Baru-baru ini saya ditanya oleh klien mengenai video ceramah seorang ustaz tersohor, iaitu ustaz Dato’ Dr Abdul Basit yang menjawab soalan tentang hukum seorang ayah membahagikan hartanya semasa hidup. Semasa klien mengajukan video tersebut, tidak ramai yang telah menontonnya.

Tidak disangka, sekarang ini video tersebut telah viral dan dikongsikan kepada ribuan orang.

Klien yang bertanya menjadi keliru selepas mendengar ulasan ustaz dalam video tersebut. Beliau meminta saya mengulas isi kandungan video ini dan membandingkannya dengan kesahan dokumen hibah yang telah disempurnakan dengan Wasiyyah Shoppe.

Di bawah ini petikan video ceramah Dr Basit:

Link video

Ulasan saya

Berikut saya ringkaskan ulasan Dr Basit dari video di atas. Manakala tulisan italic di bawahnya itu komentar saya terhadap ulasan beliau.

 

1) Dr Basit membacakan petikan Imam Ibnu Hajar tentang keadaan hibah harta bersifat ‘ghayr tamlik syari’e‘ – iaitu menurut ulasan Dr Basit: “bagi nama saje, anak tak tahu mana kebun, tak tahu apa benda, kita memerintah semua.., maka itu adalah pemberian yang batil. Maka harta itu akan jadi pusaka.”

Antara rukun hibah adalah harta itu mestilah jelas diketahui oleh pemberi dan penerima. Maka sekiranya ia kabur, maka ada isu kesahan hibah yang timbul.

 

2) Dr Basit menyebut tentang harta yang dihibah mestilah diberi secara ‘bersungguh’. Maksud yang difahami adalah harta itu diberi terus, dan pemberi tidak lagi menuntut harta itu. Pemberi juga tidak boleh menghalang penerima daripada mencagar harta yang telah diterimanya.

Bagi ayah yang ingin ‘memerintah’ hartanya atau mengambil manfaat harta itu selagi dia masih hidup, bolehlah meletakkan syarat tersebut dalam pemberian hibah. Hal ini telah digariskan dalam fatwa hibah selangor yang telah diwartakan baru-baru ini.

Inilah peri pentingnya merujuk kepada ulama’ yang khusus dalam bidang pewarisan harta Islam, kerana hukum dalam muamalah Islam itu bersifat anjal dan boleh berubah mengikut uruf setempat dan peredaran zaman.

Tidak semestinya pemberian hibah itu sah hanya jika nama di geran itu telah bertukar hakmilik kepada penerima sahaja. Tetapi yang dinilai adalah hibah yang dibuat memenuhi rukun-rukun dan syarat Hibah.

 

3) Ulasan Dr Basit yang seterusnya dari pandangan saya agak menyimpang dari maksud asal Ibnu Hajar tersebut. Dr Basit secara tiba-tiba menyentuh praktis masyarakat khasnya suami isteri yang tiada anak lelaki membuat hibah bertujuan untuk me’lari’kan harta pusakanya dari difaraidkan kepada bapa saudara.

“Nak lari dari pusaka, kamu larikan harta orang kepada anak-anak tanpa hak. Ibnu Hajar kata ‘pembahagian yang batil’. Bermakna, anak kita ambil harta pak sedara, makan HARAM.”

Pernyataan makan harta batil dalam konteks ini bagi saya tidak tepat. Apatah lagi mendakwa anak makan harta haram!

Bagaimana boleh dikatakan si ayah yang membuat hibah ke atas hartanya sendiri semasa dia masih bernafas, telah me’lari’kan hak pusaka orang untuk diberikan kepada anak-anaknya? Bukankah pada masa itu, harta itu miliknya dan dia bebas memberikannya kepada sesiapa pun?

Hak pusaka mana yang dimaksudkan? Bukankah pusaka atau hak Faraid hanya wujud setelah si ayah meninggal dunia?

Begitu juga tidak sesuai untuk terus meletakkan anggapan suami isteri membuat hibah kerana hendak ‘lari dari Faraid’. Asas Hibah dibuat adalah kerana sayangkan penerima, dan dengan itu mereka hendak memastikan kebajikan anak perempuan terpelihara setelah ketiadaan mereka.

Bukankah itu anggapan yang lebih murni, berbanding ‘menuduh’ hendak menafikan hak faraid waris yang masih belum wujud?

 

Kesimpulan

Dari pandangan kerdil dan ilmu cetek saya, ulasan dalam video Dr Basit ini mengenai hibah dan faraid mengandungi pernyataan yang kurang cermat. 

Memang benar Faraid itu hukum Allah yang telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran.

Begitu juga Hibah.

Kedua-dua hibah dan Faraid ada asasnya dalam hukum syara’. Namun perbezaan keduanya perlu difahami dengan jelas dalam membuat komentar, lebih-lebih lagi apabila menghukum seseorang itu akan makan harta batil!

Dakwaan buat hibah untuk lari dari faraid, mengambil atau menafikan hak waris Faraid adalah tidak bersesuaian. Niat terletak di hati masing-masing, kita hanya mampu menghukum berdasarkan zahir amalan.

Zahirnya, seseorang itu berhak menyerahkan hartanya kepada sesiapa pun, kerana semasa masih lagi bernafas, harta itu hak miliknya. Ini bertepatan dengan konsep hibah yang terlaksana semasa pemberi masih hidup.  

 

Disclaimer

Saya sebenarnya agak ragu-ragu untuk menerbitkan ‘react’ ini kerana saya bukanlah siapa-siapa. Yang diulas pula Dato’ Dr Abdul Basit, pendakwah lama tanah air yang ada kelulusan PhD.

Namun mengenangkan kesan ulasannya yang mungkin boleh membuatkan masyarakat berfikir dua tiga kali untuk merancang pewarisan menerusi hibah, saya gagahkan juga.

Saya ulang tayang video beberapa kali bagi menggarap maksud Dr Basit, sebelum menulis ulasan. Maka sekiranya ada ulasan saya yang terkhilaf, saya alu-alukan teguran ikhlas dan perbincangan atas dasar ilmu.

Wallahua’lam.

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This