Hukum Faraid memperuntukkan hak kepada waris-waris yang telah ditentukan ke atas kesemua harta pusaka peninggalan si mati.

Waris tersebut berhak menerima bahagian Faraid yang telah diperuntukkan, meskipun hubungannya dengan si mati tidak baik atau dia sendiri bukanlah orang baik-baik.

Jika alasan-alasan tersebut digunakan sebagai ‘justifikasi’ untuk mengambil bahagian waris tersebut, maka dia telah memakan harta batil. Waris tersebut telah dizalimi dan dinafikan hak.

Walau bagaimanapun, syara’ telah menetapkan tiga keadaan yang menyebabkan waris tersebut yang asalnya berhak, akan hilang haknya.

Iaitu hak Faraidnya luput dan dia tidak lagi boleh menuntut.

Salah satu keadaan tersebut adalah apabila waris tersebut disabit membunuh si mati. Ulama’ sepakat menetapkan seorang pembunuh tidak berhak mewarisi pusaka.

Timbul persoalan… adakah membunuh kerana mempertahankan diri juga akan meluputkan hak Faraid waris tersebut?

Berkait itu, para ulama’ berbeza pendapat mengenai jenis pembunuhan yang dilakukan yang menyebabkan waris terhalang dari mewarisi pusaka si mati.

 

Jenis-jenis Pembunuhan Menurut Ulama’

Terdapat pelbagai jenis pembunuhan yang dikategorikan oleh ulama’.

Secara umumnya, terdapat tiga jenis pembunuhan iaitu pembunuhan..

😰 Dengan niat atau sengaja (al-qatl al-‘amd),

😰 Menyerupai sengaja (al-qatl shibh al-‘amd)

😰 Tanpa niat atau tidak sengaja (al-qatl al-khata’)

 

Selain itu, jenis pembunuhan lain turut dibincangkan:

😰 Pembunuhan yang dibuat oleh orang yang tidak mukallaf iaitu orang yang tidak berakal atau belum baligh. 

😰 Pembunuhan dengan hak. Contohnya hakim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas anaknya yang didapati bersalah kerana membunuh, menjalankan hukuman had seperti membunuh orang yang murtad dan membunuh kerana mempertahankan diri. 

😰 Pembunuhan dengan ‘keuzuran’. Contohnya suami menyaksikan isterinya berzina lalu membunuh isterinya.

 

Baca: Adakah Pembunuh Tidak Siuman Mewarisi Pusaka? (Kajian Kes)

 

Pendapat Imam Empat Mazhab

Pertama: Pendapat Imam Abu Hanifah

Menurut Mazhab Hanafi, pembunuhan yang diwajibkan kaffarah atau qisas akan menyebabkan pelakunya terhalang dari mewarisi pusaka.

Termasuk dalam kategori ini adalah pembunuhan..

😓 …secara sengaja;

😓 …kerana tersilap (al-qatl al-khata’),

😓 …menyerupai sengaja, dan

😓 …yang dianggap silap (al-jari majra al-khata’). 

Ia bersandarkan hadis berikut yang membawa maksud penegahan atau pengharaman:

“Si pembunuh tidak sedikitpun mempunyai hak pada harta pewarisnya.”

Orang yang membunuh dengan sengaja dan menyerupai sengaja (shibh al-‘amd) mempunyai qasad (tujuan) untuk menyegerakan dirinya mewarisi harta pusaka sebelum sampai waktunya dengan melakukan perkara yang ditegah.

Pembunuhan secara tersalah dan yang menyerupainya seperti cuai sehingga menyebabkan kematian dianggap sebagai pembunuhan secara hakiki kerana qasadnya boleh dipertikaikan untuk menyegerakan pewarisan pusaka.

Kaedah ini digunakan untuk menutup jalan ke arah pintu kejahatan dan kerosakan (sadd al-dhara’i‘).

Pembunuhan dengan keuzuran, untuk mempertahankan diri, dan yang dilakukan oleh bukan mukallaf tidak menghalang mereka dari mewarisi harta pusaka.

