Hibah Umra

Istila umra berkait dengan makna umur. Secara umumnya, syarat umra merujuk kepada pemberian hak milik sesuatu harta kepada seseorang dengan menetapkan had tempoh pemilikannya berdasarkan kematian pemberi atau penerimanya.

Contoh lafaz umra seperti berikut:

“Aku umrakan kamu rumah ini iaitu membolehkan kamu diami rumah ini sepanjang hayat kamu.”

Menurut Mazhab Maliki, umra adalah pemberian dalam bentuk manfaat sahaja, bukannya fizikal (ayn) harta; penerima hanya meminjam manfaat harta itu.

Umra menggunakan sighah tawqit, iaitu hibah berkuatkuasa serta merta setelah rukun dan syarat hibah dipenuhi, dan terikat dengan syarat tempoh pemilikan iaitu penerima hibah hanya memiliki harta tersebut dalam tempoh umur hidupnya atau umur pemberi.

Kesahan hibah umra tidak terjejas kerana ianya…

i) BUKAN ta’liq. Jika ia ta’liq, hibah akan berkuatkuasa hanya apabila syarat umra berlaku (kematian pemberi atau penerima hibah)

ii) BUKAN idafah. Jika ia idafah, hibah akan berkuatkuasa hanya apabila tempoh waktu yang ditentukan itu berlaku.

Umra berkuatkuasa bermula selepas akad ijab, qabul dan qabd, dan akan berakhir selepas kematian samada pemberi atau penerima hibah. 

 

Hibah Ruqba

Ruqba bermaksud ‘menunggu’. Syarat ruqba dalam hibah membawa maksud pemberi dan penerima hibah ‘menunggu’ kematian yang mana dahulu (antara pemberi dan penerima) untuk mendapatkan hak milik harta yang dihibah.

Contoh lafaz Ruqba seperti berikut:

“Aku berikan kamu rumah ini, sekiranya kamu mati dulu sebelumku ia kembali kepadaku, tetapi jika aku mati sebelum kamu maka ia menjadi milikmu.”

Sepertimana umra, ruqba juga menggunakan sighah tawqit. Namun, ia bukanlah tawqit semata-mata kerana ia hanya sesuai dikatakan tawqit sekiranya harta yang dihibah perlu dipulangkan kepada pemberi apabila penerima meninggal dahulu.

Dalam kes pemberi hibah meninggal dahulu, tawqit (mengehadkan tempoh pemilikan) tidak berlaku kerana harta itu berpindah milik kepada penerima secara kekal.

 

Kedudukan Hibah Bersyarat Umra dan Ruqba

Status Akad Hibah Yang Disertakan Syarat Umra dan Ruqba

Kedudukan hibah bersyarat ini merujuk kepada perbezaan pandangan:

1. Adakah Hibah itu sah atau terbatal dengan adanya syarat tersebut?

2. Adakah syarat umra dan ruqba itu mengikat hibah?

 

1.a) Pandangan: Hibah TERBATAL

Antara ulama yang berpandangan hibah terbatal dengan adanya syarat umra dan ruqba ialah Imam Shafie dalam qawl qadimnya. Pandangan ini berdasarkan prinsip bahawa kontrak hibah tidak boleh disertakan dengan syarat yang boleh menafikan hakikat hibah itu.

Ulama-ulama ini juga menggunakan hujah dari hadis yang secara zahirnya melarang umra dan ruqba:

i) “Janganlah (melakukan) umra. Barangsiapa yang diberikan umra dengan sesuatu, maka ia akan menjadi miliknya.” (Riwayat an-Nasaie)

ii) “Janganlah kamu semua melakukan ruqba dan janganlah juga melakukan umra. Kerana sesiapa yang diberi ruqba atau diberi umra, maka ia akan (menjadi) milik ahli warisnya.” (Riwayat Abu Dawud)

 

1.b) Pandangan: Hibah SAH

Jumhur ulama berpendapat Hibah yang disertakan syarat umra dan ruqba adalah sah berasaskan nas-nas syarak dan merupakan pengecualian daripada kaedah asal. Selain itu, kesahan hibah tidak terjejas dengan adanya syarat yang rosak (fasid) kerana hibah adalah kontrak sukarela. Ini berbeza dengan kontrak pertukaran seperti jual beli yang terbatal kerana disertai syarat yang rosak. 

Pandangan hibah umra dan ruqba sah adalah berdasarkan hadis berikut:

i) “Umra itu harus” (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

ii) “Ruqba itu (hukumnya) harus” (Riwayat an-Nasaie)

iii) “Umra itu harus bagi siapa yang diberi umra dan ruqba harus bagi siapa yang diberi ruqba” (Riwayat Ibn Majah)

Ibn Qudamah berpandangan hadis yang menegah umra dan ruqba membawa objektif ‘mengingatkan implikasinya’ bahawa harta yang dihibah itu menjadi milik penerima dan tidak akan dikembalikan kepada pemberi hibah. Al-Suyuti berpendapat larangan itu bermaksud ‘tidak sewajarnya’. Maka kontrak hibah itu tidak terbatal dengan adanya syarat tersebut.

