Dalam bulan Ramadhan ini dan semasa musim PKP, kisah Ustaz Ebit Liew (UEL) membantu orang fakir miskin banyak mendapat perhatian orang ramai. Dari satu segi, ramai yang timbul rasa simpati terhadap keluarga miskin yang dibantu, dan mencontohi kemurahan hati UEL dengan turut bersedekah. Namun tidak kurang juga mereka yang bertindak negatif dengan mencemuh dan cepat mempersalahkan orang kampung, masjid, lembaga zakat dan institusi setempat yang didakwa tidak menyampaikan bantuan yang sepatutnya kepada keluarga tersebut.

Saya yakin itu bukanlah sikap dan akhlak yang diharapkan oleh UEL dalam perkongsian beliau membantu masyarakat miskin.

 

Wajarkah Menyiarkan Bantuan Yang Menimbulkan Fitnah?

Pendapat saya yang mungkin kurang popular, sewajarnya UEL meneliti latar belakang keluarga yang ingin dibantu dengan pihak-pihak berkenaan terlebih dahulu, terutamanya bagi bantuan yang akan disiarkan dalam media sosial beliau. Kerana reaksi netizen berbentuk kecaman melulu buta itu boleh menimbulkan syak wasangka terhadap pihak yang memang telah memberi bantuan, tetapi tidak disebut oleh keluarga tersebut. 

Dalam kes bantuan baru-baru ini, individu yang mendakwa mengenali keluarga miskin memaklumkan pelbagai pihak telah menghulurkan bantuan, termasuklah menawarkan kepada keluarga tersebut untuk berpindah ke rumah yang lebih baik dan sempurna. Namun, mereka terus enggan dan berdegil. Mungkin antara puncanya ialah mereka selesa dengan bantuan yang diterima – keadaan hidup mereka yang dhaif menarik simpati orang ramai.

Mengambil Kesempatan Kebaikan Orang

Kita mungkin jarang berurusan dengan golongan fakir miskin. Bukan semuanya baik dan menggunakan wang bantuan zakat untuk meningkatkan taraf hidup. Ada yang sengaja mengambil kesempatan atas kebaikan dan simpati orang ramai. Maka selagimana bantuan mudah diterima, mereka enggan membanting tulang.

Itulah manusia. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Ada yang enggan meminta bantuan walaupun betul-betul memerlukan. Ada pula yang mengekploitasi bantuan untuk kesenangan hidup tanpa perlu bekerja keras, malah ada yang membelanjakan bantuan zakat untuk rokok!

 

Review Buku ‘Diari Seorang Amil – Zakat Mengubah Diri’

Buku ini adalah cebisan pengalaman amil yang berhubung secara langsung dengan asnaf dan mereka yang memohon bantuan zakat. Pembacaan ini membentuk kefahaman yang lebih seimbang dan tidak sewenang-wenangnya terus menyalahkan satu pihak apabila wujudnya laporan kemisikinan yang tidak diurus.

Tugas amil bukan sekadar duduk menunggu orang datang untuk membayar zakat. Tetapi amil juga perlu mengadakan ceramah kesedaran di sekolah-sekolah dan di tempat-tempat lain. Tugas amil di Selangor kemudiannya menjadi lebih ringan apabila Pekeliling diwujudkan yang mewajibkan kakitangan agensi, pejabat dan syarikat berkaitan kerajaan di Selangor membuat potongan zakat bulanan kepada Pusat Zakat Selangor (PZS – kemudiannya ditukar kepada Lembaga Zakat Selangor – LZS).

PZS juga menggunakan kesempatan untuk berdakwah dan islah. Mereka menilai tahap ilmu dan pengamalan Islam calon asnaf fakir dan miskin di Selangor yang memohon bantuan zakat. Bagi yang layak, mereka perlu hadir ke program keagamaan dan kursus yang ditetapkan.


Kisah Menarik Zakat

Beberapa kisah positif dan negatif yang dikongsikan oleh amil ini memberi gambaran mereka berhadapan dengan pelbagai ragam manusia:

1) Semasa menjalankan kempen Zakat Pendapatan di sebuah kilang di Batu Caves, beberapa orang staf perempuan datang ke kaunter. Setelah dikira pendapatan, didapati mereka tidak wajib berzakat. Tetapi mereka berkeras juga untuk membayar sedikit, kerana mahu mendapatkan hidup yang berkat apabila menunaikan zakat.

2) Seorang pakcik yang juga asnaf datang marah-marah menuntut wang zakat bulanannya, padahal belum tiba tarikh yang sepatutnya. Pakcik itu tidak bekerja, tinggal berseorangan dan tiada tanggungan. Bila disoal lanjut, rupa-rupanya terkantoi dia menggunakan wang zakat untuk membeli rokok berjenama dan membeli nombor ekor. Sebab itu duitnya cepat habis.

