Apabila kita berbicara tentang pembahagian harta pusaka, lazimnya masyarakat hanya tertumpu kepada hak-hak yang akan diperoleh oleh waris-waris Faraid – siapa waris yang berhak, dan pecahan haknya. Sebenarnya harta pusaka yang ditinggalkan itu perlu terlebih dahulu digunakan untuk menyelesaikan hak dan liabiliti tertentu, sebelum bakinya yang tinggal boleh diagihkan kepada para waris. 

Perkara-perkara tersebut penting diketahui untuk mengelakkan berlakunya sebarang penyelewengan dalam pembahagian kepada waris.

Menurut jumhur ulama yang terdiri dari mazhab Hanafi, Maliki dan Shafie, liabiliti (hak-hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada lima iaitu; hak barangan (الحقوق العينية), hak pengkebumian jenazah (التجهيز الميت), hak melangsaikan hutang, melaksanakan wasiat dan hak para waris.

Daripada kelima-lima hak tersebut, ada turutan hak yang mana perlu diutamakan. Ijma’ fuqaha menetapkan bahawa pengagihan hak-hak para waris perlu dikemudiankan setelah pusaka tersebut digunakan bagi menampung kos pengebumian, dilangsaikan segala hutang piutang si mati, dan dilaksanakan wasiat.

 

Hak-hak barangan (الحقوق العينية  )

Hak-hak barangan (الحقوق العينية) ialah hak yang berkaitan sesuatu barangan sebelum kematiannya. Sekiranya ada barangan yang dibeli sebelum arwah sempat menjelaskan bayarannya, maka penjual itu berhak mendapatkan kembali barangan yang telah dibeli oleh si mati.

Begitu juga barangan yang telah digadaikan (المرهون) yang masih berada di tangan pemegang gadai (المرتهن). Pemegang gadaian berhak mendapatkan barangan gadaian tersebut sekiranya arwah tidak meninggalkan harta selain dari barangan gadaian tersebut.

Hak-hak barangan ini perlu didahulukan sebelum dikeluarkan untuk perbelanjaan pengurusan pengebumian dan selainnya. Pendapat ini disepakati oleh mazhab Hanafi, Maliki dan Shafie.

 

Perbelanjaan pengkebumian dan pengurusan jenazah (التجهيز الميت)

Perbelanjaan pengkebumian dan pengurusan jenazah (التجهيزالميت) merangkumi kos pengurusan jenazah bermula dari waktu kematian sehingga dikuburkan. Ini temasuklah kos memandi, mengkafan, menggali kubur, membawa jenazah ke perkuburan dan mengkebumikannya.

Kadar perbelanjaan mengikut kedudukan arwah – samada dia seorang  lelaki/perempuan, susah/senang, miskin/kaya. Segala keperluan ini dibelanjakan dengan berhemah tanpa berlebih-lebihan atau terlalu cermat. Kos diambil daripada harta peninggalan si mati sekiranya ia mempuyai harta.

Begitu juga pengurusan pengkebumian kaum kerabat yang berada di bawah tanggungan si mati (contoh: anaknya yang masih kecil dan kedua ibu bapa yang miskin), sekiranya mereka meninggal dunia sebelum kematian arwah walaupun seketika.

 

Seandainya arwah tidak meninggalkan sebarang harta, kos perbelanjaan pengurusan jenazah arwah hendaklah ditanggung oleh kaum kerabatnya. Jika mereka tidak mampu, kos tersebut hendaklah diambil dari harta baitulmal. Jika baitulmal tidak wujud di situ atau tiada wang, kewajipan menguruskan pengkebumian jenazah tertanggung ke atas orang kaya Muslim kerana hukumnya fardu kifayah ke atas mereka yang berkemampuan.

 

Fuqaha berselisih pendapat mengenai perbelanjaan pengkebumian jenazah seorang isteri. Adakah ia perlu ditanggung oleh suami sekiranya isteri meninggal dunia sewaktu suami masih hidup atau dari harta peninggalan suami sekiranya si suami telah meninggal dunia, sedangkan jenazah si isteri yang meninggal sebelumnya masih belum lagi disemadikan?  

 

Menurut Shafie dan Abi Yusuf dari kalangan Hanafi, kos pengkebumian jenazah isteri perlu diambil dari harta suami sekiranya suami masih hidup dan diambil dari harta peninggalan suami sekiranya si suami telah meninggal dunia, tanpa mengambil kira status sosial seorang isteri, sama ada seorang yang kaya atau miskin.

 

Pendapat ini berdasarkan kepada qias terhadap nafkah isteri. Nafkah isteri adalah kewajipan suami semasa suami masih hidup, begitu juga nafkah pengkebumian apabila si isteri meninggal dunia. Demikian itu adalah kerana hubungan antara suami isteri masih berterusan walaupun setelah berlaku kematian si isteri. Antaranya hubungan pewarisan di antara satu sama lain (suami isteri) dan diharuskan bagi suami memandikan si isteri di sisi fuqaha’ Shafie.

