Apabila seseorang Muslim meninggal dunia, harta peninggalannya menjadi harta pusaka. Kaedah pembahagian bagi harta pusaka telah digariskan dengan jelas dalam ayat 11, 12 dan 176 dari Surah an-Nisaa’, iaitu diwariskan kepada waris-waris Faraid mengikut pecahan yang telah ditetapkan. 

Berikutan banyaknya bentuk harta yang wujud, mudah untuk masyarakat jadi keliru samada sesuatu harta itu adalah pusaka ataupun tidak. Ada harta yang disangkakan pusaka dan perlu dibahagi mengikut Faraid, namun sebenarnya tidak.

 

Harta yang TIDAK termasuk dalam senarai pusaka si mati

Pencen dan gratuiti terbitan

Pencen Terbitan adalah faedah persaraan bagi penjawat awam yang dibayar setiap bulan kepada balu/duda atau anak sekiranya pesara telah meninggal dunia. Gratuiti terbitan pula berbentuk bayaran sekali sahaja kepada waris. 

Menurut peruntukan dalam Akta Pencen 1980, gratuiti atau ganjaran terbitan tidak tertakluk kepada hukum faraid. Begitu juga yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-21 yang bersidang pada 12 Sep 1988.

Pencen dan gratuiti terbitan yang diterima selepas kematian pesara adalah hak milik mutlak penerima yang telah ditetapkan oleh majikan. Waris-waris Faraid yang tidak tersenarai tiada hak untuk menuntut.

Bagaimanapun, pencen dan gratuiti yang telah diterima oleh pesara semasa hayatnya tidak termasuk dalam kategori harta terbitan. Wang simpanan tersebut adalah harta si mati, maka apabila dia meninggal dunia, pembahagiannya tertakluk kepada hukum Faraid.

 

Harta yang dipegang secara amanah

Sekiranya si mati menjadi pemegang amanah bagi sesuatu harta, maka harta itu bukan miliknya. Maka sepeninggalannya dari dunia ini, ia tidak termasuk dalam harta pusaka yang patut diagihkan kepada waris-warisnya. 

Dalam dokumen carian hartanah yang boleh disemak di pejabat tanah, kedudukan seseorang sebagai pemegang amanah dinyatakan dengan jelas agar tidak timbul kesilapan berkaitan pemilikan hartanah tersebut.

Pemegang amanah hanya ‘menjaga’ hartanah tersebut mewakili pemilik sebenar yang mungkin anak bawah umur, OKU dan sebagainya.  

 

Harta yang telah dihibah

Hibah adalah pemberian harta kepada penerima yang terlaksana semasa pemberi masih hidup lagi. Oleh sebab itu, secara syar’ie harta yang telah dihibahkan secara sempurna tidak lagi menjadi milik pemberi semasa dia meninggal dunia. 

Perlu saya tambah di sini, pelbagai kaedah digunapakai bagi proses menurunmilik harta yang dihibah kepada penerima. Ada yang membuat pindahmilik terus kepada nama penerima dengan menggunakan borang 14A susulan dari menandatangani dokumen hibah.

Ada pula yang menangguhkan perlaksanaan turunmilik kepada penerima hanya setelah pemberi meninggal dunia.

Kedua-dua kaedah tidak menjejaskan kesahan hibah sekiranya dibuat dengan cukup rukun dan syaratnya.

Harta berkenaan tidak tertakluk kepada pembahagian Faraid, iaitu tidak lagi menjadi harta pusaka pemberi setelah ia dihibahkan.

 

Harta yang telah diwakafkan

Harta yang telah diwakafkan semasa hidup telah diserahkan kepada institusi Majlis Agama Islam negeri untuk ditadbir dan tidak lagi dimiliki mahupun diwarisi oleh waris-waris pewakaf.

Bagi pewakaf yang memilih untuk mewakafkan harta selepas beliau mati nanti, maka wakaf tersebut dihukumkan sebagaimana wasiat. Iaitu tertakluk kepada had 1/3 daripada nilai harta sahaja.

Sekiranya melebihi 1/3, maka perlaksanaan wakaf bahagian yang lebih itu memerlukan persetujuan kesemua waris-waris Faraid pewakaf.   

 

Pemberian orang yang menziarahi arwah

Seringkali orang yang datang menziarahi arwah menghulurkan sedikit wang kepada waris bagi membantu mereka menghadapi kesukaran kehilangan ahli keluarga terdekat. 

Pemberian wang tersebut adalah satu bentuk derma yang tidak boleh dituntut hak untuk dibahagikan mengikut Faraid. Terpulang kepada kebijaksanaan waris-waris membincangkan kaedah terbaik untuk menggunakan wang sumbangan orang ramai tersebut.  

 

Wang pampasan Takaful manfaat sebagai pekerja

Pihak syarikat berhak memberikan wang pampasan Takaful yang termasuk dalam manfaat pekerja mereka kepada waris terdekat arwah atau penerima yang difikirkan layak.

Sekiranya terdapat perjanjian antara pekerja dan pihak syarikat berhubung penama atau waris yang akan menerima pampasan tersebut, maka hendaklah dihormati perjanjian tersebut. 

 

Pastikan Jelas, Jangan Keliru

Sekiranya kita tersilap membahagikan harta yang tidak tergolong dalam kategori pusaka kepada para waris Faraid, kita sebenarnya telah menzalimi hak penerima sebenar yang berhak sepenuhnya ke atas harta tersebut!

Maka marilah kita tambahkan ilmu agar kita tidak termasuk dalam golongan yang tersilap itu!

   

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This