Masyarakat Islam umumnya maklum bahawa harta pusaka yang ditinggalkan arwah wajib dibahagikan mengikut hukum Faraid. Kaedah pembahagian Faraid jelas dinyatakan dalam al-Quran siapa warisnya dan berapa banyak bahagian yang berhak diwarisi oleh setiap orang waris.
Namun realitinya, pencairan harta pusaka di Malaysia belum terlaksana dengan baik. Masih banyak penambaikan yang perlu dari segi memudahkan prosedur tuntutan pusaka. Waris bertelagah dan berebut pusaka itu satu isu juga. Terlalu banyak pusaka yang masih beku dan masih tidak bertukar kepada nama waris, bahkan nilai harta beku dianggarkan telah melebihi RM70 bilion ringgit!
Hukum Faraid wajib diimani sebagai suatu yang adil dan berhikmah. Namun tidak dinafikan, sesetengah ahli masyarakat yang kurang faham seakan-akan menyalahkan hukum Faraid yang dilihatnya tidak ‘adil’ melebihkan waris lelaki, contohnya.
Timbul pula kenyataan pembahagian secara ‘Faraid adalah penyelesaian ‘terakhir‘ untuk pembahagian harta pusaka’ yang menambahkan kekeliruan masyarakat.
Yang sebenarnya…
Faraid BUKAN Penyelesaian Terakhir Pusaka..
Malah Faraid adalah SATU-SATUNYA jalan penyelesaian kaedah pembahagian bagi harta pusaka.
Bukan jalan penyelesaian yang terakhir, kerana tiada cara lain selain menuruti hukum Faraid.
Ayat dari Surah an-Nisa’: 11, 12 dan 176 adalah rujukan utama dari Quran yang menyatakan dengan jelas hak waris-waris Faraid.
Tidak dapat tidak, waris-waris yang dinyatakan akan mewarisi harta pusaka sebagaimana bahagian hak yang telah ditetapkan dalam al-Quran, melainkan mereka memilih untuk…
Bersetuju Untuk Takharruj Atau Muafakat
Seseorang waris itu boleh bertakharruj – iaitu melepaskan hak Faraid kepada waris tertentu atau menolak terus haknya kepada waris-waris yang lain.
Ataupun semua waris yang terlibat bermuafakat – yakni berbincang dan bersetuju untuk membahagikan harta pusaka mengikut formula pembahagian mereka sendiri.
Bermaksud, pembahagian pusaka mengikut kaedah takharruj dan muafakat akan berbeza dengan pembahagian Faraid. Hak setiap waris tidak sama seperti yang asalnya.
Contohnya, rumah yang sepatutnya dibahagikan kepada 10 orang waris, dipersetujui secara muafakat untuk diserahkan kepada hanya tiga orang waris tertentu sahaja, contohnya kepada anak dan isteri arwah.
Bagaimana kita nak selarikan permuafakatan ini dengan kewajipan menuruti Faraid?
Tahu Hak Faraid Dahulu, Baru Muafakat Atau Takharruj
Setiap waris arwah perlu tahu dan faham kesemua harta alih dan tak alih yang ditinggalkan oleh arwah, nilaian harta, dan pecahan haknya mengikut pembahagian Faraid.
Setelah mengetahui perincian harta warisan tersebut barulah waris itu boleh memutuskan samada untuk menuntut haknya, muafakat atau takharruj.
Mengapa penting untuk waris tahu dahulu hak mereka?
Kerana mungkin ada waris yang di’paksa’ bersetuju untuk menuruti sahaja formula pembahagian muafakat yang telah dibincangkan oleh ahli keluarga yang lain. Ataupun dia tidak tahu kerana tidak dimaklumkan.
Mungkin muafakat tersebut menyebabkan pusaka yang diterima berkurang daripada nilai yang sepatutnya diwarisi menerusi Faraid. Zalim jadinya, dan dikhuatiri menyebabkan waris lain termakan harta batil secara tidak disedari.
Waris perlu tahu hak Faraid yang dimilikinya, dan dengan relahati dan redha melepaskan haknya samada dengan imbalan balasan atau pampasan, atau tanpa sebarang balasan.
Pucuk pangkalnya, hukum Faraid wajib dilaksanakan ke atas harta pusaka peninggalan arwah.
Tapi…
Bagaimana Dengan Hibah – Menafikan Faraid kah?
Perasan tak.. saya sebut Faraid wajib ke atas HARTA PUSAKA sahaja.
Secara spesifik, harta yang dimiliki oleh arwah semasa dia menghembuskan nafas terakhir.
Di sinilah ada sesetengah masyarakat keliru sehingga mendakwa Hibah melarikan harta dari Faraid.
Ada juga yang pada mulanya berminat hendak menghibahkan hartanya, tetapi kemudiannya membatalkan hasrat kerana rasa ‘bersalah’ atas sangkaan hibah itu akan ‘mengambil hak Faraid’ waris yang lain.
Inilah dia peri pentingnya bertindak atas kefahaman ilmu.
Kesilapan mereka adalah tidak memahami perbezaan hibah dengan faraid.
Hibah adalah satu bentuk kaedah perancangan pewarisan harta yang dibuat dan terlaksana semasa hidup.
Jika pemilik harta tidak merancang pembahagian hartanya semasa masih bernyawa, maka Faraid adalah satu-satunya jalan penyelesaian kaedah pembahagian harta pusaka.
Wallahua’lam.
- Hibahkan Keseluruhan Harta? - June 5, 2023
- Waris Perlu Tanggung Cukai LHDN Arwah? - June 3, 2023
- Zayd Ibn Thabit Sahabat Nabi Pakar Ilmu Faraid - May 22, 2023