Scam Badal Haji dengan upah murah telah lama berpanjangan di Malaysia. Ramai yang terpedaya dengan kadar upah serendah RM1,500 yang digembar gembur di bunting sana sini, tanpa berfikir panjang tentang kos sebenar yang lebih tinggi jika ia benar-benar dilaksanakan.
 
Badal haji lazimnya dibuat oleh waris arwah atau seseorang yang uzur yang telah memenuhi syaratnya. Perlaksanaan ibadah haji ini diwakilkan kepada seseorang dengan bayaran upah tertentu. Bagi individu yang telah meninggal dunia, ia termasuk dalam hutang dengan Allah, dan kos perlaksanaannya boleh diambil dari harta pusaka arwah.
 
Dalam keadaan pandemik COVID-19 melanda yang mana kerajaan Arab Saudi terpaksa mengetatkan pengeluaran permit dan syarat, masih ada lagi penganjur yang berani meneruskan promosi Badal Haji.
 
Tinggi kebarangkalian ia adalah satu penipuan atau scam
 

Kos Badal Haji Yang Sebenar

Alasan penganjur mengapa mereka boleh menawarkan kos yang rendah adalah kerana kononnya mereka mengupah pelajar Malaysia atau individu pelaksana yang bermastautin di sana. Kos dapat dikurangkan kerana mereka tidak mengupah orang luar.
 
Jika difikirkan mendalam, masih ada banyak perkara yang kurang logik akal.
 
Ibadah haji adalah ibadah khusus yang terhad dalam satu-satu masa sahaja. Setiap tahun, hanya 2.5 juta orang Islam dari seluruh pelusuk dunia berkumpul di Mekah bagi melaksanakan ibadah ini.
 
Setiap wakil pelaksana hanya boleh mengambil upah untuk mewakili seorang individu sahaja dalam satu musim. Sekiranya RM1,500 sahaja yang diperoleh sebagai upah, kos tersebut perlulah sekurang-kurangnya cukup untuk menampung pelbagai kos yang terlibat.
 
Kos terbesar adalah tasrih atau lesen yang perlu dibayar kepada muassasah iaitu 1,000 riyal dan pengangkutan 800 riyal (tahun 2016). Itu sahaja sudah melebihi RM1,500.
 
Belum masuk kos upah pelaksana, penginapan, makan minum dan sebagainya.
 
Walau bagaimanapun, agen pelaksana mendakwa mereka menjimatkan kos kerana pelajar Malaysia di sana dapat memasuki Mekah sepertimana penduduk setempat – bukan melalui muassasah, maka mereka tidak tertakluk kepada kuota dan tidak memerlukan lesen.
 
Sejauh mana kebenarannya, tidak diketahui. Namun yang nyata, sijil badal haji dalam bahasa Melayu yang menjadi ‘bukti’ pelaksanaan dapat dibeli di sana di pasar mini dengan harga serendah 3 riyal!
 
Tabung Haji pun sudah mengeluarkan amaran agar berhati-hati agar tidak terjebak.
 
penipuan upah haji
 
 
 
Oleh yang demikian, pentadbir harta pusaka atau waris yang mengupah haruslah berhati-hati mendapatkan khidmat pelaksana yang benar-benar melaksanakan amanah dengan sempurna.
 
Walaupun tiada pihak berkuasa yang memantau untuk memastikan ibadah dilakukan sebaiknya, risiko tersilap memilih agensi dapat dikurangkan dengan mengambil perkhidmatan syarikat yang berdaftar dan diiktiraf oleh Tabung Haji misalnya.
 
 
 

Kekangan Mendapatkan Permit, Syarat diperketat dan Kos Semasa COVID

Dalam musim COVID sekarang ini, kekangan dan langkah pencegahan diperketatkan bagi membendung penularan wabak.
 
Baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi telah mengetatkan syarat iaitu hanya membenarkan 60,000 orang warga negara dan warga asing yang menetap di Arab Saudi sahaja untuk menunaikan haji pada tahun ini.
 
Tahun lepas hanya 10,000 jemaah yang dibenarkan menunaikan ibadah haji.
 
Sehubungan itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga mengingatkan agar berhati-hati terhadap kemungkinan sesetengah pihak mendakwa boleh mengeluarkan permit mengerjakan haji.
 
Dari sini anda boleh nilaikan sendiri. Permit pun terhad dan sukar untuk mendapat kelulusan. Tambah lagi, kos pakej juga tinggi.
 
Pakej ibadah haji termurah yang diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini mencecah SR12,113.95 (RM13,294).
 
Dengan harga sedemikian yang perlu dibayar, adakah badal haji dengan hanya sekitar kos RM1500-3900 dapat dilaksanakan?
 
Malah terdapat juga syarat tambahan bagi pemohon; tidak pernah menunaikan haji dalam tempoh lima tahun terakhir, tidak mempunyai penyakit kronik, tidak dijangkiti COVID-19, tidak mendapatkan rawatan dialisis dalam tempoh enam bulan terakhir.
 
Jika badal haji dengan upah murah pada tahun-tahun biasa pun begitu sukar nak dilaksanakan kerana pelbagai halangan, apatah lagi pada musim yang sukar ini.
 
Sekiranya anda terjumpa dengan agen yang mendakwa mereka boleh melakukannya, silakan lari jauh-jauh!
 
 
 
Ansari
error: Sorry, content is protected!
Suka info yang anda baca?
.
Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Suka info yang anda baca?

.

Dapatkan artikel TERBARU terus ke email!

Satu lagi langkah diperlukan sebelum langganan disahkan. Sila klik CONFIRM langganan di email anda!

Share This