Heboh apabila seorang wanita mendapati mangkuk antik yang digunakannya untuk menghidang lauk rupanya bernilai tinggi di pasaran. Set mangkuk itu berjenama Corningware, rata-ratanya versi antik yang dihasilkan berpuluh tahun dahulu, sekitar 1960an sehingga 1980an.

 

Betul ke Mahal?

Semakan saya di laman web ebay USA, memang benar ada banyak senarai set mangkuk Corningware yang dijual pada harga tinggi. Mungkin penangan dari isu viral ini, ada penjual dari Malaysia yang mencuba nasib menyenaraikannya pada harga bidaan USD25,000! Di Lazada pun semakin ramai yang menjual set mangkuk vintage ini pada harga ribuan RM.

 

Ada ke yang nak beli mangkuk antik?

Ramai yang jadi teruja dan terkejut bagaikan terjumpa harta karun di rumah sendiri. Set Corningware ini memang menjadi buruan untuk simpanan koleksi dan kegunaan mak dan ayah kita dulu. Bagi yang masih setia menyimpan koleksi tersebut sehingga hari ini, ini adalah penemuan lombong emas yang tak disangka-sangkakan. Siapa sangka mangkuk yang dilihat kusam dan telah digunakan berpuluh tahun itu boleh mencecah harga yang tinggi di pasaran.

 

Harga Sengaja Dinaikkan?

Jangan terus melompat gembira… bukanlah niat saya nak mengecewakan empunya set Corningware vintage, tetapi kita perlulah berpijak pada realiti. Harga yang tertera itu adalah bloated atau artificial price. Harga mencuba nasib yang diletakkan oleh penjual.

Harga sebenar yang patut diperhatikan adalah transacted price, iaitu harga di mana jual beli telah berlaku – di mana bertemunya penawaran dan pembelian pada harga yang dipersetujui. Dalam senarai yang dijual itu, mungkin hanya segelintir sahaja yang berjaya dijual pada harga mahal.

Selagimana penjual tegar nak menjual pada harga tinggi dan pembeli melihat nilai vintage itu tidak menepati harga dari sudut pandangannya, maka proses jual beli tidak akan termeterai.

 

Mahal atau Murah Tetap Jadi Pusaka

Samada mangkuk itu memang benar bernilai tinggi ataupun hanya cubaan penjual meningkatkan harga sahaja, tidak mengubah status mangkuk itu apabila pemiliknya meninggal dunia.

Selagi mangkuk itu berada di bawah pemilikan arwah sebelum ajalnya, maka ia termasuk dalam harta pusaka arwah dan tertakluk kepada pembahagian Faraid. Setiap waris berhak memiliki bahagian pecahan hak ke atas mangkuk tersebut. Sekiranya cuma ada satu mangkuk, perlulah difikirkan bagaimana nak dikongsikan. 

Cara lain, sebahagian waris melepaskan haknya kepada waris tertentu. Kalaulah set mangkuk Corningware ini bernilai tinggi, rasa-rasanya senang tak waris nak serah hak?

 

 

   

 

 

Dapatkan Perkongsian EKSKLUSIF

Sila semak email dan CONFIRM langganan. Terima kasih!

Share This
× Berminat?