Pandemik COVID-19 telah memberi kesan besar terhadap ekonomi keluarga dan negara. Ramai yang terjejas pendapatan, dibuang kerja dan tidak dapat berniaga.

Namun yang anehnya, secara umumnya kelihatan pembelian dan pelaburan emas meningkat semasa krisis ekonomi ini berlaku. Kedai barang kemas diserbu dan pelanggan sanggup beratur panjang di luar kedai untuk mematuhi SOP penjarakan sosial. Pelaburan logam ini menjadi pilihan kerana dikatakan kalis inflasi dan menjadi aset ‘selamat’ untuk disimpan.

Bantuan kewangan khas kerajaan, pengeluaran i-Sinar dari simpanan persaraan KWSP dan ‘penjimatan’ wang dari moratorium menjadi modal bagi mereka menambah aset, melabur dan membeli emas.

 

Pelaburan Emas Semasa Krisis Ekonomi – Kitaran Harga Pasaran

Setiap instrumen pelaburan ada kitaran turun naik harganya. Bagi mendapatkan pulangan yang optimum, kita perlu membeli sesuatu aset pelaburan itu pada harga yang rendah dan menjualnya semasa harganya tinggi.

Perubahan kitaran harga emas di Malaysia dipengaruhi oleh faktor keadaan geopolitik dan ekonomi global serta pertukaran nilai dolar AS.

Dari Januari sehingga Ogos 2020, harga meningkat naik dan pernah melangkaui RM300 per gram. Harga ini lebih tinggi berbanding harga yang direkodkan pada tahun 2011.

 

harga emas malaysia 10 tahun

 

Peningkatan harga tersebut di’sumbang’ oleh penularan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan kedudukan politik dan ekonomi dunia menjadi goyah. Selain itu, ia turut didorong oleh faktor pasaran saham jatuh, perang harga minyak Rusia-Arab Saudi, Brexit dan pilihanraya Amerika Syarikat.

Trend peningkatan ini juga disebabkan oleh peningkatan permintaan pelabur.

Persoalannya, mengapa pelabur masih membeli emas walaupun pada ketika harganya tinggi?

Pertama, emas menjadi aset pilihan bagi pelabur mengawal risiko dan mempelbagaikan portfolio pelaburan.

Kedua, sebagaimana pasaran saham, trend meningkat ini menarik pelabur untuk membeli kerana mereka mengharap dapat menjualnya pada takat harga yang lebih tinggi lagi. Perbezaan harga tersebut adalah keuntungan pelaburan mereka.

Bagaimanapun, harga yang tinggi akan jatuh jua kerana kadar permintaan dan penawaran sentiasa berubah-ubah. Begitu juga sebaliknya harga yang rendah akan naik juga. Itulah dia kitaran harga. 

Pada awal tahun 2021, harga emas jatuh pada sekitar RM220 – RM250 segram. Kenaikan nilai dolar dan penemuan vaksin COVID-19 menyebabkan harganya merosot dan tersungkur ke harga lantai pada bulan Mac 2021. 

 

Pelaburan Emas Semasa Krisis Ekonomi

 

Namun begitu, trend penurunan kemudiannya berubah arah. Pada saat dan ketika ini, harga emas sedang berada dalam trend meningkat. Setakat mana dan berapa lama ia akan berada dalam trend ini tiada siapa dapat menjangka dengan tepat dan yakin.

Sebagai panduan, berikut jangkaan harga emas dari pakar:

Ramalan-Harga-Emas-2021-Dan-Ramalan-Emas-Masa-Depan RAMALAN HARGA EMAS 2021 MASA DEPAN DAN RAMALAN EMAS MALAYSIA

Ramalan-Harga-Emas-2021-Dan-Masa-Depan RAMALAN HARGA EMAS 2021 MASA DEPAN DAN RAMALAN EMAS MALAYSIA

Jangkaan atau prediction pakar-pakar di atas merupakan maklumat berguna bagi pelabur awam yang hendak membuat untung dengan pelaburan emas terutamanya semasa krisis ekonomi yang sedang melanda kita.

 

Indikator Keuntungan Pelaburan – Spread Atau Susut Nilai

Dalam pelaburan logam ini, indikator penting yang perlu diberi perhatian adalah spread’, iaitu beza harga syarikat menjual emas kepada kita dan harga syarikat itu membeli daripada kita.

Syarikat berlainan menawarkan peratusan spread yang berbeza. Sebagai pelabur, ini adalah maklumat yang penting untuk diperhatikan.

 

Formulanya; lebih rendah spread, lebih baik.

 

Elakkan membeli pada spread yang tinggi kerana dikhuatiri sukar untuk membuat keuntungan apabila hendak menjualnya semula.

Persoalannya.. Berapakah yang dikatakan peratusan yang tinggi itu?

Ia bergantung kepada penilaian risiko dan pengalaman masing-masing. Ada yang meletakkan spread yang melebihi 10% itu sudah cukup tinggi.

Jenama emas juga memainkan peranan. Ada kalanya jongkong emas yang kurang dikenali yang dijual kepada syarikat emas yang lain akan dikenakan potongan harga yang banyak kerana dianggap sebagai emas terpakai.

Barang kemas bukanlah instrumen pelaburan yang ideal. Kedai emas mengenakan tambahan kos upah yang signifikan untuk membentuk dan desain barang kemas. Pertambahan kos ini akan memakan potensi pulangan pelaburan.

Emas adalah pelaburan jangka masa panjang. Tidaklah mustahil untuk mendapatkan hasil pelaburan dalam jangka masa pendek, namun seseorang pelabur itu haruslah aktif dan kerap menjalankan aktiviti membeli dan menjual semula.

Pemilihan jenis emas untuk dijadikan aset pelaburan adalah penting kerana ia menentukan peratusan keuntungan dan nilai pinjaman yang boleh diperoleh apabila dipajak gadai.

 

Aset Simpanan, Pelindung Nilai Wang dan Kalis Inflasi

Selain berpotensi menjadi aset pelaburan, emas dijadikan aset simpanan bagi mengurangkan kesan inflasi dari penyimpanan wang kertas. Inflasi menyebabkan nilai wang merosot dan kuasa membeli berkurangan.

Kesannya, lebih sedikit barangan yang boleh dibeli pada masa hadapan dengan menggunakan wang yang disimpan. Pendek kata, wang hari ni lebih tinggi nilainya berbanding pada 10 tahun akan datang, khususnya sekiranya tiada dividen diterima dari simpanan tersebut. Emas yang mempunyai nilai intrinsik dikatakan kalis terhadap inflasi dan dengan itu dapat mengekalkan nilai aset.

Ada juga yang memaksa diri membeli setiap bulan sebagai satu inisiatif untuk membuat simpanan paksa, atau forced saving. Sebahagian daripada gaji diperuntukkan bagi membeli emas secara konsisten, tanpa melihat kepada pergerakan harga kerana fokusnya adalah untuk simpanan jangka masa panjang.

Kesimpulannya, sepertimana pelaburan harta-harta jenis lain, pelaburan emas boleh menguntungkan atau merugikan, bergantung kepada ilmu dan tindakan yang dibuat.

 

 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This