Perkahwinan di Thailand seringkali dikaitkan dengan nikah sindiket atau nikah lari kerana tidak mendapat persetujuan yang berkenaan. Bagi yang hendak berpoligami, memang ini pilihan yang popular. Namun, janganlah terlalu mengikut nafsu sehingga memandang mudah hukum agama yang bersangkut paut dengan munakahat. Implikasinya sangat besar.

Jika pernikahan itu dibuktikan tidak sah, perkahwinan itu wajib dibubarkan. Pasangan itu sebenarnya dengan tidak disedari hidup dalam penzinaan; benih anak yang lahir tidak sah taraf, tidak boleh di’bin’kan dan tidak waris mewarisi kepada ‘ayah’nya. Antara komponen utama yang menjadi isu kesahan pernikahan di Thailand ialah wali yang mengijabkabulkan pasangan.

Secara asasnya, wali terdiri daripada:

  • Wali Nasab (keturunan) iaitu wali mujbir, wali aqrab dan wali ab’ad
  • Wali Hakim

Wali Nasab ialah wali yang mempunyai jalur keturunan dan pertalian darah dengan pasangan perempuan. Untuk mengakadnikahkan pasangan, ada tertib turutan bagi individu yang layak menjadi wali. Contohnya jika bapa tiada, datuk berhak menjadi wali. Dan seterusnya..:

  • Bapa Kandung.
  • Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
  • Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
  • Adik Beradik Lelaki Sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Wali Hakim.

Menurut mazhab Syafie, wali mujbir terdiri daripada bapa kandung dan datuk sebelah bapa ke atas. Wali mujbir mempunyai kuasa untuk mengahwinkan anak atau cucu perempuannya yang masih dara TANPA perlu meminta izinnya.

“Perempuan janda lebih berhak pada dirinya daripada walinya dan perempuan perawan atau dara dikahwinkan oleh bapanya”.

(Riwayat Darul-Qutni)

Wali aqrab dan wali ab’ad merujuk kepada dekat dan jauhnya hubungan bakal pengantin perempuan dengan wali berkenaan, mengikut tertib wali di atas. Wali yang aqrab (dekat) lebih utama untuk menjadi wali nikah berbanding wali ab’ad. Sekiranya wali ab’ad yang menikahkan pengantin sedangkan adanya wali aqrab yang layak, dikhuatiri pernikahan itu boleh menjadi fasad (rosak).

Dalam kes Ismail bin Abdul Majid lawan Aris Fadilah dan Insun bt Abdul Majid (1990, Jld. V, II, JH) di Mahkamah Syariah, Kuala Kangsar, Perak, Yang Arif Hakim Amran bin Satar telah memutuskan perkahwinan yang diwalikan oleh wali ab’ad sedangkan wali aqrab masih ada maka perkahwinan itu tidak sah.

Pernikahan rakyat Malaysia di Thailand kebanyakannya menggunakan wali hakim, bukan wali nasab. Maka di sini timbul persoalan; adakah sah perkahwinan menggunakan wali hakim sedangkan wali nasab masih hidup?

Syarat Dibolehkan Mengguna Wali Hakim

nikah

Wali nasab diutamakan untuk melangsungkan pernikahan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, pasangan boleh dinikahkan menggunakan wali hakim. Ini berdasarkan hadis berikut:

السُلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لاَ وَلِيَّ لَهُ

Sultan wali bagi orang yang tiada wali.

Berdasarkan hadis di atas, Sultan atau pemerintah yang berautoriti menjadi wali bagi mereka yang tiada wali. Sultan dan pemerintah sibuk dengan pelbagai tugasan yang lain, maka wali hakim dilantik dan diberi tauliah untuk menggalas tugas perwalian bagi mewakili mereka.

Antara sebab menggunakan wali hakim ialah:

  • Tiada wali nasab seperti saudara baru memeluk Islam
  • Anak tidak sah taraf iaitu anak luar nikah
  • Anak angkat yang asalnya dari luar nikah. Jika melalui pernikahan yang sah, maka wali nasab ialah bapa kandungnya dan seterusnya.
  • Wali tidak cukup syarat. Wali aqrab atau ab’ad yang tidak waras, tidak cukup umur dan sebagainya. Ada perselisihan tentang wali yang fasik.
  • Wali enggan. Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak
  • Wali Aqab menunaikan Haji atau Umrah. Dalam kitab Minhaj Talibin dinyatakan jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim.

