bilion hari ini ialah kerana waris tidak tahu apa yang perlu dilakukan setelah arwah meninggal. Jika sebelum kematian mereka duduk di rumah bersama arwah, maka setelah ketiadaannya kehidupan diteruskan seperti biasa. Mereka masih duduk di rumah tersebut seperti biasa.

Untuk rumah yang sudah tiada hutang, tiada yang akan mengganggu untuk meminta bayaran ansuran. Namun, rumah itu sudah bukan lagi milik arwah. Memang di geran masih belum berubah, tetapi secara syariatnya ia kini adalah milik bersama waris-waris yang lain. 

Bermakna.. Anda memakan hak orang lain secara batil, selagi tidak meminta izin.

Selagi pusaka arwah tidak diurus, selagi itu sebarang penukaran hak milik rumah tidak dapat dilakukan. Begitu juga harta pusaka arwah lain peninggalan arwah. Semua harta yang berdaftar akan beku dan tidak boleh diagihkan kepada para waris, selagi belum selesai melalui proses pentadbiran pusaka.

 

Nak Laksana Faraid Perlu Mentadbir Proses Tuntutan Pusaka

Hukum faraid menerangkan siapa waris dan bahagian faraid yang mereka warisi.
Dalam erti kata lain siapa berhak dan berapa hak mereka keatas harta pusaka simati.

Harta pusaka arwah perlu ditadbir melalui proses undang undang dan uruskan sebelum diagih kepada waris yang berhak jika ada baki untuk diagihkan.

Faraid TIDAK BOLEH dilaksanakan dengan sendirinya tanpa melalui proses pentadbiran. Secara umum proses ini perlu melalui 3 peringkat.

 

1. Perolehan KUASA
2. PenTADBIRan
3. PemBAHAGIan

Pembahagian faraid adalah di peringkat yang ke-3. Tanpa peringkat 1 dan 2, peringkat 3 tidak dapat dilasanakan atau digelar Harta Beku.

Secara majoritinya harta di Malaysia mempunyai pendaftar harta dimana jika berlaku kematian kepada pemilik harta yang berdaftar, pendaftar harta perlu mengikuti proses pengurusan pusaka yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, pendaftar kereta adalah Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ), jika berlaku kematian, nama dalam geran kereta perlu di tukar kepada waris yang berhak. Oleh itu waris perlu mendapatkan surat kuasa sebagai pentadbir harta barulah boleh berurusan dengan JPJ utk proses tukar milik.

Perlembagaan telah dengan jelas mengasingkan pengeluaran Surat Kuasa Mentadbir (Letters of Administration) dan Probet (Probate) dan perintah pembahagian pusaka (vesting order) kepada Mahkamah Sivil, Surat Kuasa Tadbir dan perintah pembahagian di pejabat pusaka kecil. Manakala penentuan hukum syarak yang berbangkit di dalamnya kepada mahkamah syariah.

 

Harta yang Tidak Perlu Perolehan Kuasa

Bukan semua harta pusaka perlu perolehan kuasa.

Contoh yang tidak perlu perolehan kuasa adalah harta yang tidak berdaftar atau berpenama:

1. Duit yang disimpan di rumah, dalam laci, bawah bantal

2. Barang kemas yang disimpan dirumah.

3. Handbag yang berharga dll

4. Barang berharga yang dimiliki seperti jam tangan, lukisan, dll

5. Wang KWSP yang berpenama

6. Wang di Tabung haji yang berpenama

7. Manafaat takaful yang berpenama (wasi atau hibah)

8. Pampasan Insurans yang berpenama

9. Wang di koperasi yang berpenama

10. Wang pelaburan unit amanah yang berpenama

 

Meskipun harta di atas tidak memerlukan perolehan kuasa, ia masih tertakluk kepada pembahagian secara Faraid.

Sila ambil perhatian, jika tiada penama diletakkan walaupun ada kemudahan penamaan. Harta kekal beku sehingga ia melalui 3 peringkat yang telah dijelaskan di atas.

Perlu jelaskan bahawa harta yang berpenama adalah harta pusaka simati dan penama hanyalah wasi yang bertindak sebagai pentadbir bukan pemilik harta pusaka sepenuhnya sperti yang nyatakan di bawah.

 

Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Penama yang diamanahkan untuk melaksanakan wasiat si mati atau wasi diwajibkan membahagikan harta pusaka si mati kepada waris yang berhak mengikut faraid.
(Muzakarah J/K Fatwa Kali KE 7 bth 5 Julai 1973)


Akhir sekali, selepas dikumpulkan harta pusaka, perlu ditolak kos kebumi, hutang arwah kepada Allah dan manusia, tuntutan harta sepencarian pasangan, wasiat 1/3 (amal jariah/bukan waris) dan jika masih ada baki diagihkan kepada waris faraid mengikut kadar yang telah ditetapkan.

 

Kesimpulan

1. Faraid TIDAK BOLEH dilaksanakan dengan sendirinya tanpa melalui proses pentadbiran.

2. Waris perlu melalui 3 peringkat untuk faraid dilaksanakan

3. Proses pusaka melibatkan undang-undang sivil dan syariah

4. Pemilik harta perlu faham kesan harta beku dan rancang pewarisan supaya tidak membebankan waris

5. Harta beku merugikan waris dan ekonomi ummah

 

Disesuaikan dari tulisan asal:

En Khamarul Azhar, Kausar Wealth Management

Dapatkan Perkongsian dan Promosi Terbaru terus ke email anda

Sila semak email dan CONFIRM langganan. Terima kasih!

Share This

Share this post with your friends!

× Berminat?