Dalam artikel sebelum ini, saya ringkaskan fakta kes berkaitan perselisihan pusaka anak arwah AR Badul dari sumber mstar.

Seperti yang dijanjikan, dalam artikel ini saya cuba jelaskan isu pengurusan dan pembahagian pusaka berkaitan kes tersebut. Namun begitu, kes ini hanyalah sandaran untuk saya mengetengahkan beberapa isu yang mungkin jarang difikirkan berkaitan pembahagian pusaka.

Sekiranya ada pendedahan baru yang bercanggah dengan laporan mstar, atau ada tambahan isu yang saya terlepas pandang, anggaplah artikel ini bersifat umum dan tidak menyentuh kes ini secara langsung. Tujuan saya adalah untuk membina kefahaman umum, bukan hendak mencari kesalahan.

 

Isu Pusaka yang Timbul

Jika diteliti, ada pelbagai isu berkaitan tuntutan hak pusaka dalam kes ini. Antaranya..

😥 Isu hak Faraid seorang ayah yang jarang bertemu dengan arwah anak.

😥 Isu pencen dan insurans berkelompok – adakah ia pusaka dan perlu dibahagi kepada waris Faraid.

😥 Isu muflis, dan sekatan terhadap pemilikan harta. Membabitkan juga isu pentadbiran dan pengurusan prosedur tuntutan pusaka.

 

Hak Faraid Ayah dan Anak Yang Tidak Baik Hubungan

Ayah adalah waris Faraid yang fardhu bagi pusaka anak. Begitu juga anak adalah waris fardhu bagi pusaka ayah.

Hubungan darah dan waris mewarisi ini tidak sekali-kali akan terputus, walaupun anak tidak mengaku itu ayahnya.

anak ayah

 

Walaupun ibu bapa menghilangkan diri atau tidak dapat dikesan sepanjang anak itu membesar, dan tiba-tiba muncul di saat kematian anaknya, haknya sebagai bapa tetap wajib diberikan.

Biarpun pada sangkaan orang, ayahnya tidak berhak kerana tidak berada di sisi anak pada masa seorang anak memerlukan didikan seorang ayah, tetapi mengikut hukum Allah, dia tetap berhak. Dan itu yang kita wajib ikuti.

Tanggungjawab sebagai ayah yang diabaikan itu biarlah Allah yang hakimi.

 

Faraid Anak Derhaka atau Abai Tanggungjawab

Perkara yang sama juga dalam kes anak derhaka atau yang mengabaikan kebajikan ibu bapa. Mereka tetap berhak ke atas harta pusaka ibu bapa.

Hak sebagai waris fardhu tidak ditarik kerana mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.

Ada juga kes di mana hanya seorang anak sahaja yang menjaga ibu ketika sakit. Anak lain tidak mengendahkan, tetapi hanya pulang untuk menuntut pusaka ibu.

Anak yang menjaga ibu itu tidak boleh menafikan hak adik beradik lain atas alasan mereka tidak prihatin tentang kebajikan ibu dan hanya berkehendakkan pusaka ibu. Tetap perlu menunaikan hak Faraid mereka.

 

Nak rancang Pewarisan? PM saya Ansari, 019-749 8210 atau Whatsapp dengan KLIK SINI.

 

Status Pencen, Pampasan dan ‘Insurans’ Arwah

kira duit

 

Pencen, pampasan dan ‘insurans’ ganjaran majikan tidak termasuk dalam harta pusaka yang wajib dibahagikan mengikut hukum Faraid (insurans tidak patuh syariah. Jika yang dicarum oleh syarikat adalah polisi Takaful, barulah ia halal).

Ini telah diputuskan dalam Fatwa Kebangsaan:

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-21 yang bersidang pada 12 September 1988 telah memutuskan bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka.

 

Begitu juga ‘insurans’ yang dicarum oleh majikan sebagai manfaat pekerja, pampasan kematian, SOCSO dan sebagainya. Tidak dikira sebagai harta pusaka arwah. 

 

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam Muzakarah kali ke-49 pada 19 September 2000 telah membincangkan dan memutuskan isu wang pampasan kematian pekerja yang dianugerahkan oleh kerajaan atau syarikat swasta bahawa wang pampasan yang diperolehi dari kematian pekerja, wang pampasan melalui tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan
seumpamanya tidak dianggap harta pusaka.

 

Majikan arwah berhak menentukan siapa yang layak menerima pampasan dan kaedahnya. Jika ada perjanjian penamaan yang dibuat sebelum itu, wajarlah majikan itu untuk menghormati dan melaksanakan sepertimana yang telah dipersetujui. 

Maka waris tidak berhak untuk menuntut hak Faraid ke atas harta ini.

Namun demikian, mereka tidak terhalang untuk berunding dengan majikan arwah. Tetapi keputusan akhir terpulang kepada budi bicara majikan untuk menentukan. 

 

Muflis Semasa Meninggal Dunia

Saya kira ini isu kritikal yang perlu difahami. Malah lebih releven dalam keadaan sekarang ini, di mana kadar muflis dijangka meningkat.

Mujur kerajaan telah menaikkan nilai ambang muflis dari RM50,000 kepada RM100,000, menerusi RUU Insolvensi (Pindaan) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos yang lalu. Maka ramai lah yang tidak dijatuhkan muflis.

tiada duit

 

Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 (Akta A1534) juga memperkenalkan peruntukan baru di bawah Seksyen 33C iaitu pelepasan automatik yang mana tempoh muflis ditadbir selama tiga tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal orang muflis.

Orang muflis yang memohon Pelepasan Automatik ini hendaklah mematuhi syarat yang digariskan dalam Akta Insolvensi 1967 (Akta 360).

Apapun, sekiranya arwah meninggal dalam keadaan muflis, waris perlulah berurusan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia ( JIM ). Ini kerana segala harta dan pendapatannya semasa hidup ditadbir oleh JIM. 

Dalam keadaan itu, pusaka arwah adalah baki yang tinggal setelah semua hutang dilunaskan.

 

Keutamaan Menyelesaikan Hutang

Semasa dalam pentadbiran JIM, kewangan orang muflis akan disusun dan distruktur agar hutang yang ditanggung dapat diselesaikan. 

Apabila arwah meninggal dunia dalam keadaannya masih muflis, hutang itu tidak lebur begitu sahaja. Masih perlu dilangsaikan dengan menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan, dengan kerjasama dari JIM.

Jika tiada baki lagi yang tinggal setelah melangsaikan hutang, maka tiadalah harta pusaka yang boleh diagihkan kepada waris Faraid.

Jika pusaka yang ditinggalkan tidak mencukupi untuk melangsaikan hutang, maka atas ihsan waris untuk membantu menyelesaikan hutang tersebut. Jika tidak, maka tergantunglah ruh arwah akibat hutang.

Naudzubillah min dzalik…    

 

Nak rancang Pewarisan? PM saya Ansari, 019-749 8210 atau Whatsapp dengan KLIK SINI.

 

Share This
× Berminat?