3) Seorang lelaki datang mengadu isteri nusyuz. Walaupun telah dimaklumkan dia sepatutnya pergi ke Pejabat Agama, tetapi dia tetap mendesak. Isterinya tidak menuruti apabila disuruh menutup aurat, pergi melepak dengan kawan selepas kerja, enggan masak dan disuruh makan di kedai dan sebagainya. Ini sebenarnya tugas pegawai sulh yang terlatih memberi kaunseling.

Setelah disoal, lelaki ini tidak tahu apa itu zakat pendapatan, walaupun sudah 15 tahun bekerja. Bermaksud ada sebahagian daripada harta itu yang dibawa ke rumah dan menjadi darah daging sebenarnya milik orang lain, iaitu para asnaf. Itu mungkin menjadi punca kepada hilangnya keberkatan harta dan rumahtangga berantakan.


Kisah Penipuan Memohon Zakat

Saban tahun, LZS membuat kutipan zakat yang besar, hasil daripada kemajuan industri dan syarikat di negeri ini. Ada yang mencuba nasib cuba memperdaya LZS dan menipu masyarakat:

1) Seorang lelaki datang ke Kaunter Zakat Selayang, meminta bantuan atas alasan dirinya ibnu sabil. Kononnya dia dari Johor Bharu nak ke Kota Bharu untuk belajar pondok. Apabila disemak, dia baru saja mendapat bantuan dari kaunter zakat di cawangan lain. Terkantoi kerana penerima bantuan dapat disemak dengan kecanggihan teknologi.

Dalam kes-kes lain, ada yang menggunakan alasan dompet hilang atau dicuri orang.

2) Pihak media telah membuat wawancara orang-orang susah di Selangor. Ia menjadi sensasi dan LZS menjadi sasaran untuk dipersoalkan kerana mereka tidak menyebut tentang bantuan yang telah diterima. Apabila disemak, rupa-rupanya orang tersebut ada dalam data asnaf LZS dan menerima pelbagai bantuan antaranya sewa rumah, wang bulanan, pendidikan anak-anak, kecemasan dan tunggakan bil elektrik. Bantuan ini disorokkan demi meraih simpati masyarakat.

3) Ada yang dengan sengaja menangguhkan pembayaran bil elektrik sehinggalah bil tertunggak menjadi tinggi. Mereka bawa bil kepada LZS dan minta LZS untuk jelaskan pembayaran. Taktik biasa ini cepat dihidu oleh pegawai LZS.

 

Hukum Fiqh Tentang Zakat

Antara persoalan yang disentuh ialah mengagihkan zakat sendiri kepada asnaf, tanpa melalui institusi zakat. Menurut beliau, sewajarnya zakat dibayar kepada institusi zakat yang telah dilantik, atas hujah:

– Adanya ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tahun 2006.

– Bersandarkan dalil an-Nisa:59 “Taatilah kamu kepada Allah, dan taatilah kamu kepada rasul dan juga pemimpin dalam kalangan kamu”

– Pendapat Sayid Sabiq dalam Fiqh Sunnah – Bantuan zakat perlu betul-betul bersifat membantu. Gagal agihan jika diberi sedikit, kemudian beberapa hari kemudiannya asnaf itu miskin kembali.

– Dalam Fiqh Manhaji As-Syafie: Jika nak agih sendiri, orang itu perlu mencari tujuh asnaf (tidak termasuk amil), dan daripada setiap asnaf itu diambil tiga orang untuk menerima zakatnya. Ini kerana semua asnaf wajar diberikan hak, bukan hanya asnaf fakir dan miskin sahaja.

– Ada fuqaha berpendapat boleh diambil 1/3 zakat untuk diagih sendiri.


Pandangan Peribadi Tentang Buku Ini

Sepertimana tajuknya, buku ini adalah diari seorang amil. Penceritaannya menyentuh perkembangan kerjaya peribadi amil ini, dari mula terdesak untuk mencari pekerjaan sehinggalah menjadi ikon LZS dengan pelbagai pihak termasuk media. Banyak diceritakan tentang bakat penulisan beliau, perpindahan departmen, kisah pengalaman sebagai amil meneroka asnaf, wawancara, menaikkan kesedaran zakat menerusi radio, televisyen dan akhbar.

Keseluruhannya, perkongsian beliau tidak kering dan sedikit sebanyak pembaca dapat menyelami kisah cabaran hidup penggiat zakat yang banyak menerima kecaman apabila timbulnya isu fakir miskin yang ‘tidak terbela’.

 

 

Dapatkan Perkongsian EKSKLUSIF

Sila semak email dan CONFIRM langganan. Terima kasih!

Share This
× Berminat?