 

Kedua: Pendapat Imam Malik

Menurut Mazhab Maliki, hanya pembunuhan dengan sengaja (qatl al-‘amd) yang menjadi penghalang pusaka. Iaitu yang terbit dari permusuhan sahaja. 

Hikmah penghalangan bertujuan menafikan pembunuh mencapai maksudnya melalui pembunuhan itu.

Orang yang membunuh secara tidak langsung (tetapi bersebab) juga termasuk dalam kategori ini, antaranya:

😨 orang yang menyuruh, memberangsang dan menunjuk

😨 orang yang membantu memudahkan pembunuhan dilakukan,

😨 bersubahat dengan pembunuh,

😨 orang yang meletakkan racun di dalam makanan atau minuman tanpa disedari oleh orang yang dibunuh,

😨 orang yang mengawal, menjaga dan memerhati jalan pada waktu pembunuhan itu dilakukan,

😨 orang yang menjadi saksi palsu yang menyebabkan pewarisnya dihukum bunuh dan dilaksanakan hukuman tersebut berdasarkan persaksian palsu tersebut.

 

Ketiga: Pendapat Imam Syafie

Menurut Mazhab Syafie, SEMUA bentuk pembunuhan yang dilakukan oleh ahli waris kepada pewarisnya akan menjadi penghalang secara mutlak untuk mewarisi harta pusaka.

 

Keempat: Pendapat Imam Ahmad ibn Hanbal

Menurut Mazhab Hanbali, jenis pembunuhan yang menghalang pusaka adalah pembunuhan yang dikenakan hukuman qisas, diyat, atau kaffarah, iaitu pembunuhan…

😥 …dengan sengaja

😥 …yang menyerupai sengaja

😥 …dengan tidak sengaja

😥 …bersebab

😥 …yang dilakukan oleh tidak mukallaf seperti kanak-kanak kecil, orang gila dan orang yang sedang tidur.

Pembunuhan dengan hak, pembunuhan kerana uzur dan mempertahankan diri tidak menghalang pewarisan.

 

Amalan dan Praktis di Kebanyakan Negara

Kebanyakan negara cenderung menggunapakai pandangan mazhab Maliki iaitu pembunuhan secara sengaja serta pelaku yang sudah baligh dan berakal ataupun mukallaf sahaja yang akan menjadi penghalang untuk mewarisi.

Manakala pembunuhan selain daripada itu tidak menghalang waris daripada mewarisi pusaka pewarisnya.

 

Kesimpulan Hukum

Berikut ringkasan pembunuhan yang menghalang pewarisan pusaka orang yang dibunuhnya:

Mazhab Hanafi: Semua pembunuhan yang dikenakan hukuman qisas atau kaffarah seperti pembunuhan sengaja, seumpama sengaja, tidak sengaja (tersalah) dan disyaratkan pembunuh itu berakal dan telah baligh. Pembunuhan tidak langsung (bersebab) dan yang dilakukan dengan hak tidak menghalang dari mempusakai.

Mazhab Maliki: Pembunuhan secara sengaja sama ada secara langsung atau tidak langsung (bersebab) dan pembunuh berakal dan telah baligh.

Mazhab Syafie: SEMUA jenis pembunuhan menjadi penghalang pewarisan walaupun pembunuhan itu dilakukan secara hak.

Mazhab Hanbali: Semua jenis pembunuhan tanpa hak yang boleh dikenakan hukuman qisas, kaffarah atau diyat. Termasuklah pembunuhan sengaja, seumpama sengaja, tidak sengaja (tersalah), secara langsung atau tidak langsung (bersebab). Pembunuhan yang diakui sah mengikut syarak seperti mempertahankan diri dan harta, atau kerana melaksanakan hukuman qisas tidak menghalang dari mewarisi pusaka.

 

Rujukan: “Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya Terhadap Pewarisan Harta Pusaka Menurut Undang-Undang Pusaka Islam” oleh Ahmad Muhammad Husni, Md Yazid Ahmad, Mohd Zamro Muda, Noor Lizza Mohamed Said & Zaini Nasohah

 

 

Ansari
Latest posts by Ansari (see all)
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This