Terdapat juga keraguan dalam kalangan ahli hadis mengenai status hadis yang mengharuskan umra tetapi membatalkan ruqba. Pendirian ini didukung oleh Al-Zayli’, al-Ayni dan Ibn Hajar Al-Asqalani.   

Secara umumnya, majoriti ahli Fiqh berpendapat bahawa Hibah yang disertakan syarat tersebut adalah sah. Perbezaan pendapat seterusnya ialah samada syarat umra dan ruqba  itu sah atau terbatal.

 

2.a) Adakah syarat umra sah/mengikat hibah?

i) Pendapat Pertama: Syarat umra terbatal. Pemberi hibah tidak boleh mengambil semula harta yang dihibah apabila penerima meninggal dahulu.  Ini adalah pendapat jumhur ahli fiqh. Alasannya, kerana tawqit itu bercanggah dengan kuasa yang diberi kepada pemiliknya untuk bertasarruf tanpa dihadkan oleh masa.  

Pendapat berdasarkan hadis Jabir: “Mana-mana lelaki yang diberikan umra baginya dan bagi ahli warisnya, maka ia menjadi milik orang yang diberi itu, tidak kembali kepada orang yang memberi untuk selama-lamanya, kerana bahawasanya orang yang memberi itu telah melakukan satu pemberian yang boleh diwarisi“.

 

ii) Pendapat Kedua: Umra adalah pemberian manfaat sahaja, hak fizikal harta masih milik pemberi hibah. Menurutnya, pemilikan manfaat boleh dihadkan dengan tempoh masa, berbeza dengan pemilikan fizikal. Maka harta itu perlu dikembalikan kepada pemberi apabila penerima meninggal, menyamai dengan hukum ariyah (pinjaman).

Mereka memahami hadis Jabir dari sudut berbeza, iaitu “tidak kembali kepada orang yang memberi untuk selama-lamanya” membawa maksud – sehingga mati kesemua ahli waris penerima yang boleh menerima pusaka.

 

iii) Pendapat ketiga: Umra boleh dikuatkuasa jika ada syarat diletakkan bahawa harta itu akan dikembalikan kepada pemberi apabila penerima meninggal, dan tiada syarat hak milik harta diberi kepada penerima (fizikal harta) selepas kematian pemberi.

Ini berdasarkan hadis Abi Salamah: “Sesungguhnya umra yang diharuskan oleh Rasulullah s.a.w adalah apabila seseorang berkata, ‘Ia (harta’) untukmu, dan ahli warismu’. Adapun jika dia berkata, ‘Ia untukmu selama mana kamu hidup’, maka hendaklah ia dikembalikan kepada pemilik asalnya“.

 

2.b) Adakah syarat ruqba sah/mengikat hibah?

Mazhab Hanafi: Ruqba ditakrifkan sebagai pemberian hak milik harta kepada orang lain selepas kematiannya, maka ruqba dihukumkan tidak sah. Ruqba juga adalah penangguhan pemilikan yang disyaratkan atau dita’liqkan dengan kematian, iaitu sesuatu yang gharar dan tidak pasti bila.

Maka harta jadi milik penerima apabila syarat qabd dipenuhi, tetapi syarat ruqba terbatal.

 

Mazhab Maliki: Sama dengan umra, iaitu hibah dan syarat ruqba kedua-duanya sah dan berkuatkuasa.

Definisi Ruqba yang tidak sah di sisi Maliki adalah seperti berikut: “Sekiranya kamu mati sebelumku, kedua-dua rumah ini (rumahmu dan rumahku) menjadi milikku. Jika aku mati dahulu, ia jadi milikmu”. Tidak sah kerana ada unsur gharar kerana tidak tahu siapa yang akan mati dahulu.

 

Mazhab Shafie dan Hanbali: Ruqba ditakrifkan sebagai pemberian fizikal harta dengan syarat pemberi boleh rujuk jika penerima meninggal dahulu dan menjadi milik penerima jika pemberi meninggal.

Menurut qawl qadim Shafie, hibah ruqba batal. Tetapi menurut qawl jadid (dipersetujui oleh al-Nawawi), hibah sah tetapi syarat ruqba terbatal. Maka setelah sempurna qabd, harta menjadi milik penerima dan warisnya, tanpa mengambil kira sama ada pemberi masih hidup atau meninggal. Ini juga pandangan Hanbali.

