KATEGORI HARTA PUSAKA KECIL

Harta pusaka kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati dengan ciri-ciri berikut :-

➡️ Si mati tidak meninggalkan wasiat (bagi si mati bukan Islam)

➡️ Harta itu terdiri daripada :

i) Harta Tak Alih (Tanah/Rumah) sahaja, ATAU;

ii) Harta Tak Alih (Tanah/Rumah ) bersama-sama dengan harta alih seperti wang tunai, saham, kenderaan dan sebagainya.

➡️ Jumlah nilaian keseluruhan harta itu hendaklah tidak melebihi RM2 juta ( mulai 1 September 2009) pada tarikh permohonan dibuat

 

UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL

Seksyen Pembahagian Pusaka Kecil mempunyai 36 unit di seluruh negara.

Setiap unit bertanggungjawab menerima permohonan, membicarakan serta mengeluarkan perintah pembahagian terhadap dua atau tiga daerah jagaan.

Bagi daerah di mana tiada unit pusaka kecil, urusan penerimaan permohonan ( Borang A dan Borang P) boleh dibuat melalui Pejabat Tanah di daerah-daerah berkenaan.

 

CARA MEMOHON PEMBAHAGIAN PUSAKA KECIL 

Setiap permohonan untuk pembahagian pusaka kecil hendaklah dibuat dalam Borang A dan mesti disertakan dengan:-

➡️ Bukti Kematian:

i) Sijil kematian/permit menguburkan; ATAU

ii) Surat Akuan Sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan, contohnya bagi kematian semasa pendudukan Jepun dan sebelumnya; ATAU

iii) Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam keadaan seperti kematian tanpa kubur, hilang. Perintah ini hanya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya kejadian.

➡️ Dokumen Harta Tak Alih – Salinan hakmilik yang diakui sah oleh Pejabat Tanah atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati atau surat perjanjian jualbeli bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan, salinan resit cukai pintu bagi kediaman/bangunan Hak Milik Strata yang belum dikeluarkan dan resit cukai tanah (jika ada).

➡️ Salinan dokumen harta – harta alih seperti salinan sijil saham, salinan buku akaun simpanan, salinan hak milik kenderaan yang terkini.

 

SIAPA YANG BERHAK MEMOHON

Mereka yang boleh memohon adalah seperti berikut:-

➡️ Waris si mati seperti balu lelaki atau perempuan, anak lelaki atau perempuan, ibu atau bapa.

➡️ Pemiutang dan pengkaveat;

➡️ Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah;

➡️ Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati;

➡️ Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah;

➡️ Amanah Raya Berhad.

 

TEMPAT UNTUK KEMUKA PERMOHONAN

Di Unit Pembahagian Pusaka/Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati terletak.

Sekiranya si mati mempunyai harta tak alih di banyak tempat sama ada di dalam negeri yang sama atau negeri yang berlainan, permohonan pembahagian kesemua harta tak alih itu hendaklah dikemukakan di salah satu daerah sahaja iaitu di mana harta tak alih itu terletak.

 

MENGHADIRI PEMBICARAAN

Bawa semua dokumen asal yang diperlukan semasa pembicaraan.

Semua pihak yang diminta hadir adalah dikehendaki hadir di hari pembicaraan.

Semua keterangan semasa pembicaraan hendaklah diberi secara bersumpah/berikrar.

Mana-mana waris yang tidak dapat hadir bolehlah mengemukakan Surat Akuan Persetujuan yang ditandatangani di hadapan Pentadbir Tanah, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah atau Notaris Awam Sila nyatakan cara pembahagian yang dikehendaki dengan jelas.

 

CARA PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA KECIL

Pembahagian adalah mengikut Hukum Syarak bagi orang Islam. Bagi bukan Islam, Pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1958 (Akta 300).

Pembahagian secara muafakat boleh dilaksanakan jika semua waris yang berhak mewarisi harta pusaka si mati bersetuju.

Pembahagian bagi pegangan desa di bawah Akta Tanah (Kawasan – kawasan Penempatan Berkelompok )1960 tidak boleh dibuat lebih dari dua orang. Jika lebih dari dua orang yang berhak dan mereka tidak bersetuju secara muafakat memberi kepada dua orang sahaja daripada mereka, Pentadbir Tanah boleh menjual pegangan itu dan hasil jualannya dibahagikan di kalangan orang yang berhak.

Jika simati meninggalkan tanah di Daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau , Tampin dan Jempol dan ianya adalah ahli sesuatu suku di Negeri Sembilan, pembahagian pusakanya adalah mengikut Bahagian III Akta.

Perintah jualan secara tender dalam keadaan tertentu mengikut peruntukan 15(4)(d) Akta.

 

TEMPOH SELESAI PROSES TUNTUTAN

Jangka masa minima memproses sesuatu tuntutan kes biasa adalah dalam tempoh 5 ½ bulan bagi Permohonan Baru – Borang A Seksyen 8.