 

Melangsaikan hutang

Melangsaikan hutang-piutang si mati merupakan kewajipan kedua setelah dikeluarkan kos pengkebumian. Harta pusaka peninggalan si mati tidak boleh diagihkan kepada para waris dan wasiat melainkan setelah segala hutang telah dilunaskan. Ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t:

 

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْدَيْنٍ

Maksudnya:
(Pembahagian tu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya. (an-Nisa’ 4:11)  

 

Mengikut zahir ayat di atas, menunaikan wasiat merupakan perkara yang perlu didahulukan dari melangsaikan hutang si mati. Namun demikian, perlaksanaanya adalah sebaliknya, iaitu berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang yang diriwayatkan oleh Saidina Ali  bin Abi Talib:

 

انكم تقرأون الوصية قبل الدين وقد شهدت رسول الله صلى الله عليه وسلم بدأ بالدين قبل الوصية

Maksudnya:
Kalian semua membaca bahawa wasiat sebelum hutang, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah s.a.w telah memulakan dengan melunaskan hutang sebelum wasiat.

 

Hikmat Allah swt menyebut wasiat sebelum hutang di dalam ayat al-mawarith 4:11 ialah untuk mengingatkan manusia tentang kewajipan melaksanakan wasiat orang yang telah mati. Ini kerana manusia biasa mengambil mudah, kedekut dan lalai dalam melaksanakan kewajipan berkaitan harta yang melibatkan pemberian secara tabarru’at semata-mata.

Hikmah didahulukan perlangsaian hutang ialah hutang tetap menjadi beban kepada orang yang berhutang samada semasa hidup atau setelah dia meninggal dunia. Manakala wasiat merupakan amal kebajikan semata-mata yang tidak berkaitan dengan pihak yang ketiga.

 

Jenis-jenis hutang 

Hutang yang ditinggalkan oleh arwah terbahagi kepada kepada dua: hutang kepada Allah s.w.t seperti zakat, kaffarah, nazar, fardu haji dan  hutang sesama manusia.

Hutang sesama manusia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

  • Al-duyun al-ainiyyah iaitu hutang yang berkaitan dengan barang-barang peninggalan sebelum berlaku kematian seperti barang gadaian dan barang jualan yang belum diserahkan sehingga diterima bayaran.
  • Al-duyun al-mutlaqah iaitu hutang yang tidak berkaitan dengan barang dari barang-barang peninggalan, yang terbahagi kepada dua bahagian:
    • Dain al-sihhah iaitu hutang yang telah disabitkan melalui keterangan (al-bayyinah) walaupun ketika dalam keadaan sakit yang membawa kepada kematian atau hutang yang telah disabitkan melalui pengakuan si mati atau melalui keengganannya untuk bersumpah sewaktu masih berkeadaan sihat.
    • Dain al-marad iaitu mana-mana hutang yang telah disabitkan melalui pengakuan si mati ketika dalam keadaan sakit yang membawa kepada kematiannya atau apa yang termasuk dalam hukum orang yang sakit seumpama pengakuan mereka yang keluar ke medan peperangan atau yang dibawa keluar untuk dijatuhkan hukuman al-qisas atau al-had.

 

Hutang Allah s.w.t dan hutang sesama manusia 

Hutang kepada Allah dan sesama manusia wajib dilunaskan dengan menggunakan harta peninggalan si mati. Sekiranya si mati ada mewasiatkan agar hutang Allah s.w.t dilunaskan, maka wasiat tersebut tidak terhad kepada 1/3 dari harta perninggalannya kerana wasiat agar dilunaskan hutang Allah s.w.t adalah seumpama wasiat agar dilunaskan hutang-piutang yang telah sabit sesama manusia. 

Walaubagaimanapun, jumhur fuqaha berselisih pendapat dalam menentukan hutang yang mana satu perlu didahulukan – samada hutang terhadap Allah swt atau hutang sesama manusia:

  • Shafie dan Zahiri: Hutang-hutang Allah s.w.t perlu didahulukan.
  • Maliki: Hutang sesama manusia perlu terlebih dahulu dilangsaikan kerana manusia berhajat dan memerlukan harta sedangkan Allah swt Maha Kaya dan tidak berhajat kepadanya.
  • Hanbali: Kedudukan yang sama dalam melangsaikannya samada diwasiatkan agar dilunaskan ataupun tidak, kerana perkataan (au dain) dalam firman Allah swt merangkumi kesemua hutang sama ada yang berkaitan dengan Allah mahupun sesama manusia.

 

Hutang al-sihhah dan al-marad

Para ulama berselisih pendapat mengenai hutang sesama manusia yang melibatkan hutang al-sihhah dan al-marad yang bersempit-sempit atau bersesak-sesak antara satu sama lain sewaktu perlunasan hutang.

Ulama Hanafi berpendapat hutang al-sihhah lebih tinggi kedudukan dan perlu didahulukan berbanding hutang al-marad. Apa yang berbaki setelah hutang al-sihhah dilunaskan barulah diberikan kepada pemiutang al-marad mengikut nisbah kadar hutang masing-masing.     

