Hibah adalah instrumen pewarisan bertujuan menetapkan pembahagian harta-harta tertentu kepada penerima yang dinamakan. Bagi harta yang telah dihibahkan, ia tidak lagi tertakluk untuk dibahagikan mengikut hukum Faraid.

Bagaimanapun bagi harta selainnya yang tidak dihibah tetap menjadi harta pusaka yang difaraidkan.

Yang demikian memberi ruang kepada pemilik harta untuk menentukan secara spesifik harta yang ingin dihibah, dan harta yang akan diagihkan kepada waris-waris Faraid menurut bahagian yang telah ditetapkan Syara’. 

Dalam konsultasi saya dengan klien, kerap juga diutarakan persoalan samada mereka boleh menghibahkan keseluruhan harta yang dimiliki. Jawapan ringkas saya, ia bergantung kepada sifat harta dan perancangan pemilik harta.

 

Halangan Sifat Harta yang Tidak Boleh Dihibah

Terdapat empat rukun yang mesti dipenuhi bagi memastikan kesahan hibah yang dibuat. Sifat dan kriteria harta yang dihibah merupakan salah satu dari rukun-rukun tersebut. 

Tidak kesemua jenis harta boleh dihibahkan, walaupun harta itu anda miliki. 

Ini kerana terdapat jenis harta yang mana pemilikan harta tersebut disifatkan kurang sempurna.

Contohnya seperti wang KWSP. Anda tidak bebas mengeluarkan simpanan KWSP melainkan apabila telah mencapai umur pengeluaran, atau apabila dibenarkan berbuat demikian sepertimana kebenaran untuk pengeluaran khas amaun tertentu semasa PKP yang lalu.  

Maka ia adalah pemilikan harta yang tidak sempurna. Kekangan akses tersebut menjadi halangan untuk memenuhi rukun hibah harta.

 

Peruntukan Bayaran Hutang dan Keperluan Lain

Harta yang telah dihibahkan adalah hak mutlak penerima. Penerima bebas menggunakannya untuk tujuan tersendiri. 

Harta tersebut bukan sahaja tidak difaraidkan, malah tidak boleh dituntut untuk digunakan bagi melunaskan hutang arwah. Maka atas ihsan dan kerelaan penerima untuk membantu arwah. 

Begitu juga pemilik harta perlu mengesampingkan sebahagian harta bagi peruntukan kos pengkebumian, kos pentadbiran pusaka dan sebagainya.

Sekiranya keseluruhan harta telah dihibahkan, tiada lagi sumber kewangan ataupun aset yang boleh dicairkan oleh pentadbir pusakanya bagi menampung kos tersebut.  

 

Kekangan Kos Hibah

Pada umumnya, kos penyediaan dokumen hibah meningkat dengan bertambahnya jenis dan amaun harta yang dihibah

Sekiranya hendak menghibahkan keseluruhan harta yang pelbagai jenis, bersedia untuk membayar kos yang lebih tinggi. 

Namun sejujurnya kos penyediaan dokumentasi hibah itu hanya secebis kecil sahaja dari nilaian harta yang jauh lebih tinggi.

Malah kita sedia maklum, tidak merancang hibah harta pun ada kos ‘risiko’nya juga. Antaranya mungkin kos ‘tebus pusaka’ yang tinggi, yang boleh dibuat anggaran nilainya dari sekarang. 

Bagi yang tiada peruntukan bajet yang cukup, berpada dengan buat yang termampu. Boleh Hibahkan harta yang lebih kritikal dahulu.

Bergantunglah juga kepada keutamaan anda, dan waris-waris..

 

Kalau tak mampu buat semua, jangan tinggalkan semua. 

 

Wallahua’lam.

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This