Pelaburan Unit Trust adalah antara metod pelaburan yang banyak diceburi oleh masyarakat kita. Pelabur mengamanahkan pengurus dana yang mewakili syarikat pengendali Unit Trust untuk membuat pelaburan dalam kaunter saham, bon atau jenis aset lain mengikut tahap appetite risiko masing-masing. 

Di Malaysia, terdapat 36 syarikat pengurus dana Unit Trust yang berdaftar. Antara yang popular seperti Public Mutual, Eastspring, Kenanga, PMB dan sebagainya.

Selain melihat kepada potensi pulangan pelaburan, yang lebih penting adalah memastikan dana yang dipilih patuh syariah.  

Harta yang dikembangkan melalui pelaburan Unit Trust akan diwarisi oleh para waris sepertimana harta-harta yang lain.

Susah atau senang, cepat atau lambat, dan siapa waris yang berhak mewarisi bergantung kepada tindakan pemilik akaun membuat penamaan, Wasiat, atau Hibah semasa hidupnya.

Berikut enam kaedah pewarisan Unit Trust

 

Kaedah 1: Tiada Penamaan

Sekiranya pemilik akaun semasa hidupnya tidak ada membuat penamaan, iaitu tidak meletakkan seseorang sebagai Penama bagi akaun Unit Trust miliknya, maka prosedur pencairan tersebut perlu diuruskan mengikut kaedah tuntutan harta pusaka yang tidak berpenama.

Waris atau pentadbir pusaka yang dilantik perlu mendapatkan surat kuasa mentadbir di pusaka kecil, mahkamah tinggi sivil atau menerusi amanah raya. 

Surat kuasa tersebut boleh digunakan untuk memohon pengeluaran wang dari penjualan pusaka Unit Trust bagi diagihkan kepada waris yang berhak mengikut hukum Faraid.  

 

Kaedah 2: Letak Penama

Sekiranya ada penamaan yang dibuat semasa hidup, proses menjadi lebih pendek dan mudah. 

Penama boleh terus memohon pengeluaran di syarikat Unit Trust untuk diagihkan kepada waris-waris Faraid mengikut Hukum Faraid.  

 

Kaedah 3: Trust Nomination

Trust Nomination sama dengan penamaan akaun di atas.

Bezanya, Penama yang diletakkan adalah syarikat amanah atau trustee seperti Wasiyyah Shoppe Berhad. Sebab itu, ia dinamakan ‘trust’ nomination.  

Apabila pemilik akaun meninggal dunia, syarikat amanah yang dinamakan tersebut yang akan menguruskan pengeluaran akaun untuk diagihkan mengikut waris-waris Faraid.

Sekiranya arwah ada membuat dokumentasi legal yang menyatakan arahan kepada trustee untuk mengagihkan wang dari unit Trust tersebut kepada individu atau entiti tertentu, maka ia akan dilaksanakan seperti yang dihasratkan.   

 

Kaedah 4: Wasiat Melantik Wasi

Wasiat Melantik Wasi adalah dokumentasi melantik seseorang sebagai Pentadbir pusaka yang dibuat semasa pemilik harta masih hidup.

Dengan adanya dokumen pelantikan Wasi ini, prosedur tuntutan pusaka di Mahkamah Tinggi menjadi lebih pendek. Ia tergolong dalam kategori harta pusaka berwasiat. 

Oleh yang demikian, proses untuk mendapatkan surat kuasa lebih mudah. Pentadbir pusaka yang layak untuk menguruskan harta arwah telah dilantik dengan sah.

 

Kaedah 5: Wasiat 1/3

Jangan terkeliru antara Wasiat 1/3 dengan Wasiat Melantik Wasi. Wasiat 1/3 adalah dokumentasi berkaitan cara agihan harta pusaka; kepada siapa ia diwariskan.

Wasiat Melantik Wasi, sepertimana dijelaskan di atas, berkait dengan pengurusan tuntutan pusaka. Ia adalah dokumentasi yang mengandungi perlantikan individu atau institusi yang berhak mentadbir pusaka arwah. 

Pengagihan Unit Trust boleh dimasukkan dalam Wasiat 1/3. Namun begitu, perlu jelas ia tertakluk kepada limitasi hukum Wasiat dari segi penerima dan had pemberian; penerima dalam kalangan bukan waris dan terhad 1/3 daripada nilai harta pusaka. 

 

Kaedah 6: Hibah

Sekiranya penerima yang hendak dinamakan tergolong dalam kalangan waris; atau nilai yang hendak diberikan melebihi 1/3, maka pemilik Unit Trust disyorkan membuat Hibah.

Hibah adalah pemberian semasa hidup. Namun sekiranya yang dibuat adalah hibah bersyarat, pemilik Unit Trust tersebut berhak menguruskan akaun Unit Trust selagi mana masih hidup. 

 

Antara 6 Kaedah Tersebut, Yang Mana Terbaik?

Yang mana satu kaedah terbaik kenalah tengok objektif pewarisan yang nak dicapai.

Yang paling asas jika tidak mahu membuat sebarang dokumen pewarisan tambahan adalah Kaedah 2: Meletakkan Penama.

Proses jadi mudah berbanding Kaedah 1: Tiada Penamaan kerana Penama boleh terus mengeluarkan wang Unit Trust tanpa perlu mendapatkan surat kuasa terlebih dahulu.

Tapi ingat… penama bukan penerima mutlak. Penama bertanggungjawab dan beramanah untuk membahagikan wang yang diperoleh kepada waris-waris Faraid mengikut bahagian yang telah digariskan dalam Hukum Faraid.

Bukan untuk penama membolotnya seorang.

Sekiranya hendak melibatkan syarikat amanah bagi tujuan pengagihan kerana kekangan-kekangan atau hasrat tertentu, boleh gunakan Kaedah 3: Trust Nomination.

Sekiranya hendak mewariskan kepada penerima yang khusus, berlainan dari formula agihan mengikut Faraid, maka boleh lah membuat Kaedah 6: Hibah atau Kaedah 5: Wasiat

Yang lazim dibuat adalah Kaedah Hibah.

 

 

Sekiranya anda berhasrat membuat Hibah Unit Trust, Trust Nomination, Wasiat Melantik Wasi atau Wasiat 1/3 untuk akaun Unit Trust, boleh hubungi saya untuk mendapatkan khidmat Wasiyyah Shoppe Berhad. 

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This