“Orang yang ihram haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin”. (Riwayat Muslim)

Nikah sindiket lazimnya menggunakan wali nikah yang tidak mempunyai tauliah daripada Majlis Agama di Thailand, maka dikhuatiri pernikahan tersebut tidak sah mengikut syariat Islam. Sekiranya wali nikah yang sah digunapakai, maka isu pentadbiran seperti mendaftar di konsulat Malaysia di Thailand perlu dilakukan bagi membolehkan pendaftaran nikah dilaksanakan di Malaysia. Ini penting bagi memudahkan urusan seperti pewarisan dan pengiktirafan waris dikenalpasti.

Fatwa Kebangsaan Berkaitan Nikah Thailand

Nikah di Thailand juga dipanggil sebagai nikah lari. Lari kerana pasangan tersebut dinikahkan dengan tidak menggunakan wali nasab yang terdekat.

Mengikut Mazhab Syafi’e, sekiranya wali aqrab ghaib atau berada jauh dan tiada walinya maka yang menjadi wali ialah wali hakim di negerinya, bukan wali ab’ad. Ini berdasarkan wali yang ghaib atau berada jauh itu pada prinsipnya tetap berhak menjadi wali tetapi kerana sukar melaksanakan perwaliannya, maka haknya diganti oleh wali hakim.

Perkahwinan yang dilakukan di dalam kawasan di mana wali mujbir kepada perempuan bermastautin hendaklah dilakukan dengan izin daripadanya. Namun, jika perempuan tersebut keluar daripada kawasan tersebut sejauh dua marhalah maka perkahwinan tersebut sah walaupun tanpa mendapatkan persetujuan wali.

Oleh yang demikian, pernikahan di Thailand dengan menggunakan wali hakim adalah sah sekiranya kedudukan wali aqrab dengan lokasi pernikahan adalah jauh, tidak kurang dari dua marhalah. Syarat lebih lanjut ada dijelaskan dalam Fatwa Kebangsaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie.

Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.

Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:

1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.

2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.

3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin.

4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

Mendaftar Perkahwinan di Malaysia

Seksyen 31 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi sudah kembali ke Malaysia perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

Walaupun perkahwinan yang dilangsungkan memenuhi rukun nikah, kegagalan untuk mendaftar pernikahan di Malaysia boleh membawa kesan yang besar dalam isu pentadbiran. Pendaftaran sijil lahir anak memerlukan surat nikah yang berdaftar. Tanpa sijil lahir, pelbagai kebajikan anak tidak dapat dipenuhi seperti mendaftar persekolahan dan sebagaianya.

Dalam pewarisan, perkahwinan perlu didaftarkan bagi membolehkan waris dikenalpasti. Sekiranya pasangan meninggal dunia tanpa sempat didaftarkan, maka isunya akan menjadi rumit.

Bagi lelaki yang berpoligami dan bernikah secara rahsia di Thailand, pewarisannya akan menjadi bercelaru sekiranya tidak dimaklumkan semasa hidup. Isteri baru yang tidak berdaftar akan melalui pengalaman perit menuntut hak Faraid apabila isteri lama menafikan arwah suaminya ada bernikah yang lain. Tanpa dokumen pernikahan yang didaftarkan di Malaysia, sukar untuk isteri baru itu membuktikannya sebagai isteri yang sah di sisi undang-undang negara dan menuntut hak sebagai pewaris.

Sumber:

i) https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2670-irsyad-al-fatwa-siri-ke-256-nikah-siam-tanpa-wali-mujbir

ii) http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2733-al-kafi-879-nikah-tanpa-berwalikan-bapa

iii) http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2092-al-kafi-498-wali-enggan

iv) http://tayibah.com/eIslam/wali.php

v) http://www.sppim.gov.my/pdf/panduan/fatwa_munakahat-2013.pdf

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This