Hibah adalah pemberian harta daripada seorang pemberi kepada penerima atau beberapa orang penerima atas dasar kasih sayang. Penerima-penerima hibah yang boleh dinamakan tidak terhad kepada waris faraid pemilik tersebut sahaja.

Malah pemberi terbuka untuk menghibahkan harta miliknya kepada sesiapa pun yang dikehendakinya, termasuklah penerima yang bukan Muslim. Namun lazimnya pemberian tersebut ditujukan kepada ahli keluarga terdekat seperti isteri dan anak-anak bagi memelihara kesinambungan hidup mereka.

Ada kalanya pemilik harta mewariskan harta-harta kepada waris yang tertentu sahaja atas sebab-sebab atau perancangan tersendiri.

Waris-waris yang bukan penerima hibah adalah pihak yang berkepentingan yang boleh mempertikaikan kesahan hibah yang dibuat.

Persoalannya, adakah persetujuan para waris lain yang tidak namakan itu diperlukan untuk pemilik harta membuat dan melaksanakan dokumentasi hibah?

 

Rukun Hibah Melibatkan Pemberi dan Penerima Sahaja

Bagi menjawab persoalan tersebut, kita teliti semula apa yang dimaksudkan dengan hibah yang sempurna – iaitu ia mestilah memenuhi rukun dan syarat hibah.

Secara ringkasnya, terdapat empat rukun hibah:

➡️ Pemberi

➡️ Penerima

➡️ Harta yang dihibah

➡️ Sighah – ijab qabul

Bagi setiap rukun di atas, terdapat perinciannya yang menjadikan dokumentasi Hibah bukanlah sesuatu yang boleh dibuat tanpa pengetahuan dan kefahaman yang mendalam.

 

Adakah Perlu Persetujuan Waris Lain Untuk Hibah?

Akad hibah hanya melibatkan pemberi dan penerima sahaja. Waris-waris yang tidak disenaraikan sebagai penerima hibah TIDAK termasuk dalam rukun hibah.

Maka persetujuan waris lain yang tidak terlibat dalam akad bukanlah rukun dan syarat kesempurnaan hibah.

Secara hukumnya, hibah akan tetap terlaksana meskipun ada tentangan atau pertikaian dari para waris. Namun ia akan terlaksana dengan syarat dokumentasi dan prosedur hibah yang dijalankan itu tiada cacat cela yang boleh menimbulkan keraguan mengenai kesahannya.

 

 

Lebih Mudah Perlaksanaan Jika Tiada Tentangan

Tentunya penerima hibah mengharapkan kesemua waris lain menerima dengan redha dan tiada hasrat untuk menentang tindakan hibah yang telah dibuat oleh pemilik harta.

Apabila tiadanya pertikaian, urusan perlaksanaan turunmilik kepada nama penerima akan jadi lebih mudah dan cepat.

 

Maka usaha untuk mengelakkan pertikaian itu haruslah dimulai sedari awal lagi.

Disarankan agar pemilik harta terlebih dahulu membincangkan kaedah pembahagian harta yang dihasratkan bersama-sama dengan kesemua waris-waris Faraid yang berkepentingan.

Walaupun persetujuan waris bukanlah syarat untuk melaksanakan hibah, kita hendak memelihara perhubungan silaturrahim antara waris-waris terdekat apabila pemilik harta sudah pergi.

Kita mahu elakkan para waris ‘terkejut’ dan menjadi reaktif untuk mempertahankan ‘hak’ Faraid mereka, walhal sebenarnya hak Faraid ke atas harta yang telah dihibahkan tidak lagi wujud.

 

rebut pusaka

 

Namun pada masa yang sama, kita tidak menolak kemungkinan situasi ekonomi dan sosial waris mungkin tidak sama lagi pada masa itu. Keadaan dan harta boleh merubah manusia.

Tiada jaminan pak haji yang solat lima waktu di masjid dapat menahan godaan untuk merebut harta pusaka.

Kita membuat dokumentasi hibah bukan kerana tidak percaya kepada waris-waris, tetapi untuk memelihara hak penerima-penerima hibah dan membolehkan mereka mempertahankan hak mereka sekiranya ada waris yang berubah sikap.

Akhir kalam, tindakan hari ini menentukan situasi pada masa hadapan.

 

“Hope for the best, prepare for the worst.”

 

 

Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This