Harta sepencarian ialah harta alih ataupun harta tak alih yang diperolehi bersama secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh perkahwinan. Isteri yang mendapati suaminya berpoligami mempunyai hak untuk membuat tuntutan harta sepencarian ke atas harta bersama mereka.

Ini kerana keadaan isteri tersebut termasuk dalam tiga keadaan yang membolehkan tuntutan harta sepencarian dibuat; iaitu apabila dicerai hidup, suami berpoligami atau cerai mati (kematian suami).

Bagaimanapun, hak harta sepencarian tidak diperoleh secara automatik – pihak yang menuntut perlu mengemukakan permohonan untuk dibicarakan di Mahkamah Syariah. Ia adalah hak eksklusif bagi isteri, mahupun suami.

 

Harta Yang Boleh Dituntut Sebagai Harta Sepencarian

Peruntukan harta sepencarian sebenarnya berasal dari adat masyarakat Melayu iaitu adat Temenggung dan adat Perpatih. Ia telah disesuaikan dari ‘uruf berkenaan untuk menepati prinsip-prinsip Syara’, dan telah dikanunkan dalam perundangan orang Islam di Malaysia.

Maka anda tidak akan dapati dalil khusus dari Quran dan Sunnah yang menerangkan kedudukan harta sepencarian dalam Islam. Begitu juga yang menyenaraikan spesifik harta yang boleh dan tidak boleh dituntut sebagai harta sepencarian.

Namun kita di Malaysia ada barisan Mufti yang membincangkan dan menetapkan perkara-perkara berkenaan. 

Antara harta yang tidak dianggap sebagai harta sepencarian ialah harta yang terhasil sebelum tarikh perkahwinan, dalam perkahwinan yang tidak sah mengikut undang-undang atau yang terhasil selepas tarikh perceraian. Begitu juga bagi harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan, tetapi dengan cara perwarisan seperti menerusi hibah atau wasiat, maka ia menjadi milik individu tersebut.

Namun sekiranya harta-harta berkenaan dikembangkan dengan usaha bersama atau perseorangan dalam tempoh perkahwinan, maka harta tersebut boleh dipertimbangkan untuk dianggap sebagai harta sepencarian.

 

Perintah Harta Sepencarian Dari Mahkamah Syariah

Dalam Arahan Amalan No. 5 Tahun 2003 JKSM, dinyatakan “masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan samada semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian ataupun selepas kematian mana-mana pihak”.

Isteri mahupun suami boleh membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah dengan disertakan bukti sumbangan yang relevan.

Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat dalam keadaan pasangan masih hidup atau telah meninggal dunia. Isteri yang mana suaminya berpoligami boleh memfailkan tuntutan harta sepencarian sekiranya perbincangan secara baik tidak berhasil.

Untuk membuat tuntutan, perlu kemukakan bukti ikatan perkahwinan yang sah yang berdaftar di jabatan agama setempat.

Harta yang dituntut mestilah diperoleh atau dimajukan dalam tempoh perkahwinan. Penuntut perlu mengemukakan bukti dan dokumen sokongan yang mengesahkan sumbangannya untuk memperolehi atau mengusahakan harta tersebut. Perlu juga membawa dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua wanita bagi merekodkan maklumat yang diserta dengan sumpah.

 

Mahkamah Menilai Takat Sumbangan

Kebanyakan kes tuntutan harta sepencarian dibuat oleh pihak isteri. Bagi suri rumah yang tidak memberi sumbangan kewangan dalam perhubungan mereka, jangan terus berputus asa kerana masih ada merit untuk membuat tuntutan.

Ini kerana Mahkamah juga mengambil kira takat sumbangan secara tidak langsung bagi memutuskan pecahan hak pembahagian harta sepencarian yang layak dituntut.

Secara umumnya, sumbangan secara langsung berbentuk wang. Contohnya seperti menghulurkan deposit atau membayar ansuran pembelian sesuatu harta. Juga termasuk dalam kategori ini sumbangan usaha untuk memperolehi harta atau sama-sama mengusahakan tanah.

Manakala sumbangan secara tidak langsung pula merujuk kepada sumbangan pasangan dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya seperti menguruskan rumah, menyumbang idea, dorongan serta keselesaan yang membolehkan pasangan bekerja dan mengumpul harta.

Selain itu, Mahkamah juga akan memberi perhatian kepada hutang yang dibuat oleh mana-mana pihak bagi manfaat bersama; dan keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan mereka.

 

Contoh Kes Mahkamah Mengiktiraf Sumbangan Tidak Langsung

Dalam kes Boto’ bt Taha lwn Jaafar Muhamad (1984), di mana mahkamah memberi merit kepada isteri yang berdampingan dengan suami yang menghasilkan ketenangan fikiran yang membolehkannya berniaga dengan berkesan.

Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato’ Dr. Hussein (1980), sumbangan tidak langsung isteri ialah melalui sokongan kepada perniagaan suami dan sehingga suami berjaya mendapat gelaran Dato’ yang meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk mengembangkan perniagaannya. Mahkamah memutuskan isteri berhak mendapat setengah daripada harta sepencarian.

Bagi kes Norhayati Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani (2008), perayu yang merupakan suri rumah menjaga dan menguruskan rumah kelamin mereka dan mendapat 1/3 dari nilaian rumah setelah membuat rayuan.

Wallahua’lam.

 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This