Nafkah adalah pemberian yang wajib ditunaikan oleh ketua keluarga, iaitu seseorang lelaki terhadap orang yang berada di bawah tanggungannya iaitu isteri dan anak-anaknya. Nafkah yang dipertanggungjawabkan tertakluk kepada kemampuan suami, namun ia wajib ditunaikan sehabis baik.

Malah sekiranya berlaku perceraian, bekas suami masih berkewajipan memberikan nafkah selama mana isteri masih dalam iddah. Manakala nafkah anak perlu terus ditunaikan sehingga anak mencapai umur 18 tahun atau setakat yang ditetapkan oleh Mahkamah.

Namun tidak jarang berlaku situasi di mana suami, bekas suami atau ayah yang berdegil dan culas membayar nafkah kepada tanggungannya. Walaupun setelah berhempas pulas mengeluarkan kos untuk naik turun mahkamah, perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah diabaikan begitu sahaja.

Bekas isteri dan anak-anak masih gagal mendapatkan hak mereka kerana bekas suami masih dapat melepaskan diri dari tanggungjawab nafkah.  

 

Perintah Kewajipan Memberi Nafkah

Kewajipan bapa mengeluarkan belanja nafkah kepada anak adalah berdasarkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat 233:

“…kewajiban bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya.  Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seorang bapa menderita kerana anaknya ; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut (jika bapa tiada)…”

 

Dalam surah At-Talak: 7 juga disebut kadar nafkah mengikut kemampuan suami:

“Hendaklah orang yang berkemampuan memberi nafkah menurut kemampuanya. Dan orang yang telah ditetapkan ke atas reskeinya, maka hendaklah ia mengeluarkan belanja (nafkah) berdasarkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. Tidak dibebankan oleh Allah seseorang itu melainkan setakat apa yang diberikan oleh Allah kepadanya. Nescaya Allah akan menjadikan sesudah kesempitan itu kelapangan.”

 

Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan kewajiban seorang bapa menanggung nafkah anak. Daripada Seksyen 73 (1):

“Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

 

Seorang bapa wajib memberi nafkah meskipun anaknya bukan berada di bawah jagaannya. Contohnya seperti di bawah jagaan bekas isteri. Tidak boleh memberhentikan pemberian nafkah atas alasan ditegah dari melawat anak.

 

Pindaan Akta Membolehkan Akaun Bank Disekat

Walaupun kewajipan memberi nafkah itu jelas dalam al-Quran dan undang-undang, namun masih ramai yang mengelak dari menunaikan kewajipan tersebut.

Ia masih berlaku meskipun Mahkamah Syariah telah mengeluarkan Perintah Nafkah!

Bagi merungkai permasalahan ini dan menjaga kebajikan bekas isteri dan anak-anak yang terabai, tindakan yang lebih tegas telah dirangka untuk dikuatkuasakan.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM). Hasilnya, pindaan  terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013, IFSA 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 telah diluluskan dan digazetkan pada 10 Februari 2021.

Kesannya, suami atau bekas suami yang enggan menunaikan nafkah boleh disekat akses ke akaun bank mereka.

 

Mekanisma Perlaksanaan Sekatan Bank Menerusi Hiwalah

Pindaan akta terbabit melibatkan kemasukan pematuhan dan penzahiran maklumat di bawah hiwalah – iaitu pemindahan hutang daripada Penghutang Kehakiman kepada pihak ketiga iaitu institusi kewangan kepada Pemiutang Penghakiman.

Perintah hiwalah boleh dikeluarkan oleh mana-mana peringkat Mahkamah Syariah dan dilaksanakan oleh istitusi kewangan tersebut.

 

Rujukan: hmetro

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This