Aktiviti perlombongan emas di Kuala Lipis mendapat perhatian ramai baru-baru ini. Penduduk daerah ini dikatakan mengaut keuntungan besar dengan melombong sendiri emas di kawasan mereka sehinggakan ada yang mampu membeli kereta baru secara tunai.

Ada juga yang mampu melabur untuk membeli jengkaut sendiri bagi memudahkan aktiviti perlombongan.

Keuntungan besar penduduk hasil dari kegiatan perlombongan emas ini tidak lari dari mendapat perhatian kerajaan negeri Pahang. Ada akta dan enakmen negeri yang mensyaratkan penduduk perlu terlebih dahulu memohon dan mendapatkan lesen permit untuk melombong.

Walaupun melombong emas di tanah sendiri, mereka perlu juga memohon permit. Kerajaan negeri kehilangan potensi pendapatan yang banyak kerana tidak dapat mengutip cukai dari hasil perlombongan secara haram.

 

Lokasi Lombong Emas di Kuala Lipis

Mungkin anda tertanya-tanya di mana terletaknya khazanah emas yang banyak di Kuala Lipis itu.

 

Aktiviti perlombongan emas Kuala Lipis tertumpu di beberapa buah kampung di Mukim Kechau, iaitu dengan tanah berkeluasan 77,000 hektar.

 

Mukim Kechau berada dalam jajaran Sutera Raub-Bentong. Dikatakan mukim ini terletak dalam Jajaran Emas negara yang merentasi beberapa buah negeri di Semenanjung bermula dari Thailand hingga ke Batang Melaka, Jasin.

Antara kampung yang dikenal pasti terdapat aktiviti melombong emas ialah Kampung Dada Kering, Kampung Petola, Kampung Pagar Sasak, Kampung Sungai Mun, Kampung Dusun dan Kampung Melaka.

Khabarnya ada penduduk yang berhasil melombong sehingga 7kg di kawasan seluas 0.4 hektar. Ada pula yang memperoleh sehingga 2kg emas dengan hanya sekali sauk sahaja menerusi penggalian di permukaan tanah dengan menggunakan jengkaut.

Kisahnya, aktiviti perlombongan emas di situ telah lama dijalankan. Pelombong Cina bermula pada hujung tahun 1800 sebelum aktiviti mendulang di kawasan sungai dilakukan penduduk kampung zaman berzaman.

 

Perebutan Antara Keluarga

Harta karun tersimpan di bawah tanah, menunggu saja untuk dikorek dengan jengkaut… sudah tentu ia menjadi rebutan ramai pihak. Ada juga adik beradik yang bergaduh merebut tanah emas itu sehingga tanah itu terpaksa dijual.

Kalaulah tanah pusaka yang tiada khazanah di bawahnya pun waris boleh bertikam lidah dan bertumbuk, apatah lagi tanah yang berisi emas.

Lebih-lebih lagi pada masa sekarang. Orang sanggup beratur panjang di luar kedai emas, walaupun dalam ekonomi yang meruncing.

 

Tindakan Kerajaan Negeri

Kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan melaksanakan Skim Pelombong Kecil (SPK), khusus bagi aktiviti yang melibatkan kawasan seluas 4.05 hektar ke bawah.

Pelaksanaan skim itu membolehkan aktiviti perlombongan dilakukan secara berkelompok, dengan menggabungkan tanah-tanah milik bersebelahan sekali gus menjadikan kos pengendalian lebih rendah menerusi perkongsian antara pemilik.

“SPK yang dijangka berkuatkuasa pada Jun, akan diselaraskan oleh Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC), dengan tujuan memudah cara dan membantu penduduk melakukan aktiviti perlombongan secara sah, selain memastikan tiada ketirisan hasil negeri akibat perlombongan haram.”

 

Sumber: Kosmo, Bernama

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This