Harta Sepencarian adalah harta yang dikumpul oleh pasangan suami isteri hasil usaha bersama selama dalam tempoh perkahwinan. Apabila berlakunya cerai hidup, cerai mati atau poligami, salah seorang pasangan boleh memfailkan tuntutan harta sepencarian bagi mendapatkan pecahan hak daripada harta-harta tersebut. 

Bagaimanapun, tidak semua jenis harta boleh dibuat tuntutan. Contohnya, wang KWSP tidak tergolong dalam kategori harta sepencarian, walaupun ianya caruman yang terhasil dalam tempoh perkahwinan.

Pastinya ketetapan ini sukar untuk diterima bagi pihak yang mahukan isteri mempunyai hak dalam caruman KWSP suami apabila bercerai, poligami atau kematian suami.

 

Keputusan Fatwa Menolak KWSP Sebagai Harta Sepencarian

Ketetapan ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-67 pada 22 Februari 2005 yang membincangkan ‘Hukum Menjadikan Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sebagai Harta Sepencarian’.

Persetujuan dicapai untuk mengekalkan keputusan Muzakarah Kali Ke-49 yang bersidang pada 19 September 2000 yang menetapkan bahawa:

👉 Wang caruman KWSP bukan harta sepencarian 

👉 Wang KWSP adalah harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid 

 

KWSP Hak Milik Mutlak Pencarum

Seksyen 51 dan Seksyen 54 Akta KWSP 1991 menyentuh perihal tujuan caruman dan pengeluaran wang KWSP. Berdasarkan mekanisme dan peraturan yang ditetapkan, tidak berbangkit isu sumbangan tidak langsung bagi tuntutan harta sepencarian.

Ini kerana simpanan KWSP ahli yang masih hidup adalah hakmilik peribadi pencarum. Objektif simpanan KWSP adalah untuk kebajikan pencarum pada hari tua.

 

Konsep Perkongsian Pemilikan Harta Dalam Islam

Prinsip asas pemilikan harta ialah ia berdasarkan usaha tanpa membezakan antara lelaki atau wanita.

Ayat dari surah an-Nisa:32 berikut menjadi asas bagi mempertimbangkan sumbangan secara langsung dalam menentukan pembahagian harta sepencarian:

 

لِلرِّجَالِ نَصِيْبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوْا ۗ وَلِلنِّسَاۤءِ نَصِيْبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

“..bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan”

 

Pandangan Mazhab

Mazhab Syafie: Konsep perkongsian harta boleh dilihat melalui syarikat al-‘inan. Perkongsian dibuat oleh dua atau lebih pihak melalui akad, dan keuntungan menurut upah yang munasabah dengan kerja.

Mazhab Hanafi: Mengharuskan secara mutlak syarikat al-abdan. Perkongsian berlaku apabila dua orang berkongsi tenaga dan usaha tanpa harta dan modal. Maka keuntungan atas kadar upah yang munasabah mengikut kerja.

Mazhab Maliki dan Hambali: Juga sependapat dengan mensyaratkan persamaan dari segi jenis kerja.

 

Rumusan Pandangan Ulama’

Rumusan dari pandangan mazhab dan ulama’, sumbangan kerja menjadi faktor penentu samada wang KWSP dikategorikan sebagai harta sepencarian atau tidak.

Perkongsian wang KWSP bukanlah perkongsian berakad dalam bentuk harta. Sekalipun terdapat perkongsian usaha dan tenaga, namun sumbangan isteri atau suami kepada pasangannya di dalam atau di luar rumah bukanlah dari jenis kerja yang sama yang dilakukan oleh pasangan tersebut.

Oleh itu, wang simpanan KWSP tidak termasuk dalam harta sepencarian tetapi harta pusaka yang perlu diagih-agihkan kepada waris-waris Faraid. 

 

Rujukan: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Berhubung Dengan Isu-isu Muamalat 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This