 

Nota Tambahan

1) Asas yang dikenalpasti yang menyebabkan terbatalnya syarat umra dan ruqba ialah kerana adanya unsur gharar dalam kontrak hibah melalui kemasukan syarat tersebut. Bagaimanapun, kesan gharar untuk kontrak sukarela (tabarru’) seperti Hibah berbeza dengan kesan gharar bagi kontrak pertukaran (mu’awadat).  

Maliki: Gharar tidak menjejaskan kontrak hibah. Contohnya menghibahkan barang yang belum dikenalpasti dan barang yang tiada semasa kontrak dibuat. Semua yang tidak sah dijual beli disebabkan gharar, boleh dihibahkan.

Shafie: Apa yang boleh dijual beli, harus dihibahkan. Apa yang tidak boleh dijual beli, tidak harus dihibahkan.

Hanafi & Hanbali: Tiada ketentuan tentang kesan gharar terhadap hibah. Tetapi hampir sama dengan pendirian Shafie.

 

2) Boleh bandingkan dengan larangan menjual barang yang tidak ada pada penjual, di mana ‘Illah larangan itu adalah untuk mencegah gharar dalam jual beli. Gharar boleh dihapus atau diminimumkan apabila penjual memberikan spesifikasi lengkap tentang barang tersebut, seperti menyatakan bentuk, warna, harga, kualiti, cara penghantaran, masa barang itu diperolehi dan sebagainya.

Contohnya kontrak salam (future delivery sale) dan istisna’ (contract of manufature) yang boleh diamalkan walaupun barangnya tiada semasa ijab qabul, kerana elemen gharar dapat diminimumkan.

 

3) Kontrak Hibah bersyarat ruqba dan umra yang diamal pada masa kini berbeza dengan pada zaman Rasulullah dan imam mazhab. Keputusan hukum mengambil kira uruf, masa, keadaan dan tempat sesuatu masyarakat.

Amalan Hibah di syarikat amanah di Malaysia menunjukkan kemasukan syarat ruqba dan umra dibuat secara jelas dan tanpa keraguan. Prosedur yang dijalankan melalui dokumen yang lengkap dengan butiran yang memenuhi rukun hibah membolehkan penghibah, penerima, dan mungkin wasi dan para waris mendapat maklumat yang jelas mengenai hibah dan syarat yang disertakan. 

 

4) Perkara yang ditekankan dalam kontrak Islam ialah kerelaan kedua-dua pihak untuk melakukan kontrak. Maka ditetapkan peraturan seperti ijab qabul yang bersambung, dalam satu majlis dan sebagainya.

Secara umumnya, status sah/batal kontrak terbahagi kepada:

i) Aqd batil – tidak memenuhi syarat pembentukan kontrak iaitu keselarasan ijab qabul, kesatuan majlis kontrak, pihak yang berkontrak waras dan mumayyiz, subjek kontrak mampu diserahkan, ditentukan dan bernilai dari sudut syarak.

ii) Aqd fasid – memenuhi syarat pembentukan kontrak, tetapi mengandungi elemen yang merosakkannya seperti paksaan, gharar, kemudaratan ketika penyerahan subjek kontrak, disertakan syarat yang fasid, dan riba. Kerelaan untuk berkontrak boleh dipertikaikan.

iii) Aqd mawquf – kontrak dilakukan oleh pihak yang tidak layak untuk berkontrak seperti kanak-kanak, dan bukan pemilik sebenar harta tersebut. Kesahan hibah ini tergantung atau ditangguhkan sehingga perkara yang menyebabkannya tergantung dipenuhi. Contohnya jika mawhub itu barang gadaian, hibah sah setelah mendapat kebenaran pemegang gadaian.

iv) Aqd nafidh lazim – kontrak yang telah sempurna dan tidak boleh dibatalkan oleh salah satu pihak kecuali setelah mendapat persetujuan bersama.

v) Aqd nafidh ghayr lazim – kontrak yang masih boleh dibatalkan oleh satu pihak tanpa perlu persetujuan pihak satu lagi, samada sifat kontrak itu yang boleh dibatalkan atau melalui prosedur khiyar.  

 

5) Keharusan pemilik mengehadkan tempoh pemilikan harta dengan menyertakan syarat ruqba dan umra adalah selaras dengan prinsip kebebasan berkontrak (hurriyat at-ta’aqqud) selagi mana tidak melanggar nas syarak yang jelas. 

Prinsip umum kontrak dalam Islam ialah kontrak yang bebas dari unsur riba, gharar dan maysir secara prima-facie adalah sah mengikut hukum syarak.  

 

Rujukan

Diekstrak dari jurnal: “Umra dan Ruqba: Analisis Mengenai Kesannya Terhadap Kontrak Hibah dan Potensinya Sebagai Instrumen Agihan Harta”. Nasrul Hisyam Nor Muhamad

Dapatkan Perkongsian dan Promosi Terbaru terus ke email anda

Sila semak email dan CONFIRM langganan. Terima kasih!

Share This

Share this post with your friends!

× Berminat?