Hukum Faraid merupakan ilmu yang penting untuk difahami kerana ia melibatkan pewarisan harta menurut ketetapan syariat Islam. Namun begitu, ia tidaklah mudah untuk dikuasai, dan boleh menjadi rumit apabila berhadapan dengan situasi kes struktur waris yang tertentu.

Adakalanya seseorang faqih itu perlu melakukan ijtihad untuk menetapkan penyelesaian Faraid apabila tiadanya petunjuk nas yang jelas.

Dalam kalangan sahabat nabi s.a.w, Zayd Ibn Thabit diiktiraf sebagai pakar rujuk ilmu Faraid.

Kecerdasan fikiran Zayd bukan hanya dalam ilmu Faraid, malah beliau antara sahabat yang paling banyak mengeluarkan fatwa dan pandangan berkaitan hukum-hukum. 

 

Kecerdasan Zayd dalam Memahami Hukum

Ibn Qayyim mengklasifikasikan para sahabat kepada tiga kategori dalam peranan mereka mengeluarkan fatwa; banyak, sederhana dan sedikit.

Zayd Ibn Thabit termasuk dalam kategori sahabat yang banyak mengeluarkan fatwa. Selain Zayd, enam sahabat nabi s.a.w lain dalam kategor ini ialah Umar, Ali, Aisyah, Abdullah ibn Mas’ud, Abdullah ibn Abbas dan Abdullah ibn Umar. 

Kedudukan Zayd membuktikan kredibiliti beliau sebagai seorang faqih, dan keupayaan beliau memahami hukum-hukum fiqh. Beliau menjadi antara sumber rujukan para sahabat bagi menjelaskan hukum yang samar-samar dan dalam membincangkan sesuatu pandangan. Malah beliau turut menjadi rujukan pada zaman khalifah Abu Bakar dan khalifah Umar.  

Zayd Ibn Thabit juga menjadi pakar rujuk dalam soal pewarisan harta pusaka yang mana pendapat beliau dirujuk apabila timbul permasalahan Faraid. Bahkan kepakaran Zayd dalam ilmu Faraid diperakui nabi s.a.w seperti yang diriwayatkan dalam hadis berikut:

“Umatku yang paling penyayang sesama mereka Abu Bakar, yang paling tegas dalam urusan agama ialah Umar, yang paling pemalu ialah Uthman, yang paling mahir dalam bacaan Quran ialah Ubay b. Kaab, yang paling mahir dalam faraid ialah Zayd b. Thabit, yang paling berpengetahuan dalam perkara halal dan haram ialah Muadz b. Jabal, dan ingatlah bagi setiap umat terdapat seorang penjaga amanah, maka penjaga amanah bagi umat ini ialah Abu Ubaydah b. al-Jarrah”

Secara tidak langsung, hadis tersebut juga memberi galakan kepada kita untuk mempelajari ilmu Faraid dan peri pentingnya kepada ummah. Urusan pengagihan harta menjadi isu besar merentas zaman.

Tambah lagi, hukum Faraid memberikan bahagian kepada kaum perempuan yang dinafikan haknya untuk mewarisi harta mengikut hukum adat jahiliyah. 

Selain itu, ia memberi indikasi bahawa ilmu Faraid ini merupakan cabang ilmu Fiqh yang sukar untuk dikuasai. Perselisihan kefahaman mengenai Faraid wujud semasa zaman para sahabat sekalipun.

Apatah lagi dalam situasi masyarakat kita yang semakin kompleks dengan pelbagai andaian dan falsafah kehidupan baru yang ‘moden’, maka lebih mencabar lagi untuk menjernihkan kefahaman umat Islam untuk memahami dan menuruti hukum Faraid.

Mudah sahaja sesetengah masyarakat untuk beranggapan hukum Faraid ini tidak adil atau bias, tanpa memahami keseluruhan konteks hukum syariah yang penuh dengan hikmah yang tidak kita ketahui dan tidak mampu dikecapi dengan kemampuan akal yang terhad.

