Baru-baru ni seorang perunding sebuah syarikat amanah membuat kenyataan di akhbar bahawa harta beku dianggarkan telah mencecah RM90 bilion!

Itu adalah satu kenyataan yang berani dan mengejutkan kerana figur ‘rasmi’ RM70 bilion harta beku yang banyak disebut dalam media adalah anggaran jumlah harta pusaka yang telah terkumpul berpuluh-puluh tahun lamanya sejak merdeka.

(Perunding tersebut telah pun menarik balik kenyataan tersebut. Figur RM90 bilion hanya andaian beliau)

Lumrahnya, harta beku memang akan sentiasa meningkat dari setahun ke tahun-tahun berikutnya.

Namun adakah logik nilai itu bertambah setinggi RM20 bilion dalam tempoh masa beberapa tahun sahaja?

Mari kita buat kajian ringkas..

Ada beberapa andaian yang dibuat dalam kajian ini iaitu:

  • RM20 bilion pertambahan harta beku itu berlaku dalam tempoh 5 tahun. 
  • Majoriti harta beku adalah peninggalan orang Islam, dianggarkan setinggi 90%.

 

Berapa besar sebenarnya nilai SATU BILION?

Pertama, kita kena faham dulu besar mana nilai satu bilion ringgit harta beku.

Million, Billion, Trillion…

Kita cuma dengar figur bilion diperkatakan dalam pembentangan bajet negara. Bajet syarikat Megah Holding pun mungkin mencapai bilion jugak 😛

Dari tahap juta naik ke tingkat bilion, sangat besar bezanya.

Satu bilion bersamaan dengan satu ribu juta.

Untuk meletakkan perbezaan ini dalam perspektif yang kita mudah nak bayangkan:

 

🕵🏻‍♂️1 juta saat ~ 11 hari

🕵🏻‍♂️1 bilion saat ~ 31.5 tahun ~ 11,340 hari

 

Tukarkan nilai masa tersebut kepada nilai wang. Boleh bayang betapa besarnya RM20 bilion?

Harta beku berkait dengan harta pusaka yang tidak diuruskan oleh waris, maka secara langsung ia berkait dengan jumlah kematian penduduk Malaysia.

 

Statistik kematian di Malaysia

Tahukah anda berapa ramai penduduk Malaysia meninggal dunia pada setiap tahun?

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebanyak 173,746 kematian dilaporkan pada tahun 2019 manakala 172,031 kematian pada tahun 2018.  Anggaran purata kematian sebanyak 170,000 orang penduduk Malaysia pada setiap tahun.

 

Secara kasarnya, 5.3 kematian bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia berlaku pada setiap tahun.

 

Bermaksud dalam masa 5 tahun, dianggarkan sebanyak 850,000 penduduk Malaysia telah meninggal dunia.

Jumlah kematian tersebut merangkumi kesemua lapisan umur. Sebahagiannya tidak memiliki harta seperti kanak-kanak atau jumlahnya tidak signifikan seperti individu yang meninggal dunia pada usia muda yang tidak berharta.

Sukar untuk mendapatkan figur yang tepat berapa banyak kematian orang yang berharta. Maka kita buat andaian rawak iaitu 1/2 atau ~425,000 orang dalam kategori tersebut dalam jangka masa 5 tahun. 

 

Gabungkan angka kematian dan harta pusaka

Umat Islam di Malaysia merangkumi 60-70% daripada jumlah penduduk. 

Berdasarkan anggaran 90% harta beku adalah peninggalan arwah beragama Islam, bermakna kira-kira 230,000 kematian melibatkan harta beku orang Islam dalam tempoh 5 tahun dan nilaiannya adalah RM20 bilion.

Setelah buat kiraan, purata nilai pusaka yang ditinggalkan oleh setiap orang arwah adalah RM87,000.   

Suatu angka yang tidak mustahil, terutamanya apabila melibatkan hartanah yang semakin meningkat nilai. 

 

Kesimpulan

Banyak andaian yang dibuat di atas. Ada andaian yang berasas, dan ada yang saya petik sahaja mengikut logik.

Sebab itu saya tidak sarankan pun untuk anda ambil kesimpulan dari analisa kuantitatif di atas. Tetapi ambil poin dan fakta yang saya selitkan.

Sebenarnya, tiada siapa yang boleh mengesahkan dakwaan harta beku telah mencecah RM90 bilion itu betul atau tidak. 

Ini kerana tiada satu badan atau institusi yang mengumpulkan maklumat semua jenis harta pusaka alih dan tak alih. Harta pusaka yang tidak diurus akan kekal di tempat ia disimpan untuk suatu masa tertentu. 

Malah agak sukar juga untuk mengesahkan kategori setiap harta itu sebagai harta beku. Contohnya boleh jadi harta seperti bank akaun itu tidak aktif tetapi pemiliknya masih hidup. 

Bagaimanapun, walau berapa sekalipun jumlah harta beku yang terkumpul, lebih penting untuk anda fokus kepada kepentingan keluarga anda sendiri.

Rancang pewarisan harta semasa hidup lagi. Untuk kebajikan waris terdekat anda.

RM70 bilion, RM90 bilion atau figur lain itu kurang penting untuk anda. 

Yang penting, jangan bertangguh untuk merancang dan akibatnya mungkin menyumbang kepada pertambahan harta beku tersebut.

 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This