Semasa zaman ibu ayah atau atok nenek kita dahulu, bab pewarisan harta bukanlah menjadi isu yang menjadi keutamaan keluarga pasangan muda. Suami isteri dengan kanak-kanak yang masih di bawah umur lebih memikirkan tentang soal mengumpulkan wang untuk menyara kehidupan. 

Pada usia yang masih muda, perjalanan hidup nampak masih jauh lagi. Banyak cabaran hidup yang akan ditempuhi, antaranya persediaan dari sudut kewangan menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar. 

Lagi pula, aset terkumpul masih tidak banyak.

Namun pada masa kini, penting untuk pasangan muda mengambil berat untuk merancang pewarisan anak bawah umur. 

 

Muda Lagi, Mengapa Perlu Fikir Pewarisan Harta?

Bila kita fikirkan tentang pewarisan harta, tentunya tidak boleh lari dari memikirkan tentang kematian.

Bagi pasangan berumur 20an – 30an, memang tidak mustahil boleh mati pada umur yang masih muda. Namun secara lumrahnya diandaikan kematian masih jauh lagi.

Setidak-tidaknya mencecah umur jangka hayat rakyat Malaysia iaitu sekitar 75 tahun.  

Maka tidak menghairankan lah untuk mereka tidak memikirkan lagi soal pewarisan harta. Mungkin terletak jauh di sudut fikiran. Malah kemungkinan tidak ada langsung difikirkan tentang hibah harta.

Sekiranya ada pun keprihatinan tentang pengurusan kewangan, prospek mengembangkan harta menerusi pelaburan saham, hartanah, emas dan sebagainya lebih mudah menarik minat. 

Tambah lagi, golongan ini masih dalam fasa mengumpulkan aset.

Masih belum banyak harta berbanding warga pencen. Maka pada pandangannya tiada keperluan untuk merancang harta yang sedikit.

 

Perubahan Paradigma Terhadap Pewarisan Harta

Namun pada hari ini, paradigma dan sudut pandang keluarga muda terhadap keperluan merancang pewarisan harta sebenarnya sudah berubah.

Kalau dahulunya hanya golongan senior dengan anak yang sudah menginjak umur dewasa yang lebih berminat untuk mewariskan harta, keadaan kini sudah berubah.

Semakin ramai orang muda yang sudah memikirkan tentang hibah sebaik sahaja membeli rumah baru.

 

hibah rumah bercagar

 

Perkembangan ini jelas dapat dilihat dari sudut pelanggan syarikat yang menunjukkan peningkatan ketara langganan servis pewarisan dari kalangan muda.

Masyarakat mula memahami kaedah pembahagian harta pusaka mengikut hukum Faraid, cakna tentang cabaran perlaksanaan prosedur tuntutan harta beku dan kaitannya dengan harta beku yang semakin menimbun, serta solusi alternatif menerusi perancangan pewarisan melalui kaedah Hibah harta.

 

Cabaran Kesukaran Pewarisan Anak Bawah Umur

Hukum Faraid menetapkan hak seseorang anak sebagai waris utama ashab al-furud ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibu ayah mereka, walaupun usia mereka masih kecil.

Hak Faraid mereka tetap terpelihara. 

Namun cabarannya datang dari sudut perundangan di mana anak bawah umur tidak berkeahlian atau tidak layak untuk menguruskan harta mereka.

Walaupun mereka berhak ke atas harta pusaka tersebut, bahagian anak bawah umur diletakkan di bawah pengurusan penjaga harta atau pemegang amanah. 

 

Siapa Penjaga Harta Bagi Anak Bawah Umur?

Penjaga harta perlu dilantik bagi menjaga harta anak-anak kecil sehingga mereka mencapai umur 18 tahun. 

Peruntukan berkaitan penjaga harta ini dinyatakan dengan jelas dalam Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam negeri-negeri.

Contohnya dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor, dinyatakan turutan penjaga harta bagi anak bawah umur:

  1. Bapa
  2. Datuk sebelah bapa
  3. Wasi kepada bapa
  4. Wasi kepada wasi bapa
  5. Wasi datuk sebelah bapa
  6. Wasi kepada wasi datuk sebelah bapa

 

 

Nampak tak isunya?

Walaupun ibu mendapat keutamaan untuk hadhanah (penjagaan), tetapi ibu tidak tersenarai dalam turutan penjaga harta.

Oleh yang demikian, di sinilah pentingnya merancang. Soal perlantikan penjaga harta ini sebenarnya boleh dirancang dalam pewarisan anak bawah umur.

Misalnya, ayah sebagai penjaga harta yang sah boleh melantik isterinya sebagai penjaga harta dalam dokumen wasiat.