Bagi kes yang melibatkan kematian berlapis dan harta berada di daerah berlainan, jangka masa proses mungkin melebihi tempoh di atas.

 

RAYUAN TERHADAP PERINTAH

Pihak yang tidak berpuas hati dengan perintah pembahagian yang dibuat hendaklah membuat rayuan melalui Pentadbir Tanah ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu dibuat. (Seksyen 29 Akta & Peraturan 10, Peraturan Harta Pusaka Kecil 1955)

 

PENDAFTARAN PERINTAH PEMBAHAGIAN

Setelah perintah pembahagian dikeluarkan, pihak waris hendaklah mengemukakan hakmilik tanah (Geran) ke Pejabat Tanah berkaitan untuk tujuan pendaftaran perintah pembahagian tersebut.

Bagi maksud pembahagian harta alih, pihak waris hendaklah mengemukakan perintah pembahagian ke agensi /institusi yang bertanggungjawab terhadap harta alih tersebut.

 

PERMOHONAN BERIKUTNYA (SEKSYEN 17 AKTA)

Ianya adalah satu permohonan yang dibuat selepas permohonan awal (Borang A- Seksyen 8 Akta) telah diselesaikan.

Setiap permohonan berikutnya hendaklah menggunakan Borang P, yang boleh dibuat dalam keadaan:

➡️ Ada harta yang tertinggal di dalam permohonan awal;

➡️ Apabila perlu melantik seorang pemegang amanah yang baru;

➡️ Apabila perlu melantik seorang pentadbir yang baru;

➡️ Untuk membatalkan suratkuasa tadbir dan pembahagian dibuat secara terus kepada waris simati;

➡️ Untuk menarik balik sesuatu Kaveat Pendaftar.

 

MENGAPA PERMOHONAN PUSAKA PERLU DIBUAT SEGERA

➡️ Mengelakkan bilangan waris yang ramai akibat daripada kematian berlapis.

➡️ Memudahkan proses pembahagian pusaka.

➡️ Membolehkan harta pusaka dimanafaat dengan segera bagi faedah semua waris.

➡️ Mengelakkan berlakunya tanah terbiar.

➡️ Mengelakkan wang simpanan si mati dalam mana-mana institusi kewangan, atau koperasi, saham-saham, bon daripada dipindahkan kepada Pentaftar Wang Tak Dituntut.

 

BAYARAN

Bayaran Pendaftaran:

➡️ Percuma bagi permohonan baru (Borang A – Seksyen 8-Akta )

➡️ Percuma bagi Permohonan Berikutnya ( Borang P – Seksyen 17 Akta ).

 

Bayaran Selepas Perbicaraan :

Bayaran perintah berdasarkan nilaian terkini harta simati ( seperti senarai harta simati di Borang Permohonan- Borang A Seksyen 8 Akta). Jika nilaian keseluruhan harta simati:

➡️ RM1 hingga RM1,000 bayaran perintah adalah RM10, jika;

➡️ RM1,001 hingga RM50,000 bayaran perintah adalah RM30, manakala jika;

➡️ nilaian adalah RM50,001 dan ke atas bayaran perintah adalah 0.2% dari nilaian harta si mati.

RM30 bagi bayaran perintah permohonan berikutnya (Seksyen 17) yang melibatkan permohonan seperti membatalkan Pemegang Amanah, Kaveat Pendaftar ataupun membatalkan Pentadbir.

Jika melibatkan ketinggalan harta, bayaran perintah hendaklah mengikut nilaian harta terkini yang diselesaikan di bawah Seksyen 17 Akta (Permohonan Berikutnya) sahaja.

Jumlah bayaran bagi mendaftarkan perintah pembahagian dalam hakmilik tanah (geran) adalah mengikut peraturan-peraturan tanah negeri.

Salinan perintah pembahagian dibekalkan secara percuma bagi salinan pertama dan bayaran RM5 dikenakan bagi salinan kedua dan seterusnya. Salinan perintah pembahagian yang diperlukan oleh mana-mana orang selain daripada pentadbir/ waris dikehendaki membayar RM30 bagi salinan pertama dan RM 10 bagi salinan kedua dan seterusnya.

 

➡️ Sekiranya ada rayuan ke Mahkamah Tinggi bayaran yang akan dikenakan adalah seperti berikut:

a) RM 50 bagi bayaran fi rayuan;

b) RM 1500 bagi bayaran deposit rayuan;

c) Bayaran menyediakan salinan dokumen yang dikehendaki bagi salinan pertama adalah RM30. Bagi salinan kedua dan seterusnya adalah RM10;

Bayaran untuk mendapatkan salinan pertama Nota Pembicaraan RM30 – bagi setiap Folio 100 patah perkataan atau sebahagian daripadanya dan RM 10 bagi salinan kedua/seterusnya setiap 100 patah perkataan atau sebahagian daripadanya.

 

Rujukan: JKPTG

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This