Masyarakat jahiliyah pada zaman sebelum kedatangan Islam mengamalkan sistem pewarisan harta yang tidak memelihara kebajikan golongan wanita.

Mengikut sistem tersebut, harta si mati akan diwariskan kepada orang lelaki dewasa sahaja.

Wanita, anak kecil dan anak perempuan tidak berhak mewarisi harta pusaka, atas alasan mereka ini adalah golongan lemah yang tidak pergi berperang. Maka dengan itu tidak menyumbang kepada pengumpulan harta rampasan perang.

Hal tersebut berdasarkan kenyataan Ibn ‘Abbas yang boleh dirujuk dari kitab Tafsir al-Tabari karangan Ibn Jarir.

 

Hukum Faraid Mengangkat Kedudukan Wanita

Kedatangan Islam merubah kedudukan martabat wanita ke aras yang lebih tinggi dengan memberikan mereka hak untuk mewarisi.

Hukum Faraid yang termaktub dalam ayat-ayat Faraid dari surah an-Nisa’ (4: ayat 7, 11, 12 & 176) memperuntukkan bahagian hak waris Faraid si mati, termasuklah para wanita.

Ayat 7 dari surah An Nisa’ menyebut:

لِلرِّجَالِ نَصِيْبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدٰنِ وَالْاَقْرَبُوْنَۖ وَلِلنِّسَاۤءِ نَصِيْبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدٰنِ وَالْاَقْرَبُوْنَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ اَوْ كَثُرَ ۗ نَصِيْبًا مَّفْرُوْضًا

Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibubapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.

Dalam hadis Rasulullah turut menyebut perihal ini:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ

Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris

Jikalau sebelum Islam kaum wanita dizalimi dan dinafikan hak mewarisi harta pusaka, hukum Faraid mengembalikan hak mereka menerusi peruntukan bahagian yang jelas dan tidak boleh disangkal.

 

Baca: Hibah Lari Dari Faraid?

Baca: ‘React’ Terhadap Kenyataan Dr Basit Mengenai Hibah Lari Dari Faraid

 

Kisah Ummu Kahlah

Menurut satu riwayat, ayat 7 surah an-Nisa’ diturunkan berikutan peristiwa seorang Ansar iaitu Aus bin Thabit al-Ansari yang meninggalkan waris iaitu isteri, Ummu Kahlah, tiga anak perempuan dan dua saudara lelaki iaitu Suwaid dan Arfajah.

Harta pusaka tersebut diambil oleh dua saudara lelaki tanpa diberi kepada isteri dan dua anak perempuan.

Ummu Kahlah kemudiannya mengadu perkara tersebut kepada Rasulullah.

Rasulullah telah memanggil keduanya. Kemudian turunnya ayat yang menjelaskan bahawa orang perempuan juga berhak menerima pusaka.

 

Kisah Isteri Sa’ad bin Rabi’

Menurut riwayat yang lain, asbab nuzul ayat 7 surah an-Nisa’ ialah dari peristiwa isteri Sa’ad bin Rabi’ yang telah menemui Rasulullah SAW dan berkata,

“Ya Rasulullah ini adalah dua orang anak perempuan Sa’ad bin Rabi’. Bapa mereka telah mati syahid semasa peperangan Uhud. Bapa saudara mereka telah mengambil harta mereka sehingga tidak ada yang ditinggalkanya untuk mereka. Kedua-dua budak ini tidak dapat berkahwin kecuali mereka ada harta.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah akan memutuskan mengenai perkara ini.

Selepas turunnya ayat mawarith, Rasulullah mengutuskan kepada bapa saudara mereka:

Berilah dua pertiga kepada kedua anak perempuan Sa’ad dan seperlapan kepada ibu mereka dan selebihnya untuk kamu”

 

Faraid Tidak Adil Kepada Wanita?

Hukumnya wajib bagi kita mengimani keadilan dalam Hukum Faraid, kerana ianya adalah hukum syara’ yang telah ditetapkan oleh Allah bagi mengagihkan harta pusaka orang Islam.

Sekiranya ada di antara kita yang menganggap hukum Faraid berat sebelah atau tidak adil kepada wanita disebabkan bahagian Faraid waris wanita lebih sedikit berbanding bahagian waris lelaki, maka eloklah muhasabah semula tahap keimanan terhadap ketentuan hukum Allah.

Naudzubillah min dzalik…

Sekiranya kita telusuri semula sejarah lampau bagaimana Islam memberikan hak mempusakai kepada para wanita yang mana tidak wujud dalam sistem pewarisan jahiliyah, maka di situ sahaja kita boleh nilaikan keadilan yang wujud dalam hukum Faraid.

Bagaimana Faraid mengiktiraf hak wanita sebagai waris dan seterusnya memenuhi keperluan kebajikan wanita untuk meneruskan hidup setelah kehilangan arwah si mati.

 

Hikmah Bahagian Waris Perempuan Yang Lebih Kecil

Mungkin hikmah di sebalik bahagian faraid lelaki yang lebih besar adalah bagi mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumahtangga dan masyarakat.

Seorang lelaki bertanggungjawab menyediakan nafkah makanan, tempat tinggal dan pakaian kepada isteri dan anak-anak.

Kewajipan ini tidak terhenti walaupun isteri itu bekerja dengan gaji yang lebih besar dari suami.

Keperluan hidup perempuan pula sudah terjamin kerana ia berada di bawah tanggungan suami, abang, ayah atau saudara lelakinya.

Seorang perempuan juga tiada kewajipan memberi nafkah.

Meskipun bahagian faraid waris perempuan lebih kecil, bahagian tersebut adalah untuk kegunaannya semata.

Berbeza dengan para lelaki yang memikul tanggungjawab dalam urusan harta dengan perlu memenuhi keperluan memberikan nafkah keperluan tanggungan.

Wallahua’lam.

 

 

Ansari
Latest posts by Ansari (see all)
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This