Masyarakat hari ini sudah semakin terdidik dengan keperluan untuk merancang pewarisan harta. Maka kita dapat lihat semakin banyak instrumen yang dipromosikan bagi mencukupkan keperluan itu, termasuklah peranan polisi Takaful bagi melangsaikan baki hutang sekiranya meninggal dunia.

Malangnya, sebahagian perunding Takaful yang kurang memahami prosedur pusaka terlalu ghairah mempromosikan produk hibah Takaful sehingga penjelasan yang diberikan tidak tepat dan misleading.

Antara kenyataan misleading yang biasa disebarkan adalah fungsi hibah Takaful untuk melangsaikan hutang pemegang polisi apabila meninggal dunia. Berikut antara ayat promosi yang digunakan:

“Aku hadiahkan hibah RM500,000 ini kepada isteriku setelah aku mati, agar dia mampu menanggung dirinya serta zuriatku, dan dia dapat melangsaikan segala hutangku ketika hayatku

 

Langsai Hutang dengan Hibah?

Sebelum saya lanjut kepada mengapa penerima hibah Takaful TIDAK terikat untuk melangsaikan hutang, perlu difahami terlebih dahulu bahawa istilah ‘hibah Takaful’ yang digembar gemburkan itu bukanlah nama produk dalam polisi Takaful. Seseorang itu mengambil polisi Takaful, bukannya mengambil Hibah Takaful.

Hibah adalah salah satu cara atau kaedah bagaimana pampasan Takaful dalam polisi itu akan diagihkan. Dalam polisi Takaful, pemegang polisi boleh memilih samada untuk menamakan seseorang itu sebagai..

  1. Penerima Hibah, atau
  2. Wasi/pentadbir.

hibah takaful

 

Kebanyakan perunding secara automatik dan tanpa merujuk kepada pelanggan akan meletakkan metod hibah. Melalui metod ini, pampasan takaful hayat itu akan diserahkan secara langsung kepada penerima yang dinamakan.

Jika penerima itu isteri, maka isteri akan memperoleh keseluruhan pampasan tanpa perlu berkongsi dengan waris Faraid lain.

Semasa mendaftar polisi, perunding Takaful mencadangkan suami mengambil pampasan takaful hayat RM500,000 (sebagai contoh) yang bersamaan dengan nilai hutangnya. Suami menamakan isteri sebagai penerima Hibah dan menugaskan isteri untuk melangsaikan baki hutang suami dengan menggunakan pampasan tersebut.

.

Setelah suami meninggal dunia, syarikat Takaful menyerahkan pampasan itu kepada isteri. Pampasan itu milik isteri sepenuhnya. Walaupun suami telah berpesan untuk isterinya melangsaikan hutang, si isteri tidak terikat untuk berbuat demikian kerana wang itu miliknya. 

Di sinilah letaknya kenyataan misleading ‘hibah Takaful untuk melangsaikan hutang’. Dari segi undang-undang, penerima bebas memilih untuk melaksanakan atau tidak melaksanakan pesanan tersebut. Arwah suami yang ada di kubur pada masa itu hanya bergantung kepada ihsan isterinya untuk membayarkan hutangnya dengan menggunakan pampasan tersebut.

Jika hutang itu tidak dilangsaikan, maka tergantunglah ruh arwah suaminya. Walaupun Takafulnya sudah diambil siap-siap untuk tujuan itu.

INFO PRODUK: Menerusi dokumen Isti’man dari Wasiyyah Shoppe, pemberi boleh mengikat penerima agar melaksanakan arahan spesifik bagaimana pampasan yang diterima itu harus dibelanjakan. Boleh PM saya untuk details. 

Kesilapannya adalah perunding tersebut tidak memahami fungsi instrumen hibah yang digunapakai. Sekiranya tujuan Takaful diambil adalah untuk membayar hutang, maka metod pembahagian yang sepatutnya dibuat adalah melantik isteri sebagai Wasi (implikasinya diterangkan di bawah).

 

Melantik Isteri (Penerima) Sebagai Wasi dalam polisi Takaful

Isteri yang dinamakan sebagai Wasi berperanan hanya sebagai pentadbir, dan bukanlah penerima pampasan secara mutlak. Pampasan Takaful yang diterima haruslah ditadbir dan dibahagikan menurut turutan pengagihan pusaka, yang mana baki akhirnya akan dibahagi kepada waris-waris Faraid.

Turutan pertama dalam pengagihan pusaka adalah menyelesaikan hutang arwah. Di sinilah objektif melangsaikan hutang dengan pampasan Takaful itu akan tercapai.

Bagaimanapun, kesan daripada cara pengagihan ini adalah baki akhirnya akan diagihkan kepada waris Faraid. Isteri tidak lagi mendapat keseluruhan pampasan, tetapi mendapat bahagian hak Faraidnya sahaja. Contohnya 1/8 atau 1/4.

 

Kesimpulan

Kebanyakan pemegang polisi mahukan penerima-penerima yang dinamakan menerima keseluruhan pampasan bagi meneruskan hidup setelah ketiadaannya. Maka penamaan Wasi kelihatannya kurang sesuai kerana penerima hanyalah pentadbir.

Pada masa yang sama, pemegang polisi berharap pampasan itu digunakan untuk menyelesaikan baki hutang yang ditinggalkan. Sekiranya penamaan Hibah dibuat, maka perlu adanya sesuatu yang mengikat penerima agar melaksanakan hasrat pemegang polisi tersebut.

Mengikat penerima hibah Takaful dengan Isti’man (dokumen dari Wasiyyah Shoppe) mungkin disalah anggap seperti kurang percaya terhadap isteri. Namun di sudut lain, jika isteri berubah hati setelah kematiannya, dia yang pada masa itu sudah menjadi mayat tidak boleh bangkit semula dari kubur untuk memastikan pampasan Takaful itu digunakan sepertimana tujuan yang diharapkan. 

Hutang tidak terpadam dengan matinya anak Adam. Maka pentingnya kita untuk memastikan hutang itu terbayar juga dengan menggunakan instrumen yang betul.

 

Dapatkan Perkongsian EKSKLUSIF

Sila semak email dan CONFIRM langganan. Terima kasih!

Share This
× Berminat?