Hibah, wasiat dan faraid – ketiga-tiganya adalah kaedah yang digunakan dalam Islam untuk mengurus dan merancang pembahagian harta pusaka kepada para waris. ‘Merancang’ bermaksud pemilik harta semasa masih hidup lagi sudahpun mempunyai hasrat dan formula tersendiri bagaimana kaedahnya beliau hendak membahagikan harta pusakanya.

Bagi memastikan harta pusaka tersebut dapat dibahagikan sepertimana kehendak pemiliknya, adalah sangat penting untuk kita cakna dengan sejelas-jelasnya perbezaan antara Hibah, Wasiat atau Faraid dan fungsinya.

Penting kerana jika silap menggunakan dokumen yang betul, akibatnya akan ditanggung oleh waris nanti. Waris mungkin tidak dapat hak sepertimana yang telah dirancang oleh pemilik harta semasa hidupnya kerana dokumen yang disediakan tidak tepat dan mudah ditentang di mahkamah.

Kita mulakan dengan Faraid. Faraid boleh dikatakan pembahagian ‘default’ hak harta pusaka sekiranya tiada dokumen Hibah atau Wasiat yang ditulis. Kadar pembahagian hak faraid telah digariskan dengan jelas dalam al-Quran menerusi surah an-Nisa’ ayat 11-12. Hak setiap individu telah ditetapkan bergantung kepada struktur keluarga waris yang berhak dan masih hidup.

Umumnya, masyarakat agak jelas mengenai Faraid. Tetapi kekeliruan besar berlaku dalam memahami perbezaan antara Hibah dan Wasiat. Jika ditanyakan apakah dokumen yang sepatutnya diguna untuk merancang harta pusaka, jawapan biasa yang diterima pastinya Wasiat.

Jawapan itu sebenarnya KURANG TEPAT.

Fungsi Wasiat sebenarnya ialah untuk memperuntukkan sebahagian harta pusaka kepada BUKAN WARIS. Harta pusaka yang boleh diperuntukkan adalah sekadar maksimum 1/3 daripada jumlah harta. Antara golongan bukan waris tersebut termasuklah anak angkat, anak tiri dan sebagainya, ataupun untuk amal jariah, infaq dan sedekah.

Bagaimanapun, disebabkan oleh tidak jelas fungsi Wasiat yang sebenar, sebahagian masyarakat kita sediakan juga Wasiat untuk pembahagian harta kepada WARIS. Seperti yang dijelaskan, kaedah ini tidak tepat.

Pemilik harta mungkin menganggap beliau sudah merancang, tetapi sebenarnya perlaksanaan Wasiat tersebut bergantung kepada persetujuan kesemua ahli waris. Sekiranya ada seorang pun yang tidak bersetuju dengan pembahagian Wasiat tersebut, maka Wasiat tersebut TERBATAL. Sia-sia sajalah bayaran untuk menulis Wasiat. Dan tak tercapailah hasrat pemilik harta untuk membahagikan harta mengikut formula sendiri.

Apa yang sepatutnya beliau lakukan?

Yang sepatutnya disediakan oleh pemilik harta ialah dokumen HIBAH.

Melalui Hibah, harta boleh ditujukan kepada WARIS, BUKAN WARIS, BUKAN ISLAM.. malah sesiapa sahaja. Kadar harta yang boleh diperuntukkan TIADA HAD. Dan ianya tidak memerlukan persetujuan waris untuk dikuatkuasakan. Hibah, sekiranya disediakan dengan sempurna rukunnya boleh menjadi jaminan perancangan pemilik harta akan terlaksana sebagaimana yang dikehendakinya. Sememangnya Hibah merupakan instrumen yang tepat untuk merancang pusaka, namun sangat sedikit masyarakat Malaysia yang tahu.

Artikel ini bertujuan untuk memberi gambaran perbezaan secara ringkas antara Hibah, Wasiat dan Faraid. Penerangan secara terperinci insyaAllah akan dikongsi di lain masa jika ada kesempatan.

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This