Namun demikian, jumhur fuqaha tidak membezakan hutang al-sihhah dan al-marad. Kesemua pemiutang berhak menerima bahagian masing-masing mengikut nisbah kadar hutang masing-masing tanpa membezakan di antara hutang al-sihhah dan al-marad.

 

Melaksanakan wasiat 

Wasiat yang ditinggalkan oleh arwah hendaklah dilaksanakan dalam had 1/3 dari keseluruhan harta peninggalan si mati setelah ditolak kos pengkebumian dan hutang arwah.

Sekiranya arahan dalam wasiat itu melebihi 1/3 harta yang berbaki, maka hanya 1/3 yang boleh dilaksanakan, melainkan ahli waris bersetuju dan mengizinkan wasiat itu dilaksanakan sepenuhnya. 

Sekiranya ada waris yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju, timbul persoalan bagaimana hendak menentukan kadar wasiat. Maka harta pusaka tersebut hendaklah dibuat dua pembahagian seperti berikut.

Contohnya kes harta pusaka RM 12,000, dan terdapat 3 orang waris (seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan). Separuh dari wang tersebut telah diwasiatkan kepada rumah anak yatim. Seorang dari anak perempuan si mati bersetuju manakala dua yang lain tidak bersetuju. Oleh demikian, kaedahnya:

 

  • Dibahagikan mengikut andaian semua waris bersetuju. Iaitu diberikan kepada yang diwasiatkan sebanyak RM 6000 iaitu 1/2 harta pusaka. Baki dari wasiat diberikan kepada anak lelaki RM 3000; dan bagi setiap orang anak perempuan mendapat RM1500
  • Dibahagikan mengikut andaian semua tidak bersetuju, iaitu diberikan kepada yang diwasiatkan sebanyak RM 4000, iaitu kadar 1/3, anak lelaki mendapat RM 4000 dan kemudian setiap orang anak perempuan mendapat RM 2000.

 

Bagi seorang anak perempuan yang bersetuju dilaksanakan wasiat melebihi 1/3, maka ia hendaklah mengambil haknya mengikut pembahagian yang pertama iaitu sebanyak RM 1500. Manakala dua saudaranya yang tidak bersetuju mendapat bahagian masing-masing dari bahagian yang kedua iaitu bagi anak lelaki mendapat RM 4000 dan yang perempuan mendapat RM 2000.

Lebihan dari bahagian tersebut sebanyak RM4500 hendaklah diberikan kepada rumah anak yatim sebagaimana yang diwasiatkan oleh si mati.

 

Mengagihkan harta pusaka kepada para waris. 

Harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati hendaklah diagihkan kepada para waris mengikut apa yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ menurut turutan kedudukan mereka.                                                                 

Dalam undang-undang pusaka Islam, terdapat tiga jenis golongan waris, iaitu waris ashab al-furudasabah dandhawi al-arham. Ketiga-tiga golongan waris tersebut mempunyai tafsiran dan implikasi hukum yang berbeza dalam undang-undang pusaka Islam.

 

Martabat para waris yang berhak menerima harta pusaka.

Merujuk pandangan mazhab Shafie dan Maliki, urutan para waris dimulakan dengan ashab al-furudal-asabah al-nasabiyyah, al-asabah al-sababiyyah, baitul al-mal sekiranya ia mempunyai sistem yang baik, al-radd kepada ashab al-furud (zawi al-siham) mengikut pendapat mutaakhir mazhab dan diakhiri dengan dhawil al-Arham

Waris al-asabah al-nasabiyyah bermaksud kaum kerabat si mati yang berhak menerima apa yang berbaki dari harta pusaka yang tidak dihabiskan oleh waris ashab al-furud atau menerima keseluruhan harta pusaka apabila tidak didapati seorangpun waris dari kalangan ashab al-furud dan apabila tidak didapati sesuatu harta yang berbaki setelah dihabiskan oleh ashab al-furud maka mereka tidak akan mendapat sesuatupun dari harta pusaka.

Asabah al-nasabiyyah terbahagi kepada tiga jenis:

  • Asabah bi al-nafs Iaitu asabah dengan dirinya sendiri. Contohnya ayah, anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki, atau saudara lelaki sebapa.
  • Asabah bi al-ghayri iaitu asabah dengan yang lain. Waris perempuan yang menerima fardu 1/2 apabila bersendirian atau 2/3 apabila terdapat dua orang atau lebih. Mereka akan menerima asabah bi al-ghayr ketika mewarisi bersama-sama dengan waris-waris lelaki yang sedarjat dengan mereka.
  • Asabah ma’a al-ghayr iaitu asabah bersama dengan yang lain – waris perempuan yang menerima asabah (baki) apabila berkumpul bersama-sama waris perempuan yang lain. Saudara perempuan seibu sebapa atau saudara perempuan sebapa akan menerima asabah apabila mewarisi besama-sama dengan anak perempuan (seorang atau lebih) atau anak perempuan kepada anak lelaki (seorang atau lebih) atau bersama dengan kedua-duanya sekali.

 

Sumber: e-muamalat

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This