 

Masalah Faraid Sukar Yang Diselesaikan Oleh Zayd

Zayd telah memberikan penyelesaian Faraid bagi masalah yang tidak jelas hukumnya dalam nas terutama yang melibatkan bahagian datuk sebagai waris

Permasalahan tersebut bagi menentukan bahagian datuk apabila ada waris saudara lelaki atau perempuan si mati samada seibu sebapa atau sebapa.

Antaranya dalam masalah kes al-kharqa’, al-akdariyyah, al-mua’ddah dan al-hamziyyah

Panjang untuk diteliti setiap satu permasalahan rumit melibatkan kes pembahagian Faraid berkenaan. Namun sebagai contoh untuk kita fahami bagaimana sesuatu kes Faraid itu boleh menjadi kompleks dan memerlukan ijtihad, kita teliti masalah kes al-kharqa’

 

Permasalahan al-kharqa’

Si mati: Perempuan

Waris: Ibu, datuk, saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa

Zayd faraid masalah al-kharqa

Penyelesaian Zayd ialah kadar ‘asabah datuk dengan saudara perempuan dibahagikan mengikut nisbah 1:2 iaitu secara ‘asabah bil ghayr. Maka perlu ditashihkan dengan menjadikan asal masalah kepada 9. 

Solusi tersebut adalah ijtihad Zayd.

Disebabkan tiada nas yang jelas, terdapat pelbagai pandangan berbeza dari para sahabat kaedah penyelesaian untuk masalah al-kharqa’

  • Abu Bakar: Ibu mendapat 1/3, selebihnya datuk.
  • Ali: ibu 1/3, saudara perempuan 1/2, datuk 1/6
  • Umar dan Abdullah Ibn Umar: saudara perempuan 1/2, ibu 1/3 baki dan bakinya datuk
  • Ibn Mas’ud: ibu 1/6, bakinya datuk. Pendapat keduanya; saudara perempuan 1/2, bakinya dibahagi dua antara ibu dan datuk
  • Uthman: dibahagi tiga

 

Faraid Bagi Kes Anak Zina dan Li’an

Anak zina lahir daripada hubungan kelamin perempuan dan lelaki di luar ikatan perkahwinan. Anak yang lahir tidak mempunyai status yang sama dengan anak sah.

Li’an berlaku apabila suami mendakwa isterinya melakukan hubungan zina, dan dia menafikan anak yang lahir itu datang dari benihnya. 

Kesan dari zina dan li’an ialah anak berkenaan akan dinasabkan keturunan hanya kepada belah ibunya sahaja. Hubungan nasab di sebelah bapa biologi terputus akibat perbuatan zina dan li’an. Dari sudut pewarisan harta, Faraid bagi anak tersebut hanya wujud dengan ibunya atau saudara seibu, dan sebaliknya sahaja.   

Dalam hal ini, pandangan Zayd selari, iaitu “Bagi ibunya sebanyak 1/3 dan 2/3 diberikan kepada baitulmal”.

 

Faraid Bagi Kes Kematian Serentak

Dalam kes kematian serentak yang tidak dapat disahkan waktu kematian. Contohnya dalam tragedi kemalangan, runtuhan bangunan, lemas dan sebagainya.  

Yang demikiannya menyebabkan sukar untuk mengenalpasti waris-waris yang berhak mewarisi harta si mati kerana terdapatnya waris yang terlibat dan meninggal dunia dalam tragedi yang sama dan tidak dapat dipastikan siapa yang meninggal dunia dahulu.

Dalam permasalahan kematian serentak, Zayd berpendapat harta pusaka diagihkan kepada waris yang hidup sahaja. Mereka akan mendapat pusaka daripada pewaris-pewaris yang meninggal dunia samada seorang atau lebih. Waris yang mati serentak dengan pewarisnya tidak akan mempusakai.    

 

Wallahua’lam.

 

Rujukan: Zayd B. Thabit R.A dan Pendiriannya Dalam Kes-kes Fara’id Tertentu

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This