Melalui dokumentasi yang sah, ia boleh menjadi dokumen sokongan yang kuat bagi membolehkan permohonan isteri untuk dilantik sebagai penjaga harta anak mereka sekiranya suaminya pergi dulu.

 

Soal Penjagaan Jika Meninggal Serentak

Namun, bagaimana keadaannya..

😕 …jika kedua-dua ibu ayah sudah tiada, meninggalkan anak mereka menjadi yatim piatu?

😕 Bagaimana jika ibu bapa meninggal dunia serentak?

😕 Atau dalam kematian berturutan, dalam jarak masa yang dekat?

Bukanlah suatu yang mustahil, dan memang berlaku berita berubah menjadi yatim piatu ‘sekelip mata’ berikutan pemergian ibu ayah mereka akibat COVID.   

Kita tidak boleh menghalang kematian tersebut berlaku.

Namun kita boleh merancang dari sudut pembahagian harta sekiranya ia terjadi. Kanak-kanak tersebut dapat dipastikan dibekalkan dengan sumber wang yang cukup untuk meneruskan kehidupan. 

Bukannya terpaksa meminta-minta. Sabda Rasulullah s.a.w:

 

إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ وَإِنَّكَ مَهْمَا أَنْفَقْتَ مِنْ نَفَقَةٍ فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ حَتَّى اللُّقْمَةُ الَّتِي تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ وَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَكَ فَيَنْتَفِعَ بِكَ نَاسٌ وَيُضَرَّ بِكَ آخَرُونَ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا ابْنَةٌ


Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia. Sesungguhnya engkau akan membelanjakan harta engkau dan ia akan sesungguhnya adalah sedekah hatta makanan yang engkau suapkan ke mulut isteri engkau. Allah akan memanjangkan umur engkau lalu orang ramai akan mendapat manfaat daripada engkau dan sebahagian orang (iaitu musyrikin) akan mendapat mudharat daripada engkau. Beliau tidak memiliki waris kecuali seorang anak perempuan.


[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wasoya, hadis no: 2591].

Kerana itulah penting bagi ibu ayah merancang pewarisan anak bawah umur semasa hidup lagi.

 

Persoalan Pusaka Yang Berbangkit

Banyak persoalan yang boleh dibangkitkan, mungkin ada isu yang spesifik kepada struktur faraid keluarga tersebut dan situasi masing-masing.

Antara persoalan yang perlu difikirkan oleh pasangan muda dengan anak bawah umur:

😕 Siapa yang akan bertanggungjawab menjadi Pentadbir untuk mencairkan harta pusaka mereka? Siapakah yang akan menanggung kos pentadbiran atau guaman tersebut?

Tentunya anak bawah tidak berkemampuan dan tidak berkelayakan.

 

urus pusaka

 

😕 Dari manakah sumber kewangan untuk anak-anak itu menyara hidup? Jika dijaga oleh saudara, pastinya mereka akan bertambah ‘beban’ kewangan untuk menjaga bukan?

😕 Selagi mana prosedur tuntutan pusaka tidak diselesaikan, anak mereka ataupun penjaga tidak dapat memanfaatkan harta peninggalan ibu ayah mereka. Akaun bank telah dibekukan pengeluaran sebaik berlakunya kematian pemilik akaun.

😕 Adakah pentadbir dan penjaga harta akan menunaikan amanah untuk menyerahkan hak kepada anak-anak bawah umur tersebut?

😕 Bagaimana jika harta itu dibolot, dan kebajikan anak terabai?

 

Kritikal Untuk Merancang Pewarisan TERUTAMANYA Semasa Masih Muda

Pasangan muda dengan anak yang masih kecil adalah golongan kritikal yang disasarkan untuk merancang pewarisan harta. Ini untuk memelihara hak harta dan kebajikan anak-anak tersebut yang tertakluk kepada amanah pemegang amanah. 

Perancangan pewarisan merangkumi sudut:

i) Pentadbiran pusaka, iaitu prosedur pencairan harta pusaka. 

ii) Pengagihan iaitu pembahagian hak ke atas harta. 

 

Pasangan muda semasa hidupnya boleh menentukan individu yang amanah dan berkelayakan untuk dilantik sebagai pentadbir dan mengasingkan peruntukan untuk menampung kos pentadbiran pusaka tersebut. 

Dari sudut perancangan pengagihan harta, boleh menggunakan instrumen hibah, wasiat, wakaf atau amanah. Pemilihan instrumen bergantung kepada hasrat siapa yang nak dinamakan sebagai penerima harta.  

 

Sila Whatsapp saya, Ansari 019-749 8210 untuk merancang pewarisan harta.

 

 

